Saturday, September 27, 2008

Teknologi pengurusan TV plasma


SEMPENA sambutan 56 tahun berkecimpung dalam industri pembuatan televisyen, syarikat Bang & Olufsen baru-baru ini memperkenalkan revolusi perkembangan teknologi televisyen plasma.

Rekaan yang dikenali sebagai Pengurusan Warna Automatik (ACM) itu menekankan kepada fungsi dan komitmen terbaik bagi menghasilkan produk dengan jangka hayat yang panjang.

Sebenarnya, jangka hayat teknologi plasma bergantung kepada lapisan fosfur yang terdapat di dalam sel sesebuah televisyen.

Kebiasaannya, gred pada lapisan tersebut akan berkurang secara perlahan-lahan dari semasa ke semasa.

Aktiviti itu akan memberi kesan kepada kualiti paparan di mana gambar akan menjadi suram dan kurang menarik.

Pengurangan lapisan fosfur tersebut biasanya sukar untuk dikesan dan diperbaiki melain kan menggantikan televisyen lama dengan yang baru.

Namun, melalui pembangunan teknologi ACM yang dibangunkan oleh Bang & Olufsen, ia membenarkan proses pengurusan dan pembetulan pada skrin secara lebih teratur.

Dalam proses mengaktifkannya, syarikat tersebut menggunakan teknologi robot untuk meletakkan bingkai aluminium pada televisyen secara menyondong.

Melaluinya, ujian gambar akan dijalankan terhadap skrin selain ujian suhu warna dalam situasi paparan gelap dan terang serta analisis penghasilan warna secara konsisten walaupun digunakan beribu-ribu jam.

Proses analisis dan pembetulan mengambil masa beberapa saat sahaja iaitu ia boleh diaktifkan melalui menu pada skrin atau diaktifkan setelah 100 jam penggunaannya.

Selepas seratus jam digunakan, teknologi ACM akan dilaksanakan apabila pengguna menekan butang tunggu sedia pada alat kawalan jauh.

Selepas butang tersebut ditekan, teknologi tersebut akan bertindak secara terus sebelum televisyen bertukar kepada mod tunggu sedia.

Terdapat dua sebab mengapa prosedurnya dilaksanakan sedemikian iaitu pertama kerana tidak mahu mengganggu penonton ketika sedang menonton televisyen.

Kedua, pemilihan prosedur menekan butang tunggu sedia adalah kerana ia merupakan waktu terbaik untuk melaksanakan aplikasi tersebut.

Melalui kemajuan itu, Bang & Olufsen telah menjadi peneraju kepada teknologi paparan televisyen sekali gus menjadikan jangka hayat televisyen menjadi lebih lama dan memberi kepuasan kepada penonton.

Secara keseluruhannya, ACM merupakan teknologi pintar yang mudah digunakan dan sesuai untuk diintegrasikan bersama televisyen plasma.

No comments: