Saturday, September 27, 2008

Usahawan muda digalak menderma



KEPALA BATAS: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu usahawan muda meneruskan budaya prihatin dengan menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan.

Perdana Menteri berkata, budaya baik ini perlu diteruskan kerana ia bukan saja memastikan golongan terbabit mendapat pembelaan, malah membantu kerajaan membasmi kemiskinan tegar.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, beliau gembira mendapati ramai anak muda menjadi usahawan mampu mengeluarkan sumbangan untuk membantu masyarakat.


Justeru, beliau mahu generasi muda yang berjaya dalam perniagaan mempunyai perasaan bertanggungjawab, ehsan dan berperikemanusiaan dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

“Saya gembira apabila melihat usahawan muda ketika ini yang bersedia menghulurkan bantuan dan sumbangan untuk meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik.

“Ini juga selaras dasar kerajaan untuk membasmi golongan miskin tegar di negara ini bagi membolehkan mereka berkongsi nikmat kemajuan dan kesenangan negara,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan dan bantuan Aidilfitri di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal, di Lahar Tiang, semalam.

Hadir sama, Datin Seri Jeanne Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin dan pemberi sumbangan.

Lebih 200 penerima terdiri daripada golongan miskin, anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) menerima bantuan itu.

Abdullah berkata, jika budaya memberi sumbangan semakin sebati di kalangan usahawan muda, ia akan membantu golongan yang kurang kemampuan menikmati kekayaan.

Katanya, beliau menggesa pelbagai pihak terus sudi menghulurkan sumbangan bagi membantu golongan terbabit, terutama pada masa menjelang musim perayaan.

No comments: