Wednesday, May 4, 2011

Mahirkan diri urus hutang



SYAIFUL AZLAN SURAZI merupakan salah seorang pengguna kad kredit yang bebas daripada belenggu hutang selepas mendapat khidmat AKPK.


PINJAMAN peribadi dan kad kredit begitu sinonim dengan kehidupan masyarakat hari ini. Amalan mengambil pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit sebenarnya tidak lebih daripada berhutang yang bunyi hutang mungkin tidak sedap didengar.

Tidak bijak menguruskan kewangan dengan meminjam dan menggunakan kad kredit yang melebihi kemampuan boleh menyebabkan seseorang itu menjadi muflis.

Menurut Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman, rakyat negara ini seharusnya mengikis tabiat berhutang dan liat membayar hutang agar tidak terus menjadi satu budaya.

Katanya, rakyat negara ini perlu diberi kesedaran dan kemahiran mengurus kewangan termasuk hutang. Tambahan sekarang, institusi kewangan itu sendiri menggalakkan orang berhutang termasuk memberi kemudahan kad kredit.

“Ada institusi kewangan yang begitu mudah menawarkan pinjaman kepada pemegang akaun mereka walaupun tidak diminta. Bagi yang mudah terpengaruh, akan menerima tawaran tersebut dan akhirnya terjebak dengan hutang yang tidak berkesudahan,” tegas Mohd. Yusof.

Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memantau kegiatan institusi kewangan seperti itu kerana ia adalah amalan yang tidak sihat lantaran secara terang-terangan menggalakkan orang berhutang.

Pada masa yang sama kerajaan dilihat turut tegas mengambil langkah memerangi kegiatan ah long atau ceti haram kerana ia adalah antara punca mudah berhutang.

Mohd. Yusof lalu merujuk kepada satu kenyataan BNM apabila sehingga akhir November 2010, hutang isi rumah mencecah sebanyak RM577 bilion.

Daripada jumlah tersebut, RM118 bilion adalah pinjaman kereta, RM22 bilion pinjaman peribadi dan RM225 bilion pula pinjaman perumahan.

Risiko muflis

Risiko diisytihar muflis atau bankrap. Ini yang perlu difikirkan oleh mereka yang begitu mudah mengambil pinjaman peribadi dengan institusi kewangan.

Sekiranya orang yang berhutang gagal menjelaskan ansuran pinjaman tersebut dua kali berturut-turut, institusi kewangan menghantar notis kepada si berhutang, katanya.

Tambahnya, jika jumlahnya melebihi RM30,000, institusi kewangan boleh mengambil tindakan untuk mengisytiharkan seseorang itu sebagai muflis!

Beliau merujuk kepada statistik kes muflis Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh 2005 hingga Mei 2010 di mana seramai 80,348 orang disenarai muflis.

Sebab muflis

Sebab-sebab kebankrapan yang disenarai adalah hutang cukai pendapatan, hutang kad kad kredit, hutang pinjaman perniagaan, sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan, penjamin korporat, penjamin sosial, biasiswa/pinjaman pelajaran dan keberhutangan yang lain.

Statistik daripada sumber yang sama menunjukkan sebab kebankrapan utama adalah keberhutangan yang lain (29.05 peratus), diikuti sewa beli kenderaan (24.12 peratus), hutang pinjaman perniagaan (10.93 peratus), pinjaman perumahan (7.49 peratus) dan hutang kad kredit (5.50 peratus).

Dari segi bangsa, statistik Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh yang dikaji menunjukkan paling ramai muflis ialah Melayu 39.76 peratus diikuti Cina 33.36 peratus, India 9.53 peratus sementara lain-lain 17.34 peratus.

Memang pantau


KEGAGALAN melunaskan hutang ah long mengancam keamanan hidup dan keselamatan nyawa seseorang peminjam.


Menurut Mohd. Yusof, FOMCA memang dari semasa ke semasa memantau sikap suka berhutang dan ia merangkumi semua peringkat masyarakat dan kaum. Pemantauan itu dilaksanakan susulan daripada program pengurusan kewangan dengan BNM oleh Fomca, yang bermula Jun 2010 hingga April ini.

“Data berkaitan kadar pinjaman dan hutang rakyat Malaysia digunakan semasa program pengurusan kewangan untuk memberikan kesedaran kepada peserta tentang tabiat buruk berhutang. Selain itu, FOMCA dengan kerjasama Bank Negara sedang menerbitkan buletin Ringgit secara bulanan.

“Buletin ini memuatkan rencana mengenai pengurusan kewangan peribadi,” tambah Mohd Yusof.

Mohd. Yusof berkata, memang ada agensi dan badan bukan kerajaan mengadakan program pengurusan kewangan bagi golongan muda dan dewasa.

Pihak berkenaan termasuk Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Suruhanjaya Sekuriti melalui Securities Industry Development Corporation dan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

Bagi mengelakkan pertindanan dari segi sasaran program dan bagi menyelaraskan program pengurusan kewangan, FOMCA menurut Mohd. Yusof, telah mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan Kewangan Kebangsaan (SPKK).

Suruhanjaya tersebut, katanya perlu memberi tumpuan kepada empat fungsi utama iaitu membina kesedaran awam terharap sumber sedia ada, membangunkan strategi penyebaran maklumat dan mengikut golongan sasar.

Tidak ketinggalan SPKK perlu mewujudkan kerjasama antara sektor awam dan sektor swasta serta akhir sekali melakukan kajian dan penilaian terhadap program pendidikan kewangan.

SPKK juga perlu mengkoordinasi semua program pendidikan pengurusan kewangan semua agensi untuk meminimumkan sebarang pertindanan dan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan.

Di samping itu, ia juga perlu membangunkan satu strategi nasional untuk mempromosi pendidikan pengurusan kewangan untuk semua rakyat Malaysia dan membangunkan satu laman web pendidikan peringkat kebangsaan untuk membekal maklumat tentang pendidikan pengurusan kewangan.

“Ia juga perlu mewujudkan satu talian tol bebas untuk orang ramai mendapatkan bahan yang berkaitan dengan pengurusan pendidikan kewangan,” kata Mohd. Yusof.

Dari segi mengurus hutang, beliau berkata ia mesti dikendalikan institusi kewangan yang dikawal selia oleh Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA).

Beliau menambah pengguna juga hendaklah dimaklumkan tentang semua caj dan sebarang caj yang melibatkan pengguna sebelum caj tersebut dikenakan.

“Dalam semua hal, pengguna perlu dilindungi oleh Bank Negara dan semua kontrak hendaklah ditulis dengan menggunakan bahasa yang mudah dan boleh difahami,” katanya.

Pada masa yang sama, Mohd. Yusof berkata, masyarakat juga perlu diberi pendedahan tentang beberapa instrumen simpanan dan pelaburan yang ada untuk keperluan masa depan termasuk untuk kecemasan.

Pakej simpanan yang perlu diberi pendedahan ialah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, insurans hayat/takaful (termasuk yang menyediakan pakej simpanan) serta amanah saham.

Beliau turut menyarankan supaya pelaburan terhadap emas perlu diberi pertimbangan memandangkan pada masa ini harga emas semakin meningkat, selain nilainya yang stabil. – Bernama

Sunday, June 21, 2009

Kredit BM syarat lulus SPM wajar


KUALA LUMPUR 21 Jun - Cadangan mewajibkan pelajar lulus di peringkat kredit bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) sebagai syarat layak memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) amat wajar dilaksanakan.

Presiden Persatuan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, ia berupaya menjadi penanda aras kepada penguasaan lebih baik bahasa kebangsaan itu di kalangan pelajar.

''Ia tidak sukar dilaksanakan dan tidak membebankan pelajar kerana sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia mahir menguasai bahasa Melayu,'' katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas syarat Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang bersetuju dengan cadangan mewajibkan calon SPM perlu lulus Bahasa Inggeris jika kerajaan memenuhi lapan tuntutan mereka.

Gapena antaranya mahu BM diwajibkan lulus peringkat kredit untuk mendapat SPM.

Mohamad Ali berkata, PIBGN menyokong penuh cadangan Gapena itu kerana ia akan dapat memperkukuhkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad yang turut menyokong cadangan itu yakin langkah tersebut akan meningkatkan mutu dan prestasi pelajar menguasai mata pelajaran itu.

''Bahasa Melayu juga akan dapat dimartabatkan ke tahap lebih baik sekiranya langkah ini dilaksanakan,'' katanya.

Pelajar teruja saksi pelancaran MEASAT-3a



Dari kiri: Ahmad Ruiz Mohd. Asri, Lina Na’ilah Abdul Talip, Edmund Lau, Cliff Asher R. Ongil dan K. Chandra Sekhar melihat model roket Proton Breeze M yang digunakan unruk misi pelancaran satelit di Cyberjaya, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 17 Jun – Lima pelajar Malaysia yang terpilih ke pelancaran satelit MEASAT-3a di Baikonur, Kazakhstan berasa teruja bakal menyaksikan sendiri peristiwa bersejarah tersebut yang dijadualkan pada 22 Jun ini.

Ketika ditemui pemberita baru-baru ini, kesemua mereka yang merupakan pelajar tingkatan lima menyifatkan peluang tersebut sebagai sekali seumur hidup.

Justeru mereka kini seakan sudah tidak sabar menjejaki bumi Baikonur apabila dimaklumkan tarikh pelancaran satelit keempat milik Measat Satellite System Sdn. Bhd (Measat) itu telah diperoleh.

Bukan itu sahaja, pelajar terbabit, Ahmad Ruiz Mohd. Asri dari Kuala Lumpur, K. Chandra Sekhar (Johor Bahru); Cliff Asher R. Ongil (Beaufort), Lina Na’ilah Abdul Talip (Kajang) dan Edmund Lau (Kuching) juga berpeluang mengadakan lawatan ke lokasi industri angkasa Rusia.

Ini lawatan ke Star City, Moscow yang sememangnya tersohor di seluruh dunia sebagai pusat latihan angkasawan utama di peringkat antarabangsa.

Ia termasuk tempat Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor menjalani latihan tidak lama dahulu.

Di Baikonur pula, mereka akan dibawa melawat kompleks pelancaran roket terbesar serta menjejaki kehidupan angkasawan pertama di Muzium Angkasa Yuri Gagarin.

Pemilihan kelima-lima pelajar itu dibuat pihak penganjur berdasarkan pencapaian cemerlang pada Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007 selain penglibatan aktif dalam aktiviti berkaitan sains dan teknologi.

Sepanjang lawatan itu, mereka akan diberi kamera video untuk merakamkan detik penting bagi dikongsikan pengalaman bersama dengan pelajar lain sekembalinya ke tanah air.

Measat dalam kenyataannya hari ini memberitahu, para pelajar itu telah diberi pendedahan berhubung penggunaan kamera video serta saat-saat yang penting untuk dirakamkan.

Sementara itu, Kaunsel Umum Measat, Farah Suhanah Ahmad Sarji berkata, pihaknya amat teruja untuk memberi peluang kepada pelajar terbabit menjelajahi kemajuan industri angkasa Rusia selain menyaksikan pelancaran MEASAT-3a.

Sunday, June 14, 2009

Student Mesir Kembali Kerahmatullah

Muhammad Amar selamat dikebumi

KEPALA BATAS 14 Jun - Jenazah Muhammad Amar Zulkiflie (gambar), pelajar Malaysia di Universiti Kaherah, Mesir yang maut dalam kemalangan jalan raya pada Khamis lalu selamat dikebumikan hari ini.

Suasana sedih dan pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Taman Bertam Indah di sini, ketika jenazah Allahyarham diturunkan ke liang lahat kira-kira pukul 6.30 pagi.

Jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 10 malam semalam sebelum dibawa dengan van jenazah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ke rumah keluarganya di Taman Bertam Indah.

Sejurus tiba kira-kira pukul 4.50 pagi, keranda dibuka bagi membolehkan ibu bapa Allahyarham, Zulkiflie Ismail, 47, dan Siti Fatimah Ramli, 46, serta adik-beradik dan sanak-saudara melihat jenazah untuk kali terakhir.

Selepas itu, jenazahnya dibawa ke Masjid At-Taqwa dan disembahyangkan selepas solat subuh.

Zulkiflie yang ditemui selepas upacara itu memberitahu, dia bercadang untuk mengerjakan upah haji sebagai memenuhi hasrat Allahyarham untuk menunaikan ibadat umrah sebelum ini.

"Allahyarham pernah menyatakan hasrat untuk mengerjakan umrah pada bulan Ramadan ini. Saya akan cuba melakukannya secepat mungkin dan semoga amalan itu akan diterima oleh Allah," katanya.

Muhammad Amar, 21, pelajar perubatan tahun tiga di Universiti Kaherah, meninggal dunia apabila kereta yang dinaiki bersama empat rakannya terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan ketika pulang dari Ain Sokhna, Kaherah, kira-kira pukul 3 pagi Khamis lalu.

Empat lagi rakannya yang berusia lingkungan 20-an iaitu Abdul Rahman Ramdzan patah lengan kanan, Akram Abdul Kadir masih koma manakala Muhamad Fitri Tokiran dan Saif Jamaluddin hanya cedera ringan.

Sementara itu, Siti Fatimah memberitahu, dia bersyukur kerana urusan pengebumian jenazah anaknya berjalan lancar dan terharu dengan kehadiran orang ramai termasuk rakan- rakan anaknya.

"Makcik bersyukur kerana mendapat lebih ramai anak hari ini. Awak semua makcik anggap sebagai anak makcik sendiri kerana sudah menjadi kawan baik kepada Amar.

"Jadi sekurang-kurangnya makcik masih ada ramai anak lain," katanya merujuk kepada kira-kira 50 rakan persekolahan Allahyarham dari Maahad Tarbiyah Islamiyah (Matri) Beseri, Perlis yang hadir pada upacara pengebumian itu.

Tuesday, May 19, 2009

Anjing telah membuat refamasi

Angkara pembalakan?

Dendam dipercayai menjadi punca sekumpulan anjing hutan mengganas dengan membaham haiwan ternakan di Felda Tenang, Besut, Terengganu baru-baru ini. Mengapakah haiwan itu semakin ‘dekat’ dengan manusia.




ISU melibatkan segerombolan anjing hutan yang mengganas lalu membaham lebih daripada 230 ekor lembu milik peneroka Felda Tenang, di Besut, Terengganu baru-baru ini begitu menggemparkan.

Kebimbangan yang dirasai penduduk bertambah apabila haiwan liar itu bergerak memasuki ladang pada waktu malam dengan sasarannya ternakan lembu milik peneroka.

Lebih aneh, bukan bahagian badan kambing atau ayam yang dimakannya, tetapi hati dan limpa lembu sahaja yang dibahamnya.

Anjing hutan atau nama saintifiknya Dhole (Canis Alpinus) lebih dikenali sebagai Asiatic Wild Dog, Red Dog atau Dhole.

Mempunyai bentuk fizikal yang lebih menyerupai anjing hutan Afrika dan anjing Bush, beratnya boleh mencecah sehingga 12 hingga 20 kilogram, manakala tingginya antara 43 hingga 55 sentimeter dengan panjang lebih satu meter.

Mamalia karnivor itu mempunyai tengkorak berbentuk kubah, pendek dan muncung yang luas. Tulang dahi dan rahang atasnya bersaiz besar. Begitu juga, saiz telinga yang besar dan bulat serta memiliki bentuk mata bertukup dengan iris matanya berwarna coklat gelap.


ANJING hutan tidak pandai mengepung atau membaham mangsa secara berkumpulan.


Bagi mamalia seperti serigala atau nama saintifiknya Canis Lupus, secara umumnya ia mempunyai ketinggian 60 hingga 80 sentimeter dan berat antara 23 hingga 59 kilogram. Terdapat juga spesies anjing yang memiliki bentuk fizikal mirip serigala, misalnya anjing Siberian Husky dan Samoyed. Mamalia itu juga adalah haiwan liar paling besar dalam keluarga Canidae.

Menjadi persoalan, adakah tabiat anjing hutan menyerupai serigala sewaktu membaham dan menyerang mangsanya?

"Asal usul anjing hutan adalah daripada serigala kelabu atau Grey Wolf. Dari segi kepintaran, serigala lebih cerdik berbanding anjing hutan, memandangkan saiz otaknya lebih besar daripada saiz otak anjing hutan.

"Serigala adalah sejenis haiwan yang cerdik dan mempunyai strategi untuk mengepung mangsa dalam satu kumpulan spesies yang sama.

"Anjing hutan tidak pandai untuk mengepung atau membaham secara berkumpulan. Haiwan itu akan menyerang mangsa secara bersendirian mahupun berkumpulan tanpa perlu melakukan strategi, sekiranya terlalu lapar," jelas Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah ketika ditemui Kosmo! di Hulu Kelang, Ampang,
PEMBALAK yang menjadikan anjing sebagai penjaga kawasan dan kemudian melepaskannya antara faktor yang mendesak anjing mengancam ternakan penduduk kampung. - Gambar hiasan



DR. MOHAMAD NGAH


Selangor baru-baru ini. Kini, terdapat lebih daripada 400 spesies anjing di dunia. Spesies anjing domestik seperti German Shephard, Dalmatian, Bull Dog dan Doberman, manakala anjing hutan seperti Himalayan Wolf, Dhole, Indian Wolf dan Canis Sumatraensis.

Menyentuh mengenai apakah yang dimakan oleh anjing hutan dan serigala, Dr. Mohamad berkata, ia bergantung pada kekuatan gigi dan usia haiwan tersebut.

"Jangka hayat haiwan bergantung pada gigi. Sekiranya ia sudah lanjut usia, tidak mungkin ia akan memilih daging-daging yang keras, sebab tiada kemampuan untuk menggigit. Sebab itulah, ia lebih gemar memilih organ-organ dalam seperti limpa dan hati yang lebih lembut.

"Bagi haiwan yang masih muda dan bertenaga, mereka akan membaham secara berkumpulan dan biasanya, serangan yang dilakukan adalah menerkam dari kepala, perut dan kaki," katanya sambil memberitahu, haiwan yang masih bertenaga itu mampu meratah daging mangsa sehingga ke tulang.

Berdasarkan kajian, katanya, serigala tidak boleh dijinakkan walaupun telah dikacuk sejak kecil kerana tabiat dan unsur-unsur keganasan semula jadinya masih ada dalam diri.


TINDAKAN anjing hutan menyerang ternakan penduduk kampung berkemungkinan disebabkan sikap manusia itu sendiri.



DR. MOHAMMAD DANIAL FELIX


Berbeza pula dengan anjing, ia boleh dijadikan kawan dan dilatih untuk kegunaan manusia.

"Perasaan dendam? Memandangkan semua haiwan memiliki memori yang kuat, ia berupaya mengingati apa yang telah manusia lakukan terhadapnya.

"Walaupun sudah berjaya dijinakkan, lama-kelamaan perasaan lamanya itu akan timbul semula," katanya beza anjing hutan dan anjing liar ialah tempat tinggalnya. Anjing hutan tinggal di dalam hutan manakala anjing liar berasal daripada anjing belaan yang terbiar dan akhirnya menjadi liar.

Berbicara mengenai serangan anjing hutan yang mengganggu penduduk di Terengganu, seorang veterinar di Zoo Negara, Dr. Mohammad Danial Felix, berkata, semua spesies haiwan menyimpan perasaan takut terhadap manusia.

Katanya, kebiasaannya haiwan tidak mahu bertembung dengan manusia dan berusaha mengelaknya.

"Tindakan anjing hutan menyerang mangsa kemungkinan besar disebabkan sikap manusia itu sendiri," katanya.

Beliau memberi contoh bahawa kontraktor perumahan dan pembalak haram sering menjadikan anjing sebagai penjaga kawasan dan menganggap, menerusi salakan, musuh akan takut.

"Sebelum projek siap dijalankan, mereka tidak pernah gagal memberi anjing tersebut makanan.

"Tetapi setelah projek siap sepenuhnya, biasanya mereka melepaskan anjing tersebut tanpa pengawal dan penjagaan yang sepatutnya. Ini menyebabkan anjing berkenaan terbiar dan akhirnya menjadi liar.

"Ketika itulah, anjing-anjing tersebut terpaksa mencari sendiri makanan termasuk menjadikan haiwan ternakan penduduk kampung sebagai mangsa," jelasnya yang melihat ia sebagai satu situasi desakan hidup haiwan itu.


FAKTOR usia dan kekuatan gigi anjing hutan mempengaruhi jenis organ mangsa yang dilapahnya.


Justeru, katanya, setiap pihak sepatutnya memiliki kesedaran dan didikan yang sewajarnya dalam memastikan haiwan-haiwan tidak terbiar.

"Jangan terlalu mementingkan diri sendiri, akibatnya orang lain yang ditimpa padah," nasihatnya.

Pada satu perkembangan lain, Prof. Dr. Mohd. Hair Bejo dari Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam satu laporan Kosmo! pada 5 Mei lalu berpendapat, kejadian sekumpulan anjing hutan yang semakin buas menyerang haiwan ternakan mungkin ada kaitan dengan penyakit anjing gila atau rabies.

Katanya, kumpulan anjing hutan itu mungkin dijangkiti penyakit tersebut sehingga menyebabkan ia bertindak di luar kawalan dan lebih agresif.

"Disebabkan jangkitan itu, haiwan tersebut bukan sahaja mengancam ternakan tetapi juga manusia.

"Jika mangsa digigit, mereka boleh mengalami gangguan sistem saraf," katanya.

Beliau berkata, walaupun anjing hutan bersifat ganas, kes di Felda Tenang itu agak ganjil kerana haiwan terlibat sangat agresif sehingga kerap membaham haiwan ternakan.

Saturday, May 9, 2009

Pasangan kekasih sama-sama pencuri


KUALA LUMPUR - Malang bagi sepasang kekasih apabila ditangkap gara-gara mencuri dompet seorang wanita dalam satu kejadian di pusat beli-belah Mid Valley di sini, kelmarin.

Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur dalam satu kenyataan di sini semalam memberitahu, kejadian pukul 11.30 pagi itu disedari seorang lelaki yang melihat gelagat pasangan terbabit yang cuba menyelinap masuk ke dalam sebuah kereta dalam keadaan yang mencurigakan.

Mangsa pula yang menyedari kehilangan dompet, pada mulanya menyangka ia tercicir di tempat letak kereta setelah dia meninggalkan kenderaannya di situ sebelum masuk ke dalam pasar raya berkenaan.

Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila ada orang ternampak pasangan terbabit yang menaiki sebuah kereta Perodua Myvi berwarna putih melarikan diri secara tergesa-gesa selepas mengambil sesuatu daripada kereta mangsa itu.

"Lelaki itu memberitahu mangsa berkenaan apa yang dilihat ketika mangsa datang ke keretanya untuk mencari dompet yang hilang itu.

"Mangsa kemudiannya cepat-cepat mendapatkan bantuan daripada pihak polis yang kebetulan melakukan rondaan di situ," ujar kenyataan itu.

Suspek yang cuba memecut kenderaannya berjaya ditahan polis setelah tidak dapat keluar dari kawasan tempat letak kereta di dalam bangunan tersebut.

Polis cabul sidang Dun Perak , Sivakumar masih Speaker


Debra Chong

SEMAKIN banyak pihak menimbangkan kesahihan perlucutan V Sivakumar daripada jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan pengundian pengganti beliau, R Ganesan, bekas Adun Sungkai, dan juga dua lagi usul.


Peguam dan juga Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Malik Imtaz Sarwar tidak bersetuju dengan pandangan Dato' Hafarizam Harun dan Dato' Muhammad Shafee Abdullah, yang dilaporkan berkata bahawa usul yang diluluskan 7 Mei adalah sah.

"Saya tidak bersetuju dengan pandangan Hafarizam dan Shafee. Saya tak nampai bagaimana it boleh menjadi sah," jelas Malik Imtaz kepada Malaysian Insider.

Prosidur diragui

Dia mendapati terlalu banyak persoalan berhubung prosidur di dalam ruang dewan, mengakibatkan kesahihannya diragui.

"Pertama, bagaimanakah persidangan itu boleh sampai ke peringkat di mana Hee mengambil alih persidangan?" beliau mempersoalkan, merujuk kepada Hee Yit Foong, Adun Jelapang merangkap Timbalan Speaker.

"Sekiranya Sivakumar berada di situ secara sah, bagaimana dia (Hee) boleh mengambil alih (tugas Speaker)?" tambah beliau, merujuk kepada penjelasan Hafarizam yang membuat rujukan kepada Perkara 36A(1)(b) Peraturan Persidangan yang membenarkan Timbalan Speaker mengambil tempat menggantikan Speaker.

Versi bercanggah

Kata Imtaz, dia mendengar versi yang bercanggah-canggah mengenai peristiwa 7 Mei, termasuk dakwaan kononnya pada satu ketika Sivakumar tidak berada di dalam kamar dewan sewaktu persidangan berlangsung.

Beliau juga mempersoalkan kehadiran pegawai polis berpakaian biasa di dalam kamar dewan.

"Polis tidak sama sekali mempunyai kuasa dalam kamar dewan," kata Imtaz, dan merujuk kepada kenyataan terdahulu oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu Syed Hamid Albar dan Ketua Polis Negara pada Mac lalu selepas Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Karpal Singh dikasari di Parlimen.

Syed Hamid dan Musa Hassan menegaskan bahawa pihak polis tidak boleh campur tangan dalam kamar dewan walaupun sekiranya terdapat pergaduhan dan hanya petugas dewan (sergeant-at-arms) mempunyai kuasa menangkap.

Polis bukan agen parti politik

"Polis telah bertindak tanpa kuasa. Mereka sebenarnya menjadikan diri mereka sebagai agen kepada sebuah parti politik dan bukan sebagai pelaksana bebas undang-undang," kata Imtaz, sambil menekankan bahawa Sivakumar adalah masih Speaker yang sah ketika itu.

Sementara menekankan pandangannya bahawa tidak bermakna Adun Pakatan Rakyat bebas daripada apa-apa perlakuan salah, Imtaz menolak penjelasan Dr Zambry Abdul Kadir yang mengatakan BN tidak mempunyai pilihan kecuali memanggil polis apabila keadaan menjadi semakin tegang.

"Mereka mengatakan mereka tidak ada pilihan tapi itu tidak benar. Mereka boleh sahaja memfail untuk mendapatkan perintah mahkamah dan menyebut Sivakumar sebagai menghina mahkamah. Mereka tidak melakukan demikian tetapi memilih untuk membantu diri-sendiri tetapi membantu diri-sendiri tidak dibenarkan di bawah sistem perundangan kita," jelas Imtaz lagi dengan nada marah.

"Bahkan, cara paksaan terpaksa digunakan - dengan menggunakan polis untuk memaksa Sivakumar keluar dari kamar dewan tanpa sebarang alasan- ini adalah merupakan penunjuk yang mencukupi bahawa BN tidak mempunyai penyelesaian politik mahupun perundangan terhadap kesulitan yang mereka sendiri mulakan."

Beliau juga mempersoalkan: "Pada saat manakan persidangan sebenarnya bermula?"

Bila sidang bermula?

"Sekiranya perasmian persidangan bermula selepas titah Raja Nazrin, bagaimanapula mereka menjalankan sebarang urusan sebelum itu?" tanya Imtaz.

Beliau menekankan, Raja Muda Perak yang sepatutnya membuka persidangan, memasuki kamar dewan hanya pada kira-kira jam 3.00 petang, setelah berlaku perebutan kerusi Speaker dan setelah tiga lagi usul - pemilihan Ganesan sebagai Speaker, anggota baru untuk jawatankuasa sampingan dan kelulusan pengisytiharan pembatalan sidang Pakatan Rakyat terdahulu yang diadakan di bawah sebatang pohon.

Imtaz juga menegaskan persidangan tersebut juga melanggar beberapa lagi konvensyen, termasuk tidak mengadakan upacara mengangkat sumpah untuk Ganesan selaku Speaker. Ini, tegasnya, biasanya diadakan dalam satu upacara di masa lain di hadapan raja.

Terus buntu

"Inilah antara perkara yang menyebabkan saya merasa ragu tentang kesahan usul yang diluluskan," kata peguam yang baru-baru ini menjadi penerima anugerah hak asasi manusia antarabangsa.

"Akhirnya, terdapat kebuntuan di sini," katanya, dan menambah sekiranya Perdana Menteri Najib Razak "ikhlas tentang Satu Malaysia, dia tidak boleh membenarkan BN melakukan tindakan tersebut."

Bagi pensyarah undang-undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Abdul Aziz Bari, "semuanya begitu jelas dan terpampang."

Katanya, dia bersetuju dengan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa persidangan 7 Mei adalah "haram dan tidak berperlembagaan".

Cara salah pilih Speaker

"Bagi saya, cara mereka memilih Speaker adalah salah. Speaker masih Sivakumar," jelas ahli akademik itu.

Beliau memerhatikan bahawa urutan peristiwa dari 5 Februari sehingga semalam - dari perbuatan melompat parti yang dilakukan wakil rakyat yang dipilih sehinggalah kepada keputusan mahkamah membatalkan keputusan Sivakumar untuk menggantung kehadiran Adun BN - membuatkan kesahihan usul cukup meragukan menurut pandangannya.

Seperti juga Malik Imtiaz, Presiden Majlis Peguam Malaysia Ragunath Kesavan bersetuju situasi di Perak sudah tiba pada titik di mana tidak ada jalan lain kecuali Sultan Perakmembubarkan dewan undangan dan membuka jalan untuk pilihan raya umum baru bagi membersihkan kemelut yang berlaku.

Undang-undang tak boleh selesai masalah

"Bagi kita, cara perundangan tidak akan dapat menyelesaikannya kerana setiap peguam mempunyai pendapat berbeza," katanya.

"Secara peribadi, saya rasa terdapat hujah yang memihak kepada kedua-dua pihak. Satu daripadanya bilakah persidangan itu sebenarnya bermula? Satu lagi apakah Speaker mempunyai kuasa untuk menolak usul yang hendak dibentangkan?"

"Tapi kini Pakatan Rakyat adalah pihak minoriti dan BN mempunyai majoriti stabil dengan 28 campur tiga bebas," jelasnya.

Ragunath menekankan cara terbaik untuk keluar dari permasalahan tersebut ialah membenarkan pengundi membuat keputusan.

"Saya tak fakir dalam demokrasi, untuk kembali semula kepada rakyat setelah baru sahaja mengadakan pilihan raya umum merupakan satu masalah," katanya.