Thursday, September 18, 2008

Al-Quran dalam bahasa dunia


Perpustakaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berjaya menghimpunkan 50 naskhah Al-Quran terjemahan meliputi 40 bahasa di dunia. Wartawan ADHAM SHADAN dan jurugambar DJOHAN SHAHRIN SHAH mengupas usaha mengumpulkannya.


KITAB-KITAB terjemahan al-Quran ini menjadi lambang Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia.


Tanggal 17 Ramadan 610 Masihi menjadi detik permulaan kalam Allah, al-Quran diturunkan. Kitab suci ini diturunkan melalui perantaraan malaikat Jibril, wahyu Ilahi yang membacakan surah al-Alaq ayat 1 hingga 5 diturunkan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w di gua Hira'. Turunnya ayat suci yang pertama ini turut menjadi lambang kerasulan baginda.

Secara beransur-ansur selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah, sempurnalah ia disampaikan. Ayat terakhir, ayat 281 surah al-Baqarah diturunkan sembilan hari sebelum kewafatan Rasulullah. Apabila baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir, mukjizat agung tinggalan baginda hanyalah kitab suci al-Quran, selain al-hadis yang menjadi pedoman dan panduan umat Islam seluruh dunia sehingga ke akhir zaman.

Hari ini, Islam telah berkembang luas. Merentasi benua dan merentasi sempadan bangsa. Meskipun al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, namun usaha untuk memahami pengertiannya menjadi milik semua umat manusia.


ANTARA bahasa-bahasa terjemahan al-Quran yang boleh didapati dalam koleksi perpustakaan UIAM di Gombak, Kuala Lumpur.


Namun, bukan semua orang memahami bahasa Arab. Berikutan itu, terbitlah naskhah-naskhah terjemahannya dalam pelbagai bahasa di dunia. Semoga dengan itu, kalam Allah dapat lebih dihayati dan bukan sekadar dialun dalam bacaan semata-mata.

Menyedari kewujudan terjemahan Al-Quran dalam pelbagai bahasa dan tidak terdapat banyak pihak menghasilkan koleksi seumpamanya, Perpustakaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak, Kuala Lumpur (UIAM) mengambil inisiatif menghimpunkan terjemahan-terjemahan al-Quran ini agar menjadi koleksi dan pusat rujukan.

Koleks ini dilakukan secara berfasa. Bagi fasa pertama ini, pihak perpustakaan telah berjaya mengumpulkan 50 naskhah al-Quran terjemahan yang meliputi 40 bahasa.

Antaranya ialah Albania, Melayu, Indonesia (Basa Mandar), Burma, China, Belanda, Inggeris, Perancis, Jerman, Hungary, Filipina (Iranon), Jepun, Portugis, Korea, Kazakhstan, Macedonia dan Rusia.

Selain itu, ia turut diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia, Bosnia, Somali, Urdhu, Zulu, Thailand, Icelandic, Inca (Peru), Yunan, Tamil, Sind, Malayalam, Telugu, Turki dan banyak lagi.

Ketua pustakawan UIAM, Nooraini Ismail yang turut menggerakkan projek pengumpulan tersebut memberitahu, idea penghasilan tersebut timbul pada pertengahan tahun lalu ketika beliau mengunjungi Mesir dan Jordan.

"Saya mula menyedari bahawa tidak pernah ada usaha untuk menghimpunkan terjemahan-terjemahan al-Quran pelbagai bahasa secara khusus. Hal ini telah mendorong pihak kami untuk menghimpunkan dan menjadikannya koleksi," katanya sambil menjelaskan naskhah-naskhah yang diperoleh adalah naskhah-naskhah cetakan moden.


SEORANG pelajar memerhati lembaran terjemahan al-Quran dalam bahasa Cina.


Menurutnya, kebanyakan al-Quran terjemahan ini didapati dengan membelinya daripada pengeluar al-Quran, kompleks al-Quran King Fahd di Madinah, selain mendapatkan sumbangan daripada pihak-pihak tertentu termasuk pelajar. Mereka juga berusaha memperolehnya dari pembekal-pembekal dari Timur Tengah.

Berbicara lanjut tentang koleksi ini, Nooraini berkata, naskhah-naskhah terjemahan al-Quran ini menunjukkan betapa luasnya syiar Islam dan terdapatnya kehendak untuk memahaminya.

"Jika ada terjemahan dalam bahasa tertentu bermakna ada umat Islam di sana dan kehendak untuk memahaminya dalam kalangan bangsa mereka.

"Kami juga terkejut apabila menemui terjemahan dalam bahasa-bahasa yang dipertuturkan masyarakat di bumi yang kami kira agak terpencil dan asing. Kami tidak menyangka apabila berjaya memperoleh terjemahan al-Quran dalam bahasa Inca di Peru," katanya.

Berhubung harapannya, Nooraini berkata, pihaknya kini sedang giat melakukan kajian dan mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai bahasa-bahasa yang pernah diterjemahkan.

"Alhamdulillah, dalam masa beberapa bulan sahaja, kami berjaya memperoleh 40 bahasa terjemahan. Kami juga berhasrat untuk menyampaikan maklumat ini kepada bekas-bekas pelajar kami yang berada di 100 buah negara agar mereka dapat menambah koleksi ini.

"Kami percaya, masih ada lagi bahasa-bahasa lain yang mungkin tidak kita ketahui ada terjemahannya," ujar Nooraini yang mahu menambah koleksi ini selengkapnya mencakupi semua bahasa yang pernah diterjemahkan.

Katanya, pihak perpustakaan memperuntukkan bajet tahunan sebanyak RM5 juta bagi mendapatkan koleksi-koleksi baru perpustakaan, termasuk mengumpul al-Quran terjemahan ini.

Menyentuh tentang penyimpanannya, Nooraini berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah penjagaan kerana terjemahan-terjemahan al-Quran ini merupakan naskhah cetakan moden dan bukannya manuskrip lama.


BEGINILAH terjemahan al-Quran dalam bahasa Inca, Peru.


Nooraini menjelaskan, terjemahan-terjemahan al-Quran yang dibawa masuk ke negara ini juga perlu mendapatkan permit daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dirujuk terlebih dahulu dengan pihak agama di negara berkenaan bagi memastikan kesahihannya.

Sementara itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UIAM, Hamidon Abd. Hamid menyifatkan koleksi ini melambangkan betapa syiar Islam telah tersebar luas.

"Dari konteks taburan bangsa juga, ia memperlihatkan masyarakat Islam berada di pelbagai ceruk rantau. Ada di Afrika, Asia dan kawasan-kawasan yang tidak dijangka," katanya.

Tambahnya: "Perpustakaan juga berjaya mendapatkan terjemahan al-Quran yang masih dalam bentuk tulisan jawi seperti bahasa Urdhu dan Parsi."

Menurutnya lagi, koleksi al-Quran terjemahan ini juga boleh dimanfaatkan oleh pengkaji dan pelajar jurusan bahasa dan linguistik atau pengajian Islam untuk mengkaji ketepatan terjemahan yang diberikan.

"Terjemahan kadang kala mungkin hanya tepat dari segi kognitif, tetapi tidak begitu bertepatan dalam menyampaikan 'perasaan' sesuatu ayat.

"Seperti dalam surah al-Fatihah, ayat 'iyyaka na'budu waiiya ka nasta'in', memang betul jika kita terjemahkannya sebagai 'kepada Engkaulah kami sembah dan kepada Engkaulah kami memohon pertolongan' tetapi ia akan menjadi lebih tepat jika diterjemahkan seperti 'hanya kepada Engkaulah kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan'," tambahnya sekadar memberikan contoh.

Pada masa ini, pihak perpustakaan UIAM sedang mengadakan pameran al-Quran-al-Quran terjemahan sempena sambutan Jubli Perak universiti berkenaan. Pameran tersebut yang dinamakan Al-Quran in World Languages (Al-Quran dalam Bahasa Dunia) berlangsung di perpustakaan UIAM sehingga satu masa yang akan ditetapkan.

Koleksi karya pemikir Islam

Selain bercita-cita untuk menambah koleksi al-Quran terjemahan, pihak perpustakaan UIAM Gombak, Kuala Lumpur juga menyimpan cita-cita besar untuk menjadi hab karya pemikir Islam.

“Memang banyak karya-karya pemikir Islam terulung seperti Ibn Sina, Ibn Rushd, Ibn Battuta, Al-Ghazali, Al-Kindi, Al-Khawarizmi dan banyak lagi yang terdapat di perpustakaan-perpustakaan tetapi tidak ada satu seksyen yang menghimpunkan kesemua karya-karya pemikir ini secara khusus.

“Perpustakaan UIAM berhasrat untuk menjayakan cita-cita ini, di mana kesemua koleksi karya-karya pemikir itu dihimpunkan dalam satu seksyen khas. Ia merangkumi pemikir Islam terulung dari abad pertama hinggalah sekarang,” kata ketua perpustakaan, Nooraini Ismail.


TERJEMAHAN al-Quran dalam bahasa Urdhu ini masih dalam tulisan jawi.

TERJEMAHAN al-Quran dalam bahasa Urdhu ini masih dalam tulisan jawi.


Menjelaskan lebih lanjut mengenainya, Nooraini memberitahu, seksyen yang dimaksudkan itu ialah satu seksyen eksklusif yang membolehkan kesemua karya ini dihimpun dan diletakkan dalam satu seksyen yang mana ia hanya boleh dirujuk di situ sahaja.

“Ini bermakna, ia tidak boleh dibawa keluar dari seksyen tersebut. Jadi, ia akan sentiasa ada untuk menjadi rujukan para pembaca,” katanya.

Setakat ini, perpustakaan UIAM telah berjaya menghimpunkan 720 jilid melibatkan 140 judul. Antara karya yang berjaya dikumpulkan ialah al-muqaddimat al-mumahhadat karya Ibn Rushd, al-Sunan al-Sughra karya al-Baihaqi, al-Isabah fi tamyiz al-sahabah karya Ibn Hajar, Subh al-a’shi karya al-Qalqashandi dan al-wasit fi sharh qanun al-madani al-jadid, karya al-Sananhuri.

Menjernihkan kekaburan, Nooraini menjelaskan mungkin ada antara buku-buku di seksyen khas tersebut turut terdapat pada seksyen yang biasa. Justeru, jika mahu membuat pinjaman, mereka boleh meminjamnya dari seksyen biasa tersebut.


NOORAINI ISMAIL


Berhubung cita-cita ini, Nooraini berkata, objektifnya adalah untuk menjadi perpustakaan penyelidikan yang dikenali dalam usaha membangunkan seksyen eksklusif karya pemikir Islam.

“Usaha ini telah dimulakan sejak bulan lalu. Kami mensasarkan untuk mencapainya pada tahun 2010 atau 2011,” katanya.

No comments: