Saturday, September 20, 2008

Australia dan perlumbaan senjata Asia Pasifik



Haris Zalkapli
Tue | Sep 16, 08 | 1:42:48 pm MYT

Kenyataan Kevin Rudd, perdana menteri Australia 10 September lalu bahawa negara itu perlu bersedia menghadapi "perlumbaan senjata" di rantau Asia Pasifik memberi gambaran jelas tentang peranan dan dasar Canberra di rantau ini.

Iklan

Kenyataan Rudd itu ialah sebahagian debat yang sedang berlangsung di Australia yang bakal menerbitkan kertas putih pertahanan terbaru hujung tahun ini.

"Apabila negara-negara membangun dan menjadi semakin berpengaruh, mereka akan turut meningkatkan keupayaan tentera mereka. Kita melihat ini sedang berlaku di rantau kita," Rudd dilapor berkata.

"Kita perlu sedar akan perubahan yang sedang berlaku, dan perlu pastikan kita mempunyai kepelbagaian keupayaan untuk berdepan apa yang mungkin tercetus pada masa depan."

Seperti yang pernah dijelaskan dalam kolum ini, Australia sentiasa berada pada satu kedudukan penting di rantau Asia Pasifik dan sentiasa terkesan oleh permainan kuasa-kuasa besar. (Lihat Menangani persahabatan AS dan kebangkitan China (28 Mac, 2007), Perlumbaan senjata Asia Pasifik (9 Sept, 2007) dan Australia menghadapi "ancaman Asia" 28 Mac, 2008).

Kenyataan Rudd ini sama sekali tidak mengejutkan dan bertepatan dengan dasar yang memandu tindakan Australia selama ini, walaupun pemerintah Parti Buruh pimpinan beliau dilihat sebagai perubahan besar berbanding pentadbiran kerajaan konservatif John Howard sebelum ini.

Penegasan Rudd bahawa Australia perlu bersedia untuk "menjawab panggilan" nanti selari dengan sikap yang menetapkan peranan Australia bukan terhad kepada ruang tradisionalnya, tetapi lebih jauh daripada itu.

Australia semakin banyak terlibat dalam operasi di luar negara, terbaru di Afghanistan dan Iraq. Australia juga aktif berperanan di kawasan sekitarnya, seperti Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon. Indonesia juga negara yang diperhatikan disebabkan kebimbangan terhadap militan yang dicetuskan oleh pengeboman di Bali.

Rudd menegaskan, Australia perlu bersedia dengan kemampuan untuk menghadapi ancaman baru yang timbul daripada perkembangan ekonomi dan ketenteraan Asia.

Mac lalu, Ross Babbage, akademik yang menjadi penasihat kepada menteri pertahanan Australia Joel Fitzgibbon, menegaskan keperluan Australia meningkatkan keupayaan tentera untuk berdepan apa yang disifatkan sebagai ancaman kuasa-kuasa Asia.

Kuasa Asia yang dimaksudkan itu ialah China dan India, dengan kebimbangan lebih banyak tertumpu pada China, walaupun negara Asia Timur itu semakin penting sebagai rakan perdagangan Australia.

Australia kini sedang mengukuhkan peranannya di Asia Pasifik termasuk dengan mengukuhkan pakatan dengan negara sekutu, Jepun. Kedua-dua Canberra dan Tokyo kini perlu lebih bebas dan tidak terlalu bergantung pada kuasa besar Amerika Syarikat.

Peningkatan perbelanjaan pertahanan Australia sejak tujuh tahun lalu menunjukkan perkembangan ini. Menurut analisis Janes's Industry Quaterly, sejak tujuh tahun lalu, perbelanjaan pertahanan Australia meningkat sebanyak sekitar 56 peratus kepada A$25.66 bilion, menjadikannya kini berada di tangga ke-13 dunia.

Persediaan Australia ini memberi tumpuan kepada kemampuan tentera laut, salah satu bahagian yang penting untuk berdepan kuasa China dan juga India, negara Asia yang semakin meningkatkan kemampuan tentera laut.

Dalam ucapannya itu, Rudd menegaskan keperluan meningkatkan dengan segera modernisasi tentera laut dan meluaskan peningkatan keupayaan tentera bernilai AS$48 bilion. Australia kini sedang menjalankan usaha pelan modernisasi pertahanan selama 10 tahun.

Australia akan berusaha mengekalkan kedudukannya sebagai kuasa pertengahan yang pada masa sama bergantung pada kuasa besar dunia, AS. Dari segi politik dan pertahanan, Australia sentiasa berkepentingan untuk AS terus terlibat di Asia Pasifik.

Kenyataan Rudd ini ialah kenyataan paling jelas perdana menteri baru Australia itu tentang keperluan pertahanan Australia, menguatkan lagi petunjuk bahawa kedudukan Australia di rantau Asia Pasifik dan pertahanan negara itu tidak berubah di bawah mana-mana kepimpinan, dan akan terus mengimbangi keperluan bekerjasama dengan kuasa Asia seperti China dengan persediaan menghadapi ancaman kuasa tersebut. - mns _

No comments: