Saturday, September 27, 2008

Roket ciptaan remaja



Selain roket sasaran, kreativiti peserta juga diuji untuk membina payung terjun pada Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket 2008 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SEJAK kali pertama dianjurkan pada 2003, Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket telah berjaya meningkatkan kemahiran serta kreativiti pelajar dalam bidang teknologi angkasa.

Melihat kepada kejayaan itu, penganjuran program tersebut diteruskan setiap tahun sehingga memasuki tahun keenam pada tahun ini.

Secara amnya, pertandingan tersebut terbuka kepada para pelajar tingkatan empat dari semua sekolah menengah Kementerian Pelajaran termasuk sekolah menengah agama bantuan kerajaan di seluruh negara.

Program anjuran Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dengan kerjasama Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum Kementerian Pelajaran dan Universiti Malaya itu bermatlamat supaya pelajar menjadikan bidang sains angkasa sebagai sesuatu yang mencabar dan menyeronokkan.

Menurut Pegawai Sains Angkasa, Jong Tzekian, pertandingan tersebut dapat memberi peluang kepada pelajar berfikir secara kreatif dan inovatif.

"Aktiviti begini dapat memberi landasan kepada pelajar mengaplikasikan teori dan konsep yang dipelajari di sekolah dengan pelaksanaan teknikal yang secara tidak langsung dapat meningkatkan kefahaman mereka,'' katanya.

Sejak beberapa bulan lalu, pertandingan tersebut telah dijalankan di peringkat negeri dan sebanyak 30 buah sekolah dari seluruh negara telah terpilih untuk bertanding di peringkat kebangsaan bagi merebut piala Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Kesemua pasukan yang terdiri daripada dua orang pelajar dan seorang guru itu telah menyertai pertandingan tersebut pada 24 hingga 26 Ogos lalu di Universiti Malaya.

Pertandingan itu memerlukan pelajar terlibat dalam dua kategori yang dipertandingkan iaitu kategori roket sasaran dan juga kategori payung terjun.

"Sehari sebelum pertandingan, pelajar telah diberikan masa selama tiga jam untuk mereka mencipta roket dan payung terjun mereka daripada bahan- bahan yang telah disediakan tanpa dibantu oleh guru mereka,'' jelasnya.

Bagi kategori roket sasaran, para pelajar dikehendaki mencipta roket air yang sempurna mengunakan botol minuman berkarbonat 1.5 liter dengan mengaplikasikan teknik tekanan udara.

Melalui ciptaan itu, kreativiti para pelajar diperlukan untuk meminimumkan daya geseran agar roket dapat dilancarkan dengan sempurna ke ke sasaran paling jauh menggunakan alat pelancar.

Untuk kategori payung terjun pula, setiap pasukan perlu mencipta payung terjun dengan menggunakan kombinasi bahan seperti botol dan juga plastik.

"Pemarkahan akan diberi berdasarkan masa payung terjun itu terbang di udara sebelum mendarat di permukaan tanah,'' jelasnya.

Menurut guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsan Merchang, Terengganu, Che Johan Mohd. Amin, 50, sekolahnya telah menyertai pertandingan tersebut sebanyak dua kali.

Pengalaman

"Berdasarkan pengalaman tahun lepas, kita akan cuba buat yang terbaik pada pertandingan kali ini,'' katanya.

Bagi pelajarnya, Ahmad Fawwaz Zaman dan Long Faliq Firdaus Long Yahya, mereka telah berlatih di sekolah sejak tiga bulan lalu dengan dibimbing oleh guru sains mereka sebagai persediaan menghadapi pertandingan tersebut.

"Kami mengaplikasikan teknik yang telah dipelajari di sekolah untuk membina roket ini seperti pengiraan matematik untuk mencari sudut yang sesuai di samping mengambil kira faktor tekanan air dan udara,'' kata mereka.

Untuk Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Undang Haji Adnan, Negeri Sembilan pula, mereka menghantar peserta perempuan sebagai mewakili sekolah mereka.

Normardziana Mohd. Ramli dan Siti Maisarah Mazlan melihat pertandingan tersebut sebagai cabaran untuk mereka memahami bidang saing dan teknologi dengan lebih mendalam.

"Walaupun kebanyakan peserta pertandingan ini terdiri daripada pelajar lelaki, namun kami tetap akan menyaingi mereka untuk memberi yang terbaik,'' jelas mereka.

Menurut guru yang bertanggungjawab untuk mengemudi pasukan dari Sekolah Teknik Kangar, Perlis dan seterusnya menjadi johan pertandingan itu, Sukri Salim, bagi menghadapi pertandingan di peringkat kebangsaan, pasukannya telah menjalankan persiapan sejak bulan Mei lalu lagi.

"Selain itu, kami juga telah mendapatkan khidmat nasihat serta tunjuk ajar daripada beberapa peserta yang pernah menyertai pertandingan ini bagi menghasilkan roket yang terbaik,'' katanya

No comments: