Thursday, September 18, 2008

Komitmen pada alam


Bagaimanakah strategi APRIL membantu menangani masalah pembalakan haram di Riau, Indonesia sekali gus menyelamatkan alam sekitar?


SEBAHAGIAN daripada beberapa jenis anak pokok Acacia yang menghasilkan kertas dan pulpa di tapak semaian utama di Pelalawan, Riau, Sumatera.


MUNGKIN masih segar dalam ingatan penduduk rantau Asia Tenggara terhadap kejadian jerebu pada 1990-an. Ketika itu jarak penglihatan mencapai tahap berbahaya dan kesihatan sistem respiratori berjuta-juta orang terancam.

Sejak itu, kerajaan di rantau ini, khasnya Malaysia, Singapura dan Indonesia, mengawasi dengan rapi kejadian tompok-tompok panas yang disebabkan oleh kebakaran hutan dan kebakaran kawasan paya gambut.

Pembakaran sembarangan, pemugaran hutan melalui pembakaran dan kebakaran secara semula jadi membebaskan asap dan habuk ke udara, yang kemudian menghasilkan jerebu yang tebal.

Pada tahun 2002, Indonesia yang disalahkan bagi siri kejadian jerebu sejak 1990-an yang menyelubungi rantau ini memberi komitmen dengan mengharamkan pembakaran terbuka terutama di kawasan hutan.

Jelas sekali, ia satu tugas yang sukar bagi Indonesia dalam menghalang pembakaran hutan oleh petani yang mengamalkan pertanian pindah, peneroka haram dan syarikat-syarikat perladangan yang mengambil jalan mudah untuk memugar tanah dengan membakar hutan.

Sehingga kini, keadaan masih belum berubah. Ini kerana penduduk tempatan tunduk kepada permintaan untuk menanam kelapa sawit, satu komoditi menguntungkan.

Indonesia kini adalah pengeksport terbesar minyak sawit dunia dan membuka berjuta-juta hektar tanah bagi penanaman kelapa sawit. Ada kumpulan yang mendakwa, pembukaan ladang-ladang kelapa sawit ini hanya helah untuk mengeluarkan balak dari hutan, yang juga mencatatkan harga pasaran yang baik.

Sementara pihak berkuasa Indonesia bertungkus-lumus mencari jalan penyelesaian, sebuah syarikat pengeluar pulpa dan kertas milik asing di wilayah Riau berjaya menangani isu serupa.

APRIL (Asia Pacific Resources International Holdings Limited), muncul dengan strategi yang menguntungkan untuk menangani masalah tompok panas yang sering dikaitkan dengan pembalakan haram.

Pengarah Lestari APRIL, Neil Franklin berkata, syarikat ini berjaya mengubah kehidupan petani menjadi masyarakat yang berdikari dari segi ekonomi.

Para penduduk kampung ditawarkan dengan pelbagai sumber pendapatan lestari sebagai alternatif kepada pembalakan haram. Antara aktiviti yang ditawarkan ialah penternakan ikan air tawar, penternakan haiwan, pemprosesan makanan, hortikultur dan perusahaan kecil dan sederhana.

Beliau berkata, para petani digalak menyerahkan tanah mereka untuk diuruskan oleh syarikat atas dasar lestari, yang membantu mereka menghentikan amalan pertanian pindah.

Sebaliknya, para petani diberi tugas sebagai penanam di tanah mereka sendiri yang diubah menjadi ladang hutan dan bekerja di tapak semaian pokok hutan yang ditubuhkan oleh APRIL.

Franklin berkata, syarikat menyediakan dana dan menguruskan tanah para petani atas dasar perkongsian keuntungan. Strategi ini sangat berjaya dengan masyarakat tempatan menyambut baik idea ini.

Pengurus Kebakaran, Kesihatan dan Keselamatan APRIL, Brad Sanders berkata, syarikat ini membantu memugar tanah menggunakan jentera daripada membakarnya dan membekalkan biji benih untuk menanam pokok baru di tanah tersebut.

Bagi mencegah pembalakan haram, syarikat tidak membeli balak daripada sumber yang tidak diketahui. Pada masa sama melaksanakan satu sistem menyeluruh bagi menjejaki sumber kayu yang mengesahkan bahawa kayu yang ditebang itu adalah konsisten dengan peraturan perhutanan dan keperluan alam sekitar.

APRIL, yang memulakan pelaburan di Riau pada 1993, diberi konsesi tanah yang nilainya hampir satu juta hektar. Kira-kira 270,000 hektar daripadanya ditukar menjadi ladang hutan, 240 hektar sebagai kawasan pemuliharaan, 215 dibangunkan sebagai kawasan penempatan masyarakat setempat dan sokongan infrastruktur dan kawasan baki ditanam dengan lebih banyak pokok.


NEIL FRANKLIN


Pengarah R&D Perhutanan APRIL, G. D. Golani berkata, syarikat mensasarkan untuk menanam 160 juta pokok Acacia, satu spesies kayu pulpa yang matang dalam tempoh enam tahun, di atas kawasan seluas 107,000 hektar.

APRIL mempunyai tiga tapak semaian utama masing-masing di Pelalawan, Baserah dan Kerinci, yang kesemuanya di wilayah Riau, untuk menanam anak pokok Acacia.

APRIL muncul sebagai kuasa utama ekonomi dan majikan utama di Riau dengan kira-kira 250,000 orang bergantung kepada operasi pulpa dan kertas miliknya untuk menyara hidup.

Syarikat itu berjaya menukar ekonomi masyarakat luar bandar Riau daripada hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kepada masyarakat membangun yang lestari.

APRIL berharap penduduk dapat meraih manfaat ekonomi hasil daripada aktiviti lestari di Wilayah Riau, di samping membantu Indonesia memulihara alam semula jadi Sumatera dan mencegah kejadian tompok panas yang memudaratkan seluruh Asia Tenggara. - Bernama

No comments: