Saturday, September 27, 2008

SM Sains Muzaffar Shah juara Cabaran Teknologi F1



EMPAT pelajar SM Sains Muzaffar Shah, Melaka (dari kanan) Mohd. Faiz Fuad, Fakhrul Iqbal Muslim, Mohd. Azli Hisham Abdul Aziz dan Nur Ain Alia Mohd. Norsham serta Norazlina Senin (kiri) bangga dengan kejayaan menjadi juara keseluruhan Pertandingan Formula 1 Dalam Sekolah Wilayah Selatan 2008 sambil menunjukkan model kereta F1 dan piala kemenangan di Resort D'Village Ayer Keroh, Melaka, semalam.


MELAKA 24 Sept. - Pasukan Mozac dari Sekolah Menengah (SM) Sains Muzaffar Shah, Melaka muncul juara keseluruhan pertandingan Cabaran Teknologi F1 Dalam Sekolah Lenovo 2008 peringkat Zon Selatan yang berlangsung di sini hari ini.

Pasukan itu yang diwakili empat pelajar tingkatan empat aliran Sains Fizik iaitu Mohamad Faiz Foad, Mohamad Azli Hisyam, Mohamad Fakhrur Iqbal dan Norain Alia Norsham mengumpul sebanyak 273 markah, mengatasi peserta lain.

Mereka yang diiringi seorang guru penyelia membawa pulang dua komputer riba jenama Lenovo, piala pusingan, lima set unit permainan komputer, beg serta pakaian tajaan Polo.

Pasukan tersebut juga menjuarai kategori Pasukan Pemasaran dan Tajaan terbaik yang melayakkan mereka memenangi hadiah plak pusingan, lima set peralatan permainan komputer, piala dan pakaian tajaan Polo.

Menurut guru pengiringnya, Norazlina Senin, mereka mengambil masa selama enam bulan untuk menyiapkan model kereta Formula Satu (F1) berkuasa gas karbon dioksida mampat seperti yang dikehendaki pada pertandingan itu.

''Mungkin kami mencipta kelainan dengan mengubah beberapa bahagian model kereta F1 kami, antaranya meletakkan unsur nilon pada tayar kereta menjadi salah satu kriteria yang berjaya menarik perhatian pihak juri,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sebanyak 47 pasukan mewakili 39 sekolah menengah di negeri ini dan Johor menyertai pertandingan tersebut dengan Melaka diwakili 18 pasukan dari 11 sekolah menengah manakala Johor menghantar 29 pasukan dari 28 sekolah menengah dari negeri tersebut.

Kemenangan pasukan Mozac itu sekali gus melayakkan mereka mara ke peringkat kebangsaan yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada hujung tahun ini.

Turut mengiringi pasukan itu ke peringkat akhir kebangsaan ialah SM Sains Kota Tinggi, Johor yang mengumpul 270 markah untuk menduduki tempat pertama dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Francis, Melaka dengan mata 267 markah bagi tempat kedua.

Sementara itu, pasukan D'Putra dari SMK Ade Putra, Melaka memenangi kategori Anugerah Model F1 Terpantas dengan catatan masa 1.089 saat manakala SM Sains Muar, Johor mengungguli kategori Jurutera Kereta Terbaik melalui pasukan Samura Lightspeed.

Di samping itu, pasukan Aguila Del Fuego dari SMK Bandar T6, Kluang, Johor pula dipilih untuk menerima anugerah khas iaitu Anugerah Ekspresi Paling Kreatif Lenovo.

Kesemua hadiah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Juliah Leman.

Penganjuran Cabaran Teknologi F1 Dalam Sekolah Zon Selatan merupakan yang ketujuh tahun ini selepas tujuh peringkat pelbagai zon dijalankan bermula di Kelantan, Selangor, Sabah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sarawak sejak Ogos lalu.

Cabaran Teknologi Sekolah Dalam FI bermula sejak tahun 2005 dan ia diadili berdasarkan enam elemen, bermula penyelidikan dan rekaan menggunakan perisian Reka Bentuk Berbantu Komputer sebelum menganalisis melalui perisian simulasi terowong angin maya.

No comments: