Saturday, September 27, 2008

Kisah imej Islam di Asia



Ketenangan meliputi seluruh masjid ketika bilal melaungkan azan. Kira-kira 500 orang makmum kemudian solat di Masjid Tokyo yang dibina pada tahun 1938. Demikian laporan sebuah terbitan Jepun baru-baru ini yang juga menyiarkan bahagian dalam masjid tersebut (gambar).

Dicatat seterusnya betapa masyarakat Islam mula muncul di Jepun berikutan revolusi komunis di Russia pada tahun 1917. Sebilangan orang Islam bangsa Turki yang bermastautin di Russia melarikan diri dan sesetengahnya mendapat perlindungan di Jepun. Lalu pada tahun 1935 masjid pertama dibina di bandar Kobe.

Masjid Tokyo kini menerima bantuan dari Jabatan Hal Ehwal Agama Turki. Sebenarnya ia telah dibina oleh para pekerja Turki dengan bahan-bahan pembinaan dibawa dari Turki. Imamnya kini, Ensari Yenturk lalu menjelaskan: "Masjid kami mengalu-alukan ke semua orang Islam tanpa mengira bangsa. Sesiapa juga boleh sembahyang di sini."

Hal ini ternyata ketika waktu sembahyang kerana ramai makmumnya ialah dari Asia Tenggara, termasuk Indonesia dengan warga Islam paling ramai sekali dalam dunia. Demikian juga makmum dari Malaysia, Pakistan dan Bangladesh. Turut kelihatan ialah warga Arab dan Afrika. Diadakan di Masjid Tokyo ialah kelas belajar membaca al-Quran.

Menarik perhatian, terbitan Jepun itu ialah "ramai wanita Jepun yang telah berkahwin dengan orang Islam bukan bangsa Jepun dan anak-anak mereka." Dianggarkan bahawa bilangan warga Islam di Jepun kira-kira 70,000 orang termasuk para isteri bangsa Jepun dan bilangan mereka dijangka meningkat hingga 100,000 orang.

Laporan terbitan Jepun itu dicatat dalam ruangan ini kerana bersikap positif dan bukan mencerca Islam sebagaimana dalam sesetengah terbitan lain, terutama di dunia Barat. Malah, juga terbit ialah buku berjudul A Brief Guide to Islam: History, Faith And Politic (Robinson, London 2006). Pada kulit buku tersebut dijelaskan, penulisnya seorang "unbeliever."

Juga terbit ialah buku kecil terbitan Biro Penyelidik Asia yang berpangkalan di kota Seattle, Amerika. Keluaran terbaru berjudul Aspek-Aspek Islam di Tenggara Asia, termasuk di Malaysia ditulis oleh Profesor Joseph Chinyong Liow dari Nanyang Technological University, Singapura. Menulis atas tajuk The Fluid Terrain of Islamism in Southeast Asia, beliau menyentuh aliran politik Islam yang "dinamis dari segi para penganut dan aktif." Dan bahawasanya juga kesahihan Islam kian penting untuk memperoleh sokongan undi.

Hal ini, katanya lagi, menimbulkan pertanyaan demi pertanyaan mengenai keadaan masa depan kerana masalah masyarakat majmuk dan sekularisme dan "sama ada kedua tenaga, Islamisasi dan demokrasi, akhirnya akan bertembung satu sama lain, atau adakah boleh hidup bersama masih belum terjawab."

Keganasan

Menurut Prof. Liow kebanyakan para analisis berpendapat bahawa ancaman keganasan Islamis di Asia Tenggara telah berkurangan secara berkesan. Pihak berkuasa Indonesia, umpamanya berjaya mematahkan rangkaian gerakan Jemaah Islamiah. Hal ini berlaku bukan saja kerana beberapa pemimpinnya dapat ditangkap, tetapi juga kerana saluran-saluran kewangannya dapat diputuskan.

Menurut beliau lagi, Islam di Asia Tenggara terus mencerminkan lanjutan pengaruh perkembangan semula kekuatan Islam pada tahun 1970-an. Tindakan-tindakan ketenteraan Amerika di Afghanistan dan Iraq serta pendedahan mengenai Penjara Abu Ghraib di Iraq menimbulkan kesangsian orang Islam Tenggara Asia bahawa pihak Barat (terutama Amerika) sengaja memilih orang Islam sebagai sasaran.

Malaysia disebut sebagai salah satu negara majoriti Islam yang paling maju. Saingan di antara UMNO dan Pas terus berlaku dan ini mendorong meluaskan sikap konservatif dalam perbicaraan dan amalan. Dalam pada itu timbul kata sepakat bahawa Malaysia boleh menjadi negara Islam 'kalaupun ia belum berlaku'.

Lain kisah dibawa oleh majalah terkemuka India Today baru-baru ini mengenai seorang wanita Islam bernama Naish Hasan, 30, pejuang hak-hak wanita melangsungkan pernikahan dengan Imran Naeem di hadapan seorang kadi wanita, Syeda Saiyyadain Hameed. Segalanya dilakukan dalam bahasa Inggeris dan tidak ada bacaan ayat-ayat al-Quran.

Cara pernikahan itu dikecam oleh pemimpin-pemimpin agama Islam. "Publisiti murah", kata Maulana Khalid Mahali, Ketua Majlis Ulama India. Manakala Maulana Abdul Mannan Ketua Majlis Imam India menuduh "anasir-anasir anti-Islam sedang menghasut kaum wanita Islam supaya melanggar tradisi dan mencetuskan suasana kelam-kabut."

No comments: