Saturday, September 27, 2008

Misi ketiga China ke angkasa lepas Khamis ini



Kapal angkasa Shenzhou-VII dan roket Long-March II-F dipindahkan ke Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di Gansu sambil disaksikan oleh orang ramai yang gembira dengan usaha terbaru China melancarkan misi ke angkasa lepas.
- Reuters


BEIJING 22 Sept. - Tiga angkasawan China tiba di tapak pelancaran pesawat Shenzhou VII semalam sebagai persiapan untuk melaksanakan satu lagi misi negara ini ke angkasa lepas.

Shenzhou VII dijadual berlepas pada Khamis ini dengan dilancarkan oleh sebuah roket Long March untuk penerbangan ketiga China membawa angkasawan ke angkasa lepas.

Salah seorang angkasawan berkenaan dijadual melakukan operasi 'berjalan di ruang angkasa', iaitu yang pertama bagi angkasawan China.

Ketiga-tiga angkasawan dan tiga angkasawan simpanan tiba di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut negara ini semalam, lapor agensi berita Xinhua.

Mereka akan ditempatkan dalam kuarantin sehingga waktu pelancaran yang ditetapkan pada Khamis ini melainkan cuaca buruk menggendalakan rancangan.

"Enam angkasawan berkenaan turun dari kapal terbang dengan penuh semangat, dengan bendera kebangsaan tersemat megah pada dada mereka," lapor China News Service.

Mereka menyuarakan keyakinan penuh Shenzhou VII akan menyempurnakan segala tugasnya dengan jayanya, menurut laporan itu.

Penerbangan pertama China membawa angkasawan ke angkasa lepas pada 2003 disambut dengan penuh publisiti, seperti juga penerbangan keduanya pada 2005.

China merupakan negara ketiga selepas bekas Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat (AS) yang berjaya menempatkan angkasawan di angkasa lepas.

- Reuters

No comments: