Saturday, September 27, 2008

Komputer riba untuk peniaga kecil



Model terbaru yang mampu memenuhi cita rasa peniaga kecil.


PERUSAHAAN kecil dan sederhana merupakan antara industri yang semakin berkembang di negara ini dan seluruh dunia.

Di seluruh dunia, terdapat lebih 72 juta peniaga yang melibatkan diri dalam perniagaan kecil yang mana satu pertiga daripadanya merupakan penduduk Asia.

Demi memastikan perniagaan mereka berjaya, kebanyakan peniaga kecil mengaplikasikan penggunaan teknologi maklumat (IT) dalam pengurusan syarikat mereka.

Namun, tidak semua peniaga industri kecil ini mampu mengeluarkan belanja yang besar untuk tujuan tersebut kerana terdapat banyak komitmen lain yang lebih penting untuk mereka laksanakan.

Justeru, Dell Asia Pacific Sdn. Bhd. (Dell Malaysia) telah mengambil inisiatif melancarkan komputer riba terbarunya Dell Vostro A860 bagi memenuhi keperluan golongan itu.

Ia menyasarkan pengguna golongan peniaga kecil, pengguna dari sektor kerajaan serta institusi pendidikan dengan kos perbelanjaan yang terhad.

Menurut Pengurus Besarnya, Pang Yee Beng, pengenalan kepada komputer riba tersebut secara tidak langsung dapat menyokong pertumbuhan industri kecil dan sederhana.

"Melalui komputer ini, pengguna akan berpeluang untuk mengubah keadaan ekonomi perniagaan mereka ke arah yang lebih baik,'' jelasnya.

Dengan tawaran paparan skrin LCD beresolusi tinggi 15.6 inci, pengguna tentunya akan dapat merasai pengalaman perniagaan mobiliti yang berbeza.

Ini kerana, selain berkualiti, saiznya yang kecil dan ringan menjadikan komputer riba ini sangat sesuai digunakan oleh pengusaha industri kecil.

Selain itu, ia juga boleh digunakan bersama pemproses dari Celeron sehinggalah ke Core2 Duo serta pilihan sistem operasi seperti Linux dan juga Microsoft Windows Vista.

Apa yang menarik, melalui komputer riba berkenaan, pengguna ditawarkan dengan dengan perisian dan aplikasi yang diperlukan sahaja.

Dengan cara itu, pengguna akan dapat menjimatkan kos dan pada masa yang sama dapat memfokuskan penggunaannya hanya untuk mengurus perniagaan.

Bagi memberi perkhidmatan terbaik pula, Dell juga telah menyediakan khidmat sokongan teknikal seperti bantuan kerosakan dan perundingan kepada para pelanggannya yang menghadapi masalah.

Dengan segala fungsi tersebut, Dell Vostro A860 ini dilihat mampu untuk membantu meningkatkan produktiviti perniagaan.

Model tersebut hanya akan berada di pasaran bermula 22 September lalu dengan tawaran harga kurang dari RM2,000.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk ini, layari laman web www.dell.com.

No comments: