Saturday, September 27, 2008

Helikopter robotik dilengkapi mesin pintar



PELAJAR Universiti Stanford, Peter Abbeel (kiri) dan Adam Coates (kanan) bersama profesor sains komputer, Andrew Ng bersama helikopter robotik ciptaan mereka di kampus Universiti Palo Alto, California, Amerika Syarikat.
- Gambar REUTERS


SISTEM Artificial Intelligence atau kepintaran buatan (AI) merupakan salah satu revolusi kemajuan teknologi yang memperlihatkan aplikasi perisian menjadi lebih pintar daripada jangkauan sistem otak manusia sendiri.

Penerapan sistem tersebut kepada perkakas ataupun sebarang gajet jelas membuatkan ia berupaya untuk memastikan penggunaan perkakas yang disepadukan menjadi lebih pintar dan efisien.

Menariknya, sistem tersebut membolehkan ia beroperasi dengan sendiri ataupun secara automatik tanpa dikendalikan sepenuhnya oleh manusia.

Ini bermakna, ia berkemampuan untuk bertindak lebih daripada apa yang dapat kita bayangkan, ia seolah-olah seperti 'magik', tetapi magik yang bersandarkan sains.

Sebagai bukti, sekumpulan penyelidik dari Universiti Stanford, Amerika Syarikat (AS) telah berjaya mencipta sebuah sistem AI yang disepadukan terhadap helikopter mini sekali gus berupaya untuk terbang sendiri dan juga mampu membuat aksi lagak akrobatik.

Secara ringkas, sistem yang dibangunkan itu berupaya untuk mengajar serta membolehkan perisian untuk menerbangkan helikopter sama seperti ia diterbangkan oleh seorang juruterbang, malah lebih sempurna.

Menurut Ketua Penyelidik Kumpulan, Prof. Andrew Ng, sistem tersebut telah dicipta khusus untuk meniru gaya penerbangan yang dilakukan oleh juruterbang dengan menukarkan pergerakan penerbangan kepada bentuk kod seterusnya diselaraskan terhadap helikopter itu.

''Beberapa siri rakaman penerbangan termasuk aksi akrobatik telah dirakamkan, kemudian pergerakan itu ditukarkan ke dalam bentuk algoritma yang membenarkan helikopter mini itu meniru setiap pergerakan yang dilakukan oleh juruterbang berkenaan.

''Sebagai keputusan, sistem AI itu jelas mampu meniru gaya penerbangan dan pada masa yang sama memperbaiki kelemahan yang dilakukan oleh juruterbang tersebut,'' katanya.

Sebelum itu, kumpulan penyelidik tersebut telah meminta seorang juruterbang, Garret Oku yang merupakan seorang pakar dalam membuat aksi akrobatik menggunakan helikopter untuk membuat penerbangan bagi tujuan rakaman.

Oku sendiri mengakui bahawa helikopter secara semula jadi sememangnya sukar untuk diterbangkan kerana ia sering berada dalam keadaan yang tidak stabil, lebih-lebih lagi semasa melakukan aksi akrobatik.

''Helikopter memang sukar untuk diterbangkan, ia mudah untuk terbalik dan terhempas,'' jelas Oku.

Namun, keputusan yang diperoleh oleh sekumpulan penyelidik itu nyata sangat membanggakan, sistem AI yang disepadukan terhadap helikopter tersebut bukan sahaja mampu buat penerbangan yang lancar, malah berupaya untuk melakukan aksi akrobatik yang lebih baik dan konsisten daripada Oku sendiri.

Ini jelas dapat dilihat apabila helikopter mini itu berkemampuan untuk melakukan aksi seperti terbang secara berpusing dan juga terbalik serta skil khas akrobatik seperti Knife-edge, Immelmann, Slapper, Hurricane dan juga Tic-Toc.

Lebih membanggakan, Tic-Toc yang merupakan aksi yang paling berbahaya di mana muncung hadapan helikopter berada pada sudut 90 darjah dan bahagian badan menghayun seperti batu ladung turut mampu dilakukan oleh helikopter mini itu.

Tambah Ng, keupayaan sistem AI itu menjangkau lebih daripada yang diharapkan kerana ia mampu melakukan aksi lebih daripada keupayaan seorang juruterbang manusia.

''Jangan katakan manusia, helikopter yang dipacu menggunakan alat kawalan jauh juga tidak mampu untuk melakukan aksi akrobatik seperti ini,'' ujarnya lagi.

Dalam pada itu, sebagai sebuah alat berautonomi, helikopter tersebut hadir dengan meter pemecut, gyroskop dan magnetometer yang turut digunakan sebagi penentu arah.

Selain itu, lokasi helikopter ditentukan menerusi alat penerima sistem penentuan kedudukan global (GPS) yang dilengkapkan pada helikopter tersebut selain menggunakan kamera.

Semua kelengkapan itu berupaya untuk menentukan kedudukan, arah, orientasi, halaju, kuasa pemecutan dan juga pusingan dapat diawasi sepanjang penerbangan dilakukan.

Ng turut menjelaskan bahawa keseluruhan sistem navigasi tersebut boleh diaplikasikan penggunaannya terhadap helikopter sebenar.

Helikopter mini sepanjang 1.3 meter itu dianggarkan menelan kos pembuatan sebanyak RM13,900 (AS4000) bagi setiap satu.

Kini, pelbagai pihak cuba bekerjasama serta mendapatkan sistem tersebut bagi digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk pengawasan keselamatan, pemetaan dan banyak lagi.

Buat ketika ini, helikopter tersebut disasarkan penggunaanya untuk mengenalpasti kebakaran hutan dan juga berpotensi bagi digunakan mengesan periuk api di medan perang.

Mungkinkah suatu hari nanti kita berkesempatan untuk menaiki helikopter yang tidak mempunyai juruterbang?

No comments: