Sunday, June 21, 2009

Kredit BM syarat lulus SPM wajar


KUALA LUMPUR 21 Jun - Cadangan mewajibkan pelajar lulus di peringkat kredit bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) sebagai syarat layak memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) amat wajar dilaksanakan.

Presiden Persatuan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, ia berupaya menjadi penanda aras kepada penguasaan lebih baik bahasa kebangsaan itu di kalangan pelajar.

''Ia tidak sukar dilaksanakan dan tidak membebankan pelajar kerana sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia mahir menguasai bahasa Melayu,'' katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas syarat Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang bersetuju dengan cadangan mewajibkan calon SPM perlu lulus Bahasa Inggeris jika kerajaan memenuhi lapan tuntutan mereka.

Gapena antaranya mahu BM diwajibkan lulus peringkat kredit untuk mendapat SPM.

Mohamad Ali berkata, PIBGN menyokong penuh cadangan Gapena itu kerana ia akan dapat memperkukuhkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad yang turut menyokong cadangan itu yakin langkah tersebut akan meningkatkan mutu dan prestasi pelajar menguasai mata pelajaran itu.

''Bahasa Melayu juga akan dapat dimartabatkan ke tahap lebih baik sekiranya langkah ini dilaksanakan,'' katanya.

Pelajar teruja saksi pelancaran MEASAT-3a



Dari kiri: Ahmad Ruiz Mohd. Asri, Lina Na’ilah Abdul Talip, Edmund Lau, Cliff Asher R. Ongil dan K. Chandra Sekhar melihat model roket Proton Breeze M yang digunakan unruk misi pelancaran satelit di Cyberjaya, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 17 Jun – Lima pelajar Malaysia yang terpilih ke pelancaran satelit MEASAT-3a di Baikonur, Kazakhstan berasa teruja bakal menyaksikan sendiri peristiwa bersejarah tersebut yang dijadualkan pada 22 Jun ini.

Ketika ditemui pemberita baru-baru ini, kesemua mereka yang merupakan pelajar tingkatan lima menyifatkan peluang tersebut sebagai sekali seumur hidup.

Justeru mereka kini seakan sudah tidak sabar menjejaki bumi Baikonur apabila dimaklumkan tarikh pelancaran satelit keempat milik Measat Satellite System Sdn. Bhd (Measat) itu telah diperoleh.

Bukan itu sahaja, pelajar terbabit, Ahmad Ruiz Mohd. Asri dari Kuala Lumpur, K. Chandra Sekhar (Johor Bahru); Cliff Asher R. Ongil (Beaufort), Lina Na’ilah Abdul Talip (Kajang) dan Edmund Lau (Kuching) juga berpeluang mengadakan lawatan ke lokasi industri angkasa Rusia.

Ini lawatan ke Star City, Moscow yang sememangnya tersohor di seluruh dunia sebagai pusat latihan angkasawan utama di peringkat antarabangsa.

Ia termasuk tempat Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor menjalani latihan tidak lama dahulu.

Di Baikonur pula, mereka akan dibawa melawat kompleks pelancaran roket terbesar serta menjejaki kehidupan angkasawan pertama di Muzium Angkasa Yuri Gagarin.

Pemilihan kelima-lima pelajar itu dibuat pihak penganjur berdasarkan pencapaian cemerlang pada Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007 selain penglibatan aktif dalam aktiviti berkaitan sains dan teknologi.

Sepanjang lawatan itu, mereka akan diberi kamera video untuk merakamkan detik penting bagi dikongsikan pengalaman bersama dengan pelajar lain sekembalinya ke tanah air.

Measat dalam kenyataannya hari ini memberitahu, para pelajar itu telah diberi pendedahan berhubung penggunaan kamera video serta saat-saat yang penting untuk dirakamkan.

Sementara itu, Kaunsel Umum Measat, Farah Suhanah Ahmad Sarji berkata, pihaknya amat teruja untuk memberi peluang kepada pelajar terbabit menjelajahi kemajuan industri angkasa Rusia selain menyaksikan pelancaran MEASAT-3a.

Sunday, June 14, 2009

Student Mesir Kembali Kerahmatullah

Muhammad Amar selamat dikebumi

KEPALA BATAS 14 Jun - Jenazah Muhammad Amar Zulkiflie (gambar), pelajar Malaysia di Universiti Kaherah, Mesir yang maut dalam kemalangan jalan raya pada Khamis lalu selamat dikebumikan hari ini.

Suasana sedih dan pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Taman Bertam Indah di sini, ketika jenazah Allahyarham diturunkan ke liang lahat kira-kira pukul 6.30 pagi.

Jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 10 malam semalam sebelum dibawa dengan van jenazah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ke rumah keluarganya di Taman Bertam Indah.

Sejurus tiba kira-kira pukul 4.50 pagi, keranda dibuka bagi membolehkan ibu bapa Allahyarham, Zulkiflie Ismail, 47, dan Siti Fatimah Ramli, 46, serta adik-beradik dan sanak-saudara melihat jenazah untuk kali terakhir.

Selepas itu, jenazahnya dibawa ke Masjid At-Taqwa dan disembahyangkan selepas solat subuh.

Zulkiflie yang ditemui selepas upacara itu memberitahu, dia bercadang untuk mengerjakan upah haji sebagai memenuhi hasrat Allahyarham untuk menunaikan ibadat umrah sebelum ini.

"Allahyarham pernah menyatakan hasrat untuk mengerjakan umrah pada bulan Ramadan ini. Saya akan cuba melakukannya secepat mungkin dan semoga amalan itu akan diterima oleh Allah," katanya.

Muhammad Amar, 21, pelajar perubatan tahun tiga di Universiti Kaherah, meninggal dunia apabila kereta yang dinaiki bersama empat rakannya terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan ketika pulang dari Ain Sokhna, Kaherah, kira-kira pukul 3 pagi Khamis lalu.

Empat lagi rakannya yang berusia lingkungan 20-an iaitu Abdul Rahman Ramdzan patah lengan kanan, Akram Abdul Kadir masih koma manakala Muhamad Fitri Tokiran dan Saif Jamaluddin hanya cedera ringan.

Sementara itu, Siti Fatimah memberitahu, dia bersyukur kerana urusan pengebumian jenazah anaknya berjalan lancar dan terharu dengan kehadiran orang ramai termasuk rakan- rakan anaknya.

"Makcik bersyukur kerana mendapat lebih ramai anak hari ini. Awak semua makcik anggap sebagai anak makcik sendiri kerana sudah menjadi kawan baik kepada Amar.

"Jadi sekurang-kurangnya makcik masih ada ramai anak lain," katanya merujuk kepada kira-kira 50 rakan persekolahan Allahyarham dari Maahad Tarbiyah Islamiyah (Matri) Beseri, Perlis yang hadir pada upacara pengebumian itu.