Saturday, September 27, 2008

Berita Google kini di Malaysia


SYARIKAT enjin carian Internet terbesar di dunia, Google Inc. (Google) baru-baru ini menawarkan 14.9 juta pengguna Internet di Malaysia dengan liputan berita terkini meliputi lebih 4,500 sumber berbahasa Inggeris.

Berita Google untuk Malaysia itu akan disalurkan secara meluas kepada semua agensi media di negara ini melalui laman web http://news.google.com.my

Melalui pelancaran itu, kini terdapat 56 Berita Google edisi wilayah telah dilancarkan dengan tawaran 20 pilihan bahasa yang berbeza.

Berita Google sebenarnya merupakan perkhidmatan komprehensif pencarian berita yang memudahkan pengguna mengakses kepada maklumat dari pelbagai perspektif.

Melalui platform tersebut, pengguna akan dapat menerima berita terkini daripada beribu-ribu saluran yang terdapat diseluruh dunia.

Ia secara tidak langsung dapat menggalakkan pengguna membaca artikel dari penerbitan yang berbeza dan tidak hanya bergantung kepada satu sumber sahaja.

Selain itu, pengguna turut berpeluang untuk mencari berita atau maklumat yang mempunyai kaitan dengan minat mereka.

Sebagai contoh, antara berita yang boleh diperolehi melalui Berita Google adalah seperti berita politik, tempatan dan juga antarabangsa.

Dengan hanya klik pada seksyen Malaysia di aplikasi Berita Google, pengguna akan ditawarkan dengan pelbagai pilihan berita seperti kesihatan, insurans, sains dan teknologi dan juga pendidikan.

Pengurus Produk Google, Rahul Roy Chowdhury berkata, aplikasi Berita Google sangat sesuai digunakan oleh penerbit dan juga pembaca.

"Misi kami adalah untuk membantu pengguna mencari berita yang mereka inginkan dalam jangka masa yang singkat.

"Aplikasi Berita Google ini dapat memudahkan pengguna memeriksa berita utama daripada penerbit di seluruh dunia dan membaca semua kandungannya,'' katanya.

Kemudahan tersebut secara tidak langsung dapat membantu lebih ramai pengguna untuk mencari kandungan berita berdasarkan isu yang diketengahkan oleh penerbit.

Melaluinya juga, ia akan memudahkan pengguna mencari hasil tulisan daripada penulis kegemaran mereka selain membaca berita daripada sumber baru.

Dengan cara itu, pengguna akan mempunyai lebih banyak pilihan berita sementara penerbit pula dapat memperolehi lebih ramai pembaca yang mengunjungi laman webnya.

Pencarian berita pada Berita Google dijalankan menerusi imbasan tajuk utama oleh pengguna untuk mendapatkan gambaran tentang berita tersebut.

Jika pengguna ingin membaca berita itu dengan lebih lanjut, mereka perlu klik pada tajuk utamanya.

Kemudahan tersebut akan menjadikan pengalaman membaca lebih menarik dan berfaedah kepada semua pengguna.

Mana-mana organisasi berita yang ingin disenaraikan di dalam Berita Google boleh mendapatkan maklumat lanjut pada seksyen Help for Publishers di laman web www.google.com.

No comments: