Thursday, September 18, 2008

Kaedah pantas kesan DNA babi

NEGARA





SERDANG - Pensyarah dalam bidang lemak dan minyak di Jabatan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Yaakob Che Man (gambar) berjaya menemui satu kaedah terpantas untuk mengesan kandungan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam makanan.

Kaedah yang dinamakan sebagai real-time Polimeris Chain Reactor (PCR) itu mampu mengesan kandungan DNA babi pada makanan dan barang kosmetik yang diuji di makmal dalam masa tidak lebih dua jam.

"Dalam tempoh dua jam ini juga kita akan dapat mengesan kehadiran DNA babi walaupun hanya seberat 0.001 nanogram bukan sahaja dalam makanan malah, barang kosmetik dan produk lain.

"Sebagai contoh, mungkin ada daging babi digunakan dalam produk makanan. Oleh itu, pengenalpastian spesies haiwan yang digunakan dalam produk makanan adalah penting terutama kepada orang Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan hasil penyelidikan itu di Dewan Taklimat UPM semalam sambil menambah kaedah tersebut turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut beliau, kaedah PCR dibangunkan untuk mengesan kehadiran DNA babi dalam makanan berasaskan daging ayam dan lembu.

Kelebihan penyelidikan itu adalah untuk mengesan dengan lebih spesifik dan sensitif kehadiran DNA babi.

"Jika sebelum ini kita hanya akan dapat mengesan kehadiran DNA pada daging dalam tempoh dua hari hingga sebulan, tapi dengan kaedah ini ia akan menjadi lebih pantas dan tepat," katanya.

Tambah beliau, penyelidikan kaedah lama untuk mengesan status halal itu mengambil masa enam bulan untuk disiapkan manakala kit PCR tersebut juga telah dipatenkan pada bulan lalu.

No comments: