Saturday, September 27, 2008

Pas mahu Islam pandu kerajaan

Oleh Mingguan Wasilah pada 2008/9/24 12:48:13 (18 baca)

ALOR STAR: "Pas akan menyertai perubahan kerajaan ini dengan syarat. Syaratnya ialah kerajaan ini mestilah dipandu oleh Islam. Dipandu oleh orang-orang Islam.”

Demikian tegas Presidennya, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dalam ceramahnya sempena Majlis Memperingati Nuzul Quran di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut dekat sini, baru-baru ini.

Serentak itu, Hadi menyeru ahli dan penyokong Pas supaya konsisten dengan dasar perjuangan yang berlandaskan Islam dalam apa jua keadaan.

“Kita minta pengikut-pengikut Pas setia dengan perjuangan. Ikut arahan, jangan lari dari jemaah biar apa pun berlaku.

“Ini tanggungjawab dan kewajipan," tegas beliau dengan lantang, lantas disahut laungan takbir 5000 rakyat yang hadir. Abdul Hadi turut mengulangi pendirian bahawa Pas tidak akan menyertai kerajaan baru jika ia tidak dipandu oleh Islam.

“Kalau syarat itu tidak diterima, kita teguh dengan prinsip. Pas tidak akan menyertai perubahan itu,” tegas beliau lagi.

Hadi menegaskan, perkara berkenaan (Islam) menjadi keutamaan dan (Pas) tidak akan berkrompomi mengenainya. Mengenai syarat itu, Hadi membayangkan ianya akan diterima rakan-rakan parti dalam Pakatan Rakyat.

Justeru, tegas Hadi, Pas akan tetap berusaha mencapai peralihan kerajaan seperti yang dicanangkan.

"kita berusaha hendak buat perubahan, perubahan untuk menukar kerajaan,” tegas beliau lagi.

Turut hadir dalam majlis itu, Pesuruhjaya Pas Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Pada 16 Sept lalu, akhbar Pas versi internet, harakahdaily.net memetik Abdul Hadi dalam kolum bicara Presiden bertajuk ‘Masa untuk menyertai Pas’ sebagai berkata Pas adalah parti yang tidak diasaskan kepada prinsip perkauman tetapi dibina di atas dasar memperjuangkan Islam dan keadilan.

“Perjuangan Pas adalah bersifat universal, untuk seluruh umat manusia, membawa keadilan sejagat,” jelas beliau sambil merujuk Bab Ketiga, Fasal 6, Perkara (8), (9) dan (10), Perlembagaan parti itu.

[ ]

No comments: