Thursday, September 18, 2008

Benteng kedaulatan negara






KURANG sejam selepas berita mengenai rampasan kapal tangki milik MISC Berhad (MISC) diterima syarikat perkapalan itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) pantas bertindak. Pada masa yang sama, Markas Pasukan Angkatan Bersama (PAB), mula menggerakkan jentera operasinya di bilik gerakan di Kementerian Pertahanan.

Selaku unit induk dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertanggungjawab mengurus operasi termasuk menyusun strategi ketenteraan negara, PAB menggabungkan para pemikir daripada setiap cabang perkhidmatan ATM.

Dalam kejadian itu, MT Bunga Melati 2 yang sarat dengan muatan minyak kelapa sawit dengan 29 anak kapal rakyat Malaysia dan 10 warga Filipina telah dirampas ketika belayar dari Dumai, Sumatera menuju ke Rotterdam, Belanda pada 19 Ogos lalu.


MEMPERTAHANKAN maruah dan kedaulatan negara turut dipikul oleh anggota wanita.


Di bilik gerakan PAB, para perancang ATM tekun menyusun strategi operasi termasuk pelan menyelamatkan tebusan, jika perlu. Ia termasuk analisis senario dan impak operasi daripada para komander Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM).

Memandangkan kawasan kejadian iaitu Teluk Aden berada dalam perairan antarabangsa, maka pilihan untuk menghantar Paskal boleh dipertimbangkan. Jika perlu, anggota Paskal akan diguna sebagai jalan terakhir membebaskan tawanan yang nyawa mereka kini berada di hujung senjata.

Walaupun arahan mengenainya masih belum diputuskan oleh MKN, tetapi unit-unit Paskal di Pangkalan TLDM Lumut telah diletakkan dalam keadaan siap sedia. Dengan tahap kesiap-siagaan yang cukup tinggi, bila-bila masa sahaja, mereka bersedia digerakkan ke kawasan operasi.

Selang 10 hari daripada rampasan pertama tadi, kapal MT Bunga Melati 5 dengan 41 anak kapal iaitu 36 rakyat Malaysia dan lima warga Filipina pula dirampas di perairan yang sama ketika dalam pelayaran dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura.

Ekoran itu, ATM menghantar dua kapalnya iaitu figat berpeluru berpandu KD Lekiu dan kapal logistik KD Inderapura bagi misi melindungi kapal-kapal MISC di perairan tersebut, disusuli dengan kapal peronda generasi baru, KD Pahang.


PASUKAN Malaysia (MALCON II) sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan ketika bertugas di Bosnia-Herzegovina.


Walaupun rentetan peristiwa di atas hanyalah gambaran berdasarkan senario insiden di Teluk Aden, tetapi inilah yang perlu dilakukan ATM sekiranya aset-aset negara berhadapan dengan ancaman. Dalam insiden ini, kapal-kapal MISC yang dipercayai ditawan pihak lanun atau militia Somalia itu merupakan aset negara.

Senario yang digambarkan ini juga sebenarnya kerap kali diulang ATM dalam siri-siri eksesais yang dilakukan sepanjang masa. Paskal misalnya, sering terlibat dalam eksesais rampasan kapal atau apa-apa pencabulan melibatkan aset maritim. Ini kerana itulah peranan yang bakal dimainkannya dalam konflik atau peperangan.

Ketika artikel ini ditulis, rundingan bagi membebaskan 79 anak kapal MISC yang dirampas itu dengan pihak lanun di Teluk Aden berjalan lancar dan menunjukkan tanda-tanda menggalakkan. Walaupun penyelesaian secara diplomasi menjadi keutamaan, tetapi alternatif lain turut diambil kira.


LATIHAN dengan tentera luar negara sentiasa diadakan dari semasa ke semasa.


Realitinya, ATM pernah berhadapan dengan situasi serupa sembilan tahun lalu berikutan peristiwa penculikan kumpulan Abu Sayyaf pada 23 April 2000 di Pulau Sipadan melibatkan 12 pelancong asing, lapan pekerja resort dan seorang anggota polis.

Insiden ini pantas mendapat reaksi Kabinet enam hari kemudian apabila memutuskan agar terup-terup Tentera Darat (TD) ditempatkan ke pulau dan kawasan perairan Sabah yang dikenali sebagai Ops Padan. Lima buah pulau yang diduduki iaitu Pulau Sipadan, Pulau Lankayan, Pulau Gaya, Pulau Kelumpang dan Pulau Bohayen.

Pada 18 September tahun yang sama, satu lagi penculikan berlaku di Pulau Pandanan yang terletak 20 batu nautika dari Semporna apabila tiga orang awam diculik oleh kumpulan serpihan Abu Sayaff.

Tidak mahu pisang berbuah dua kali, ATM melancarkan Ops Pasir pada 20 September tahun yang sama dengan misi melindungi kawasan-kawasan strategik di pantai timur Sabah.

Kira-kira 2,000 anggota tentera di tempatkan di 29 pulau dan pantai di sana, tidak termasuk 16 penempatan pulau yang didiami Pasukan Gerakan Am (PGA).


MENJELANG Aidilfitri pada setiap tahun, majlis penyerahan sumbangan bungkusan Hari Raya akan diadakan.


Selain itu, kerajaan turut bersetuju membeli 12 bot tempur CB-90 dari Sweden untuk kegunaan TLDM. Dengan kelajuan mencecah 50 knot serta dilengkapi mesingan berat, ia sesuai bagi tugas rondaan serta pemintasan di laut lepas. Sebagai tambahan, TD membeli 27 bot jenis Rover dan 21 bot RIB untuk dibekalkan kepada unit-unitnya.

Tugas rondaan pantai turut dibantu Unit Udara PDRM, TUDM dan kini Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Yang pasti, pelaburan jutaan ringgit ini berbaloi apabila perairan timur Sabah kini bebas daripada ancaman luar, termasuk pencerobohan pengganas.

Benar seperti kata strategis ketenteraan kuno China, Sun Tzu, 'bersedialah di waktu aman seolah-olah negara hendak berperang, dan berperanglah bersungguh-sungguh agar kita boleh mengembalikan keamanan'.

Frasa beliau ini turut menjadi kata-kata hikmah dalam kamus ekonomi moden apabila strategi peperangan beliau diterjemahkan ke bentuk strategi perniagaan.

Tetapi mengecewakan apabila ada segelintir anggota masyarakat masih mempertikaikan langkah kerajaan yang kononnya membazirkan wang rakyat bagi membeli kelengkapan ketenteraan sedangkan negara tidak berhadapan dengan peperangan. Hakikatnya, ia umpama insurans yang dibeli pemiliknya sebagai langkah 'sediakan payung sebelum hujan'

Bayangkan, tanpa perbelanjaan tersebut, negara tidak akan mempunyai kapal perang secanggih KD Lekiu yang diterima TLDM pada tahun 2000 untuk dihantar ke Teluk Aden sebagai aset cegah rintang. Tanpa kewangan mencukupi juga, negara tidak dapat menyediakan segala kelengkapan yang diperlukan bagi anggota tentera yang bertugas di perairan Sabah sejak sembilan tahun lalu.

Pembelian 18 pesawat pejuang MiG-29N pada tahun 1993 misalnya melonjakkan keupayaan kuasa udara TUDM sebagai antara yang terkuat di rantau sebelah sini selepas Singapura. Ia disusuli dengan pembelian lapan pesawat penyerang F/A-18D dan kini 18 pesawat Su-30MKM yang nilainya berbilion ringgit.


TUN Razak memeriksa perbarisan pegawai-pegawai TLDM dalam upacara perbarisan kehormat sempena hari ulang tahun TLDM pada 4 Januari 1975.


Walaupun jumlahnya kecil, tetapi penggunaannya disepadukan dengan lain-lain seperti dua kapal frigat kelas Lekiu, empat kapal korvet kelas Laksamana serta jaringan sistem pertahanan udara dan radar di darat bagi mewujudkan rangkaian pertahanan udara yang jitu.

Dengan pemilikan aset-aset ini, ATM berjaya mengekang cubaan musuh menembusi ruang angkasa negara.

Misalnya, dalam isu Ambalat tiga tahun dulu, kehadiran dua korvet TLDM telah mengundurkan lebih enam kapal perang negara jiran yang berlegar-legar dekat perairan negara. Walaupun kecil, tetapi keupayaan memusnahkan sasaran dengan peluru berpandu sehingga pada jarak 120 kilometer menyebabkan kapal-kapal TLDM ini digeruni.

Dengan perbelanjaan tahunan pertahanan dianggarkan kira-kira RM4 bilion setahun, ia kecil jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Singapura dan Indonesia tetapi masih mencukupi. Untuk Rancangan Malaysia ke-9 misalnya, Kabinet memperuntukkan sejumlah RM15.5 bilion bagi tempoh lima tahun pembangunan ATM bermula 2006 hingga 2010.

Antara yang dirancang ialah pembelian kapal logistik pelbagai guna dengan kapasiti membawa bersama enam helikopter dan 800 anggota, helikopter utiliti menggantikan Nuri, lapan jet pelatih MB-339CM, pesawat radar amaran awal dan enam kapal NGPV. Turut dipertimbangkan ialah lebih 100 kenderaan perisai generasi baru serta satu rejimen sistem roket berganda.


SAMA ada di laut ataupun udara, pasukan tentera Malaysia sentiasa bersedia menghadapi perkara yang tidak diduga.


Dengan nilai pelaburan ini, rakyat perlu bersyukur kerana dibentengi kira-kira 110,000 warga ATM yang merupakan tentera profesional bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terpelihara. Bagi mana-mana negara di dunia, walaupun memilih diplomasi dan saluran politik antarabangsa sebagai penyelesaian utama terhadap apa-apa konflik, terlebih dahulu ia haruslah mempunyai tentera yang kuat bagi mengimbangi 'suaranya'.

No comments: