Saturday, September 27, 2008

Bulan perkasa umat Islam



Dua hari lagi kita akan sama-sama merayakan Hari Raya Aidilfitri. Sememangnya sudah menjadi tradisi masyarakat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri dengan penuh kemeriahan dan kegembiraan. Bahkan jika dibandingkan dengan negara-negara Islam lain, masyarakat Islam di Malaysia dilihat lebih hebat merayakan Aidilfitri berbanding Ramadan.

Penulis tidak berhajat mengulas lanjut fenomena ini. Sepanjang siri penulisan Ihya Ramadan ini telah banyak penulis perkatakan mengenai penyimpangan-penyimpangan yang masih menebal dalam kerangka budaya masyarakat kita menghayati falsafah dan makna sebenar Ramadan.

Walau bagaimanapun di tengah-tengah kemeriahan sorak-sorai sambutan hari raya yang akan disambut nanti, nasihat penulis agar umat mestilah sentiasa memperhitungkan batasan syarak agar tidak melampaui batas dalam berpesta sehingga melakukan perbuatan yang menyanggahi hukum.

Sebab itulah amat penting bagi umat Islam memahami dan menghayati falsafah sebenar di sebalik sambutan Aidilfitri. Sambutan hari raya Islam bukanlah sekadar upacara tradisi yang bersifat ritual tanpa makna atau tujuan. Aidilfitri juga tidak seharusnya bersifat pesta rutin tahunan riuh-rendah tanpa haluan.

Sebaliknya Aidilfitri harus difahami dalam konteks yang lebih luas merangkumi agenda pembentukan umat yang lebih cemerlang dan gemilang untuk terus menjalani rutin kehidupan dengan lebih bermakna terutamanya setelah selesai menjalani pelbagai latihan spiritual Ramadan. Hakikatnya madrasah Ramadan yang sarat dengan pelbagai amalan ritual dan ibadah kerohanianlah yang mampu menjana generasi yang lebih berkualiti dan bermartabat.

Ini kerana sepanjang sebulan pada bulan Ramadan, umat telah menekuni pelbagai ibadah seperti amalan berpuasa, solat sunat tarawih, tadarus al-Quran, qiamullail, bersedekah dan beriktikaf dalam majid yang merupakan sebahagian daripada agenda atau kurikulum penting yang mendasari madrasah Ramadan dalam membina ketakwaan dalam diri.

Kejayaan mentarbiah diri selama sebulan pada bulan Ramadan, kini disusuli pula dengan hari kegembiraan yang merupakan kurniaan Allah bagi memuliakan hamba-Nya yang beriman sebagaimana firman-Nya: Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadan dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan takbir dan tahmid) kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur (al-Baqarah: 185).

Rasional

Di sebalik kegirangan dan kemeriahan sambutan Aidilfitri di sana sini, umat yang rasional pasti akan turut dihurung perasaan pilu dan sedih lantaran terpaksa meninggalkan Ramadan yang penuh keberkatan. Bulan yang menjanjikan pelbagai peluang dan ruang untuk menggandakan ganjaran ibadah dan mendapat pengampunan dari Allah kini semakin dekat di penghujungnya. Apa yang pasti tiada jaminan bahawa kita akan peroleh kesempatan Ramadan yang sama pada tahun-tahun mendatang.

Memahami realiti kehidupan yang tidak kekal abadi inilah, maka umat yang waras akan sentiasa menangisi pemergian Ramadan di samping menzahirkan kegembiraan bagi mensyukuri segala nikmat Allah tatkala Aidilfitri menjelma. Dengan mengimani hakikat inilah umat akan sentiasa terpelihara daripada perlakuan songsang yang boleh menghakis jati diri dan nilai-nilai positif yang sudah terbina.

Setiap kali berakhirnya Ramadan umat disarankan untuk sentiasa bermuhasabah dan menilai status keimanan dan ketakwaan dalam diri masing-masing. Apakah ibadah yang kita lakukan sepanjang Ramadan ini berjaya meningkatkan ketakwaan kita kepada-Nya? Apakah madrasah Ramadan yang dilalui benar-benar mampu menjadikan peribadi kita lebih baik daripada sebelumnya?

Persoalan-persoalan inilah yang wajar ditanya dan dijawab secara jujur kepada diri masing-masing. Dengan menilai tahap keimanan dan ketakwaan dalam diri sahajalah yang mampu meningkatkan lagi kualiti hidup insan sekaligus membantu membina umat gemilang sebagaimana diistilahkan al-Quran sebagai "Khaira Ummah".

Pelbagai amalan kerohanian yang dijalankan dalam bulan Ramadan seharusnya mampu mendidik jiwa dan menjana peribadi umat berasaskan nilai-nilai Quranik yang unggul. Nilai-nilai inilah yang seharusnya diterjemahkan ke dalam kehidupan mereka seharian hingga mampu mencipta kejayaan yang cemerlang dan gemilang.

Walau bagaimanapun tidak ramai yang benar-benar menjiwai falsafah dan kepentingan Ramadan dalam konteks madrasah pemerkasaan iman dan takwa dalam diri mereka. Lebih menyedihkan apabila berlakunya penyimpangan kefahaman mengenai makna Ramadan hingga seringkali ditanggapi dalam konteks di luar kerangka falsafah dan kefahaman sebenar Ramadan.

Sebab itulah Ramadan yang sepatutnya menjadi madrasah terbaik mencanai keimanan dan ketakwaan dalam diri akhirnya hanya menjadi bulan ritual yang langsung tidak membekas dalam jiwa mahupun memberi kesan kepada proses pemerkasaan umat. Tidak hairanlah jika ramai umat Islam yang berterusan melakukan maksiat yang hanya menghakis nilai keimanan dan ketakwaan sekaligus meluntur kekuatan umat Islam.

Apa yang lebih menyedihkan melihatkan umat bagai lebih galak bersengketa dan berpolemik pada musim Ramadan yang mulia ini. Bulan yang sepatutnya mempertautkan hati-hati manusia berteraskan iman dan takwa akhirnya menjadi bulan adu-domba dan fitnah-memfitnah antara satu sama lain.

Lihat sahajalah realiti iklim politik negara ketika ini yang diserabuti jerebu fitnah yang amat dahsyat hingga menyesakkan nafas dan meloyakan tekak. Ini berlaku disebabkan lunturnya nilai iman dan takwa dalam diri hingga menyebabkan batasan syarak tidak lagi menjadi perhitungan utama.

Alangkah baiknya jika Ramadan dijadikan bulan bebas fitnah dan persengketaan. Atau setidak-tidaknya setiap kali Ramadan ditangguhkan dulu perbalahan politik atau diisytiharkan bulan genjatan senjata permusuhan. Ini bagi membolehkan umat memfokuskan kepada usaha peningkatan kualiti diri melalui aktiviti-aktiviti ibadah.

Siapa tahu dalam tempoh sebulan umat menekuni ibadah yang dilaksanakan dengan kesungguhan dan keikhlasan kerana Allah akan menghilangkan saki-baki daki-daki yang tersemat dalam diri. Akhirnya mampu meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah sekaligus menyelesaikan segala kemelut dan persengketaan yang selama ini bagaikan tiada penyelesaiannya.

Justeru, Ramadan yang penuh barakah seharusnya menjadikan umat Islam manusia lebih hebat, produktif dan cemerlang. Ini kerana umat yang menjalani ibadah puasa Ramadan pada hakikatnya terbangun di atas dinamika ketakwaan dan keimanan yang sekali gus dijelmakan dalam kehidupan seharian.

Marilah kita sama-sama berdoa agar segala ibadah kita pada bulan yang penuh keberkatan dan keampunan ini mampu membersihkan hati dan jiwa kita yang hakikatnya kerap dicemari pelbagai dosa dan noda. Moga-moga madrasah Ramadan ini dapat menjadi titik permulaan kepada pemerkasaan kualiti umat Islam sekaligus mengembalikan kegemilangan Islam seperti satu ketika dulu.

Di sini juga penulis ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca dan maaf zahir batin atas segala keterlanjuran.

No comments: