Sunday, October 19, 2008

Kesabaran mengundang kejayaan


Seronok Belajar Oleh Dr Ismail Zain


KAWAL diri anda daripada menonton rancangan TV yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada September ini. - Gambar hiasan


RAMAI murid yang mungkin sudah tidak sabar lagi menunggu menjelangnya hari peperiksaan. Ramai juga yang merasakan diri mereka ini ”terkurung” atau ”terikat” kerana tidak dapat bertindak atau melakukan perkara-perkara yang mereka minati seperti menonton televisyen (TV), mendengar lagu atau bersantai dengan rakan-rakan.

Sememangnya tindakan seperti di atas sepatutnya dihindari agar murid-murid dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap peperiksaan. Oleh itu kesabaran amat diperlukan agar diri kita terkawal serta mampu memfokus perhatian kita sepenuhnya ke arah pembelajaran.

Dalam proses mengawal diri inilah murid-murid akan terasa begitu perit untuk melaluinya. Murid-murid akan terasa seolah-olah mengalami satu kerugian yang besar apabila rancangan TV yang diminati itu tidak dapat ditonton, atau laman-laman web bercorak hiburan tidak dapat dilayari. Pengalaman begini adalah satu perkara biasa terutamanya menjelangnya peperiksaan.

Sebenarnya keinginan seumpama ini adalah keinginan hasil daripada desakan hati yang tidak mampu menerima cabaran. Apabila disebut cabaran bermakna situasi atau kesukaran yang menguji diri dan tindakan kita untuk membuat sesuatu yang menguntungkan ke arah penyelesaian.

Individu yang sanggup menerima cabaran adalah mereka yang sanggup menahan hawa nafsu dalam usaha menentukan tindakan atau bertindak balas secara rasional. Mereka mengamalkan budaya murni ini dengan membuat perancangan yang rapi agar masa yang terluang ini tidak disalahgunakan atau dibiarkan berlalu dengan sia-sia sahaja.

Oleh itu, murid-murid sewajarnya mengambil langkah yang positif dalam proses mengimbangi diri kita sepanjang masa. Sebagai contoh, murid-murid harus memenuhi masa lapang anda dengan tindakan yang menjurus ke arah persiapan menghadapi peperiksaan. Aktiviti-aktiviti santai atau yang seumpamanya, harus dihentikan secara sukarela tanpa dipaksa. Kesedaran inilah yang menjadi satu cabaran buat diri anda.

Seperit mana sekalipun cabaran yang sedang dan akan anda lalui, namun berkat kesabaran, kesungguhan dan kegigihan anda itulah yang menjanjikan kejayaan. Kejayaan tidak datang bergolek tetapi kita harus berusaha dan usaha itu tidak akan menghampakan anda. Setiap usaha pasti akan berjaya.

Akhirnya murid-murid haruslah banyak bersabar serta laluilah segala cabaran dengan semangat yang kuat, hati yang cekal dan harapan yang tinggi.

Kepelbagaian cara belajar


Seronok Belajar Oleh Dr Ismail Zain

BELAJAR sememangnya menyeronokkan tetapi bagi mereka yang belajar dengan hanya tertumpu pada buku sahaja kadangkala mungkin juga membosankan. Oleh itu murid harus mempelbagaikan bahan, kaedah dan gaya belajar agar ianya menjadi aktiviti harian yang mampu dijalankan tanpa terasa sebagai bebanan.

• Bahan – terdapat pelbagai bahan belajar yang boleh digunakan termasuklah buku teks, akhbar, bahan grafik, lakaran peta minda, bahan audio, video, animasi serta bahan dari internet.

Bahan seumpama ini boleh diperoleh daripada pusat sumber sekolah atau negeri, kedai buku, kedai video dan sebagainya. Bahan yang mempunyai imej atau yang bercirikan multimedia mampu menarik perhatian kita serta mampu mengekal dan menambahkan daya ingatan terhadap fakta-fakta yang dipelajari.

• Kaedah – belajar sendirian adalah suatu amalan yang baik tetapi kadangkala kita mudah rasa jemu, bosan dan mengantuk. Adalah dicadangkan supaya murid-murid mampu berinteraksi atau berbincang dengan rakan-rakan berdasarkan bahan yang dipilih.

Idea yang bernas daripada rakan-rakan mampu memberi maklum balas serta menjadi asas membetulkan kesilapan yang dilakukan. Mencari bahan dengan melayari Internet mampu menambahkan kemahiran penggunaan komputer di samping mendapat bahan atau fakta terkini.

• Gaya belajar – Gaya belajar juga mempengaruhi segala tindakan kita dalam proses mengulang kaji. Oleh itu gaya belajar juga harus dipelbagaikan termasuk kedudukan kita ketika belajar sama ada secara formal berada di kerusi, duduk di lantai atau bersandar di sofa. Ada juga pelajar yang suka belajar sambil mendengar muzik.

Amalan ini boleh dilakukan tetapi dalam keadaan terkawal. Muzik yang didengar itu sebaik-baiknya tidak terlalu kuat sehinggakan hilang daya tumpuan belajar. Walau bagaimanapun anda dilarang mendengar muzik ketika melakukan aktiviti belajar seperti menghafal atau membuat latihan yang mempunyai aras kesukaran yang tinggi yang banyak menggunakan daya berfikir. Menonton televisyen ketika belajar adalah dilarang sama sekali.

Dalam jangka masa terdekat ini murid-murid harus mempelbagaikan cara belajar masing-masing. Keseronokan ketika belajar harus dirasai agar apa yang dipelajari itu difahami dan akhirnya mampu menjawab soalan peperiksaan dengan tenang, berkeyakinan dan menepati kehendak soalan.

Menyesal kemudian tiada gunanya


Seronok Belajar Oleh Dr Ismail Zain

MUNGKIN ramai di antara anda yang kerap kali diberi peringatan bahawa menyesal kemudian tiada gunanya. Peringatan ini penting kerana setiap tindakan yang dilakukan pada masa ini memberi kesan yang mendalam pada masa akan datang.

Kadangkala sesuatu yang dilakukan itu tanpa disedari. Agak menyedihkan kerana apa yang dilakukan adalah sesuatu yang merugikan. Kesedaran hanya akan berlaku apabila perbuatan itu telah berlalu dan akhirnya segala kekesalan itu tidak lagi dapat membantu diri kita.

Sebagai seorang murid sekolah kita seringkali diingatkan supaya menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran tanpa melibatkan diri dengan perkara-perkara yang tidak diingini. Terdapat segelintir murid yang tidak mengendahkan peringatan ini. Mereka mudah terlupa atau sengaja melakukan perkara-perkara tersebut untuk mencabar segala peringatan yang diberikan. Lantas mereka telah melanggar disiplin sekolah seperti ponteng sekolah, tidak mengikut arahan guru, merosak harta benda sekolah dan awam, melepak di tepi jalan atau di pasaraya, tidak menghabiskan tugasan yang diberikan oleh guru serta tidak menghormati guru.

Manakala di rumah pula nasihat ibu bapa tidak dipedulikan. Keadaan menjadi buruk apabila kedua-dua ibu bapa bekerja dan tidak mempunyai banyak masa untuk bersama-sama dengan mereka. Alasan ini dijadikan sebab kenapa mereka terbiar dan tidak mendapat bimbingan yang baik. Semuanya ini hanyalah kerena mereka inginkan kebebasan serta keseronokan tanpa mempedulikan tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar.

Kebiasaannya murid yang mempunyai sifat seperti ini tidak mampu berhadapan dengan pelajaran. Mereka kerap berasa bosan ketika belajar kerana fikiran mereka tertumpu ke arah hiburan dan keseronokan. Walaupun dikenakan paksaan, namun jiwa mereka masih keras dan tidak mudah untuk membuat perubahan diri.

Walau bagaimanapun perubahan hanya akan berlaku apabila seseorang itu menerima musibah. Ia mungkin berbentuk kegagalan dalam peperiksaan, kemalangan atau menghadapi kesempitan dalam kehidupan. Sebagai contoh seseorang murid akan menyesal apabila melihat rakan-rakan mereka berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan atau menerima padah seperti terlibat dalam kemalangan sama ada kemalangan jalan raya atau kerosakan harta benda sendiri.

Pada ketika itu barulah perasaan sedih, pilu dengan penuh kekesalan akan dirasai. Tetapi menyesal kemudian tiada gunanya terutamanya yang melibatkan nyawa serta harta benda.

Oleh itu sementara kita masih mempunyai ruang dan masa, marilah kita renungi tindakan yang sedang kita lakukan. Jika kita seorang murid, pastikan kita menggunakan sepenuh masa untuk belajar terutamanya yang akan menduduki peperiksaan. Pastikan anda membuat persiapan yang rapi sebelum tibanya hari peperiksaan. Jangan menunggu hingga ke saat-saat akhir untuk membuat ulang kaji. Perbuatan sia-sia itu haruslah dihentikan segera tanpa memberi apa-apa alasan yang hanya bertujuan untuk mempertahankan kebebasan diri. Jangan biarkan masa yang terluang ini berlalu tanpa satu tindakan yang berfaedah.

Semoga segala peringatan yang diberikan oleh guru serta kedua ibu bapa diberi perhatian agar anda tidak akan menyesal di kemudian hari.

Kemahiran Insaniah


Seronok Belajar Oleh Dr Ismail Zain


TOLERANSI, ikhlas dan jujur dalam pergaulan akan mengeratkan persahabatan dan mencegah permusuhan. – Gambar hiasan


KESERONOKAN belajar boleh dinikmati jika suasana ketenteraman di dalam sesebuah kelas itu dapat diwujudkan. Kebiasaannya murid mula berbuat bising sebaik sahaja guru selesai mengajar atau meninggalkan kelas. Pada waktu tersebut ada yang keluar ke bilik air secara berkumpulan sambil bergurau senda. Ada pula yang bermain dan kadang kala mengejek kawan dan sebagainya. Kadangkala kelakuan ini akan membawa kepada keadaan yang tegang dan berakhir dengan perkelahian.

Walaupun ada beberapa orang murid yang ingin belajar atau membuat kerja rumah tetapi gangguan yang sering melanda menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian malah mudah pula terpengaruh dengan rakan-rakan yang lain.

Untuk mewujudkan suasasana belajar yang selesa dan menyeronokkan memerlukan kerjasama semua murid di dalam kelas tersebut. Kemahiran insaniah amat diperlukan bagi setiap murid agar kerjasama yang erat serta saling hormat menghormati antara satu sama lain dapat diwujudkan.

Kemahiran insaniah ialah kemahiran mengawal serta memantapkan diri dalam urusan peribadi serta perhubungan dengan rakan-rakan yang lain. Ia berhubung rapat dengan sifat kerohanian seseorang murid yang mementingkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Kemahiran insaniah harus dipupuk sejak di bangku sekolah rendah lagi agar dapat disebatikan dengan jiwa dan diri ke arah mewujudkan insan kamil serta mampu belajar dengan lebih seronok lagi.

(a) Kemahiran mengawal diri

• Refleksi diri: Refleksi diri ialah merenungi kembali setiap tindakan yang telah kita lakukan. Dari renungan yang dilakukan seseorang itu akan menyedari kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Setiap perbuatan yang boleh merosakkan diri sendiri serta rakan-rakan lain ialah merupakan kelemahan diri yang harus ditangani segera.

• Toleransi : Kelemahan diri yang dikenal pasti hasil daripada proses refleksi harus dibuat penambahbaikan. Sifat mementingkan diri sendiri yang menjadi punca ke arah perlakuan yang negatif harus diganti dengan sifat toleransi. Sifat ini harus ada pada diri seseorang murid demi untuk merapatkan lagi tali persahabatan di antara rakan. Punca timbulnya perasaan marah, benci dan geram ialah disebabkan tidak ada perasaan kasih sayang serta penghormatan sesama manusia. Malah sifat dengki serta pentingkan diri sendiri ini menjadi penghalang kepada perubahan diri.

• Keikhlasan dan kejujuran diri: Keikhlasan dan kejujuran diri amat diperlukan terutamanya apabila kita berada bersama rakan-rakan. Sifat ini memerlukan kita amanah, tidak berbohong serta sanggup membantu rakan-rakan tanpa mengharapkan sesuatu balasan. Jika kedua-dua sifat ini dapat diamalkan dalam kehidupan sudah tentu tali persahabatan dapat dieratkan serta perkara-perkara yang tidak disukai tidak akan timbul.

Untuk mewujudkan suasana ini, setiap murid perlu menganggapkan rakan-rakan mereka seperti satu keluarga di mana setiap anggota keluarga bertanggungjawab ke atas anggota keluarga yang lain. Saya pasti setiap kelas mempunyai jadual tugas ahli jawatankuasa. Bagi menghidupkan lagi suasana bekerjasama ini, tugas-tugas khas boleh ditambah seperti Jawatankuasa Kebajikan, Jawatankuasa Bimbingan, Jawatankuasa Akhlak dan Disiplin serta sebagainya. Setiap anggota jawatankuasa perlu mengatur aktiviti sendiri untuk dijadikan program kelas tersebut yang boleh diikuti dan dimenfaatkan bersama yang seterusnya dapat menceriakan suasana di kelas tersebut.

Belajar secara berterusan


Seronok Belajar Oleh Dr Ismail Zain

RASA bimbang, takut, kurang yakin serta tidak memahami pelajaran adalah akibat kurangnya tindakan secara berterusan dalam proses mengulang kaji pelajaran.

Kebiasaannya bagi murid yang tidak menduduki peperiksaan awam, tindakan mengulang kaji pelajaran dilakukan sambil lewa sahaja. Ramai murid yang tidak mempunyai jadual waktu belajar secara khusus. Belajar hanya dilakukan mengikut “mood” atau untuk tujuan menduduki ujian semata-mata. Oleh itu terdapat banyak topik yang tertinggal tanpa diberi perhatian. Murid-murid akan merasai kesannya apabila tiban musim peperiksaan di mana pelbagai permasalahan dalam pelajaran akan ditempuhi oleh mereka akibat daripada kelalaian mereka mengulang kaji di peringkat awal.

Bagi murid tahun empat atau lima situasi seperti ini harus dihindari. Tindakan harus dilakukan segera terutama di akhir-akhir tahun atau pada masa cuti panjang persekolahan. Di antara langkah belajar secara berterusan adalah seperti berikut:

• Persediaan jadual waktu belajar: Belajar secara berterusan memerlukan seseorang murid merangka jadual waktu belajar sendiri. Jadual belajar bertindak mendisplinkan diri serta mampu memperhitung dan memperuntukkan waktu dalam menentukan tindakan yang harus diberi keutamaan. Jadual belajar juga mampu memberi satu gambaran penggunaan masa dalam jangka masa tertentu di samping menetapkan hala tuju dalam kehidupan seharian.

• Tugasan rumah: Tugasan yang diberikan oleh guru untuk dilakukan oleh murid-murid merupakan tindakan susulan pelajaran di sekolah bertujuan untuk memperlengkapkan keseluruhan proses belajar. Ia juga boleh dianggap sebagai satu bentuk alat pengukur untuk mempastikan sama ada hasilan pembelajaran yang ditetapkan oleh guru pada satu-satu topik itu dapat dicapai ataupun tidak. Perkara ini harus diberi perhatian yang serius kerana kegagalan pelajar melengkapkannya akan memberikan maklum balas yang salah kepada guru dan itu akan menggugat perancangan guru selanjutnya. Proses pemulihan dan pengayaan mungkin tidak dapat dijalankan dengan berkesan. Oleh itu ia akan merugikan murid-murid sendiri.

• Perbincangan dan rujukan: Perbincangan dengan rakan-rakan dari semasa ke semasa serta rujukan di pusat sumber secara berterusan mampu mengekalkan daya ingatan terhadap pelajaran. Rujukan bukan hanya terbatas pada pusat sumber sahaja tetapi boleh juga dilakukan secara tidak formal seperti lawatan, menonton rancangan bercorak pendidikan atau menghadiri majlis ilmu seperti ceramah, bengkel motivasi atau menyertai pertandingan anjuran badan-badan tertentu.

Bersesuaian dengan konsep “Belajar Sepanjang Hayat” maka murid-murid haruslah mengamalkan proses belajar secara berterusan agar ia dapat dijadikan satu tabiat yang boleh menyeronokkan kita ketika belajar.

Sehari Sebuah Buku


SEJARAH menyimpan rekod pembinaan tamadun bangsa Melayu. Jika sejarah diabaikan maka catatan-catatan perihal tamadun Melayu akan luput ditelan zaman.

Apabila keadaan itu berlaku maka generasi baru akan hilang semangat untuk menyayangi bangsa apatah lagi untuk berbangga menjadi orang Melayu.

Buku ini mengajak pembaca menyelusuri sejarah kewujudan tamadun Melayu bermula sejak prasejarah hinggalah ke tahap ia dipengaruhi oleh budaya dan kepercayaan dari India.

Penulis kemudian menyorot tentang penyebaran agama Islam di wilayah nusantara yang mempunyai hubungan rapat dengan kewujudan bangsa Melayu.

Perkembangan kerajaan-kerajaan Islam di Tanah Melayu, Sumatera, Indo-China, Kalimantan dan Jawa diperincikan oleh penulis di dalam buku setebal 412 halaman ini.

Buku ini sesuai untuk mengembalikan ingatan kita terhadap pembinaan sejarah tamadun Melayu yang kini cuba dipersoalkan oleh pihak-pihak tertentu.

Judul: Sejarah dan Tamadun

Bangsa Melayu

Penulis: Ahmad Jelani Halimi

ISBN: 978-967-61-2155-X

Penerbit: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

NORAINI ABD. RAZAK

UUM cipta sejarah buka bilik urus niaga saham


SINTOK 17 Okt. - Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta sejarah apabila menjadi institusi pengajian tinggi pertama di negara ini menyediakan bilik urus niaga bagi kemudahan pelajarnya menjalankan latihan dalam urusan jual belian saham yang mirip kepada keadaan pasaran sebenar.

Bilik urus niaga bernilai RM550,000 itu menyediakan 33 terminal yang membolehkan harga saham dan data-data pelaburan diperoleh secara terus daripada Bursa Malaysia dan pasaran saham antarabangsa.

Ia dapat memuatkan seramai 35 pelajar pada satu-satu masa untuk menjalankan aktiviti urus niaga saham.

Perasmiannya dilakukan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Ir. Radin Umar Radin Sohadi yang mewakili Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Fakulti Kewangan dan Perbankan UUM di kampus universiti itu di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, Radin Umar turut melancarkan program Kem Pelaburan UUM- Pribumi (UPIC) yang bertujuan melatih pelajar supaya mahir dengan pemasaran, komunikasi dan keyakinan diri serta berpengetahuan tinggi dalam bidang pelaburan.

Sebelum itu, Mohamed Khaled dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Radin Umar sempena perhimpunan bulanan kakitangan dan sambutan Aidilfitri peringkat UUM, berkata, kementerian bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi membiayai program UPIC pada tahun depan.

Beliau berkata, program itu bakal melibatkan seramai 500 pelajar dari seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tempatan.

"Ia inisiatif terbaru kementerian menerusi pendekatan latihan yang mampu memberi nilai tambah dan meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang kewangan," katanya.

Jelasnya, keputusan kementerian itu meneruskan program berkenaan berikutan kejayaan projek perintis yang melibatkan seramai 76 pelajar daripada UUM.

Penyelidikan UMP ke peringkat antarabangsa


KUANTAN 17 Okt. - Meskipun baru setahun dinaik taraf sebagai universiti, dua hasil penyelidikan Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya merangkul pingat emas dalam pertandingan Bio Malaysia 2008 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penyelidikan pertama yang dimenangi oleh UMP dalam pertandingan tersebut adalah hasil kajian pensyarah Abdul Syukor Abd. Razak atas kejayaannya mencipta sejenis bahan untuk menghapuskan anai-anai yang diperbuat daripada bahan buangan tandan kelapa sawit.

Satu lagi penyelidikan merupakan ciptaan pensyarah Dr. Hayder A. Abdul Bari yang mencipta sejenis bahan daripada kulit udang dan bendi untuk mengurangkan geseran didalam sistem paip.

Lebih membanggakan hasil penyelidikan anak tempatan iaitu bahan menghapuskan anai-anai terbabit berjaya dikomersialkan hingga ke peringkat antarabangsa dan diguna pakai sebuah hotel terkemuka di Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Timbalan Naib Canselor UMP, Prof. Dr. Rosli Mohd. Yunus berkata, kejayaan UMP merangkul dua emas dalam pertandingan penyelidikan Bio Malaysia 2008 amat membanggakan dan lebih banyak kajian sedang diusahakan oleh UMP ketika ini.

"UMP memang sentiasa menggalakkan penyelidikan dengan harapan hasil ciptaan itu akan mencetuskan satu fenomena baru apabila ciptaan tempatan diguna pakai hingga ke peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita di kampus itu di Gambang di sini kelmarin.

Rosli berkata, beliau tidak menafikan banyak hasil penyelidikan yang berjaya dilakukan oleh anak tempatan tetapi kebanyakannya tidak mengambil kira aspek pengkomersialan dan mesra pengguna.

Justeru katanya, antara faktor UMP sentiasa menitikberatkan soal komersial dan pasaran dalam sesebuah penyelidikan kerana sesuatu ciptaan tidak akan bermakna sekiranya ia tidak mendapat sambutan daripada pengguna atau industri.

Graduan sulung keusahawanan


SINTOK 19 Okt. - Seramai 41 graduan sulung program Sarjana Muda Keusahawanan dengan Kepujian menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-21 Universiti Utara Malaysia (UUM) sidang kedua di Dewan Mu'adzam Shah, di sini, hari ini.

Mereka menerima ijazah tersebut daripada Pro-Canselor UUM, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh bersama 713 lagi graduan lain iaitu Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan), Sarjana Muda Perakaunan, Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) dan Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia.

Seorang graduan program berkenaan, Abdul Razak Abd. Majid, 23, berkata, empat tahun berada dalam program tersebut memberikannya banyak pengalaman dan ilmu tentang keusahawanan kepadanya untuk dia menceburi bidang tersebut selepas ini.

Anak kelahiran Selangor itu memberitahu, sebagai graduan perintis bagi program keusahawanan dia berharap lebih ramai pelajar akan memilih program seumpama itu yang membuka peluang kepada generasi muda membina kerjaya.

"Keusahawanan adalah cabang dan teras yang dapat meneraju pembangunan di Malaysia dan graduan dalam bidang ini perlu berbangga kerana mereka tidak perlu mengharap untuk bekerja dengan sektor kerajaan sahaja tetapi boleh bekerja sendiri," katanya.

Menurutnya, walaupun kini berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Pengurusan Penerbangan di Bangi, dia akan tetap menceburkan diri dalam bidang keusahawanan yang menjanjikan pendapatan lumayan.

"Selepas ini, saya akan beralih untuk menjadi usahawan yang sememangnya menjadi minat sejak lama," katanya.

Rakannya, Hafizatun Nor Mohd. Tauhid, 24, turut bersetuju dengan pandangan Abdul Razak dan berharap semua ilmu yang dipelajari dapat diaplikasikan ketika menceburkan diri dalam bidang tersebut.

Program Keusahawanan UUM mula ditawarkan pada semester Julai 2004 oleh Kolej Perniagaan UUM dengan tempoh pengajian selama empat tahun.

UMK terima pembiayaan RM4j



ABDUL Wahid Omar (kanan) menyampaikan cek kursi Professor Keusahawanan Maybank kepada Dr. Zainai Mohamed sambil diperhatikan Hamad Kama Piah Che Othman di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 19 Okt. - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melakar suatu sejarah apabila menerima pembiayaan berjumlah RM4 juta daripada Maybank bagi penubuhan Kursi Profesor Keusahawanan Maybank - UMK.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, penubuhan kursi itu penting dalam melonjakkan universiti itu yang menjadikan keusahawanan sebagai teras penubuhannya.

"Kursi Profesor Keusahawanan ini membolehkan UMK melantik tenaga pakar yang benar-benar mahir dalam bidang keusahawanan bagi membantu mengembang dan berkongsi kepakarannya membangunkan bidang ini.

"Dana yang diterima ini merangkumi perbelanjaan modal, operasi dan keuntungan yang dijangka digunakan sepenuhnya dalam jangka masa empat tahun termasuk bagi kos penyelidikan akademik," ujarnya di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kursi Profesor Keusahawanan Maybank-UMK.

Cek pembiayaan itu diserahkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Sri Abdul Wahid Omar kepada Naib Canselor UMK, Profesor Dr. Zainai Mohamed.

Sementara itu, Zainai ketika ditemui memberitahu penubuhan kursi itu kelak bakal menjadikan UMK sebagai pusat rujukan akademik, penyelidikan dan perundingan di bidang keusahawanan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Menurut beliau, calon yang dilantik kelak akan memegang jawatan tersebut secara sepenuh masa bagi tempoh dua tahun dan ketika ini beberapa nama sedang dikenal pasti termasuk calon dari luar negara.

"Kita belum putuskan calon yang sesuai bagi mengisi kursi ini, tetapi individu tersebut haruslah memenuhi kriteria termasuk berpengalaman luas dalam bidang tersebut serta diperakui mutunya di peringkat industri dan akademik.

"Lantikan ini juga akan membantu para pensyarah kita untuk berkongsi kemahiran, selain memberi ruang UMK membangunkan modal insan di bidang keusahawanan," jelasnya.

UMS terus giat lahir siswazah bermutu tinggi


KOTA KINABALU 19 Okt. - Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan terus berusaha melahirkan siswazah yang mempunyai daya kepimpinan bermutu tinggi serta berdaya saing.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon berkata, pelbagai program disusun bagi memantapkan kebolehan serta memperkasakan ciri-ciri kepimpinan dan sahsiah diri para pelajar.

Menurut beliau, pihak universiti tidak mahu, siswazah hari ini sekadar mampu bermegah dengan kelayakan akademik tetapi tidak mempunyai bakat kepimpinan.

"Kita sentiasa akan melaksanakan pelbagai program kepada pelajar supaya mereka mempunyai pengalaman yang luas bukan sahaja di dalam kampus tetapi di luar kampus.

"Ini adalah satu teras kepada kejayaan pelajar kerana dengan adanya kebolehan berinteraksi dengan orang luar mereka mampu menjadi pemimpin yang berjaya pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmi Program Siswa Prihatin (Sprint) 2008 yang dianjurkan oleh Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) di Dewan Bankuasi UMS di sini semalam.

Katanya, latihan dalam aspek kepimpinan penting sebagai persediaan kepada golongan siswazah untuk menghadapi alam pekerjaan kelak.

"Setiap tahun ramai graduan yang akan menamatkan pengajian dan menerima ijazah daripada institut pengajian tinggi awam dan swasta. Keadaan ini mewujudkan satu persaingan terutama dalam mencari pekerjaan.

"Adalah menjadi kelebihan bagi para siswazah yang mempunyai kebolehan yang tinggi serta mampu menunjukkan peribadi yang berkualiti dan berkebolehan untuk berinteraksi dengan baik," katanya.

Menurutnya, program Sprint 2008 akan menjadi medan kepada para pelajar universiti untuk menimba pengalaman dan menambah pengetahuan bagi membina kecemerlangan diri.

"Melalui program ini bukan sahaja menambah pengalaman tetapi memupuk semangat kerjasama dan pembangunan mental dengan cara pemikiran yang lebih kritikal," katanya.

Sementara itu, Pengarah PKPP, Prof. Madya Abdul Jamal berkata, program Sprint 2008 kali ini akan diadakan di 14 buah lokasi serentak di Sabah dan Labuan.

"Kita akan menghantar pelajar ke beberapa tempat untuk mengendalikan kursus-kursus yang akan disertai masyarakat tempatan.

"Antaranya ialah Keningau, Kudat, Beaufort, Sandakan dan Kota Belud," katanya.

Tambah beliau, program ini lebih berorientasikan bakti siswa yang mana semua pelajar akan berkhidmat untuk masyarakat berdasarkan lokasi masing-masing.

Asuh murid guna tenaga secara cekap



MURID menurunkan tanda tangan di kain pemidang sebagai ikrar untuk menjalani cara hidup dengan menggunakan tenaga secara cekap semasa pelancaran kempen itu di SK Klang Gate baru-baru ini.

SEBANYAK 800 tanda tangan pelajar sekolah rendah berjaya dikumpul sempena Kempen Philips-Cetree Energy Efficient Mobile Showhome yang diadakan baru-baru ini.

Tandatangan di kain pemidang kempen itu merupakan ikrar pelajar berkenaan untuk menjalani cara hidup dengan menggunakan tenaga secara cekap.

Kempen yang juga dikenali sebagai Kempen A Simple Switch yang telah dilancarkan pada Jun lalu di Sekolah Kebangsaan (SK) Klang Gate membawa Philips-Cetree Energy Efficient Mobile Showhome mengunjungi beberapa sekolah di Lembah Kelang dan Pulau Pinang.

Sekolah-sekolah yang dikunjungi termasuklah SK Klang Gate dan SK Convent Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Kempen itu dijangka akan menjelajah ke Pahang dan Melaka pula termasuk ke SK St Frances, Melaka dan SK Jalan Bahagia, Temerloh, Pahang.

Melalui seruan bertindak agar bertukar kepada cara hidup menggunakan tenaga secara cekap, kempen bergerak A Simple Switch ke sekolah adalah bertujuan untuk mendidik pelajar mengenai pelbagai sumber tenaga yang baru di samping memberi tips mudah untuk menjimatkan tenaga setiap hari.

Para pelajar juga mempelajari kepentingan amalan menggunakan tenaga secara cekap melalui penyertaan dalam permainan interaktif yang direka khas berfokus kepada tenaga seperti Monopoli dan Ular dan Tangga.

Sebagai tambahan kepada permainan itu, para pelajar juga digalakkan untuk menyertai aktiviti pertukaran mentol lampu iaitu mereka bertukar-tukar mentol lampu lama kepada mentol lampu Philips yang menjimat tenaga serta menandatangani kain pemindang kempen berkenaan.

Mereka juga digalakkan untuk melawat laman web A Simple Switch (www.asimpleswitch.com) untuk mendapatkan tips menjimatkan tenaga.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Kumpulan Syarikat Philips Malaysia Dr. R. Kumar, pihaknya teruja dengan sokongan yang diberi oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi serta pihak sekolah.

``Adalah penting kesedaran mengenai penggunaan tenaga secara berhemat dan cekap dipupuk sejak kecil agar dapat sikap, tanggungjawab dan amalan yang betul terus tersemat kukuh dalam jiwa mereka bila dewasa kelak,’’ katanya.

Beliau berharap lebih ramai pelajar termasuk guru di sekolah-sekolah yang bakal dilawati nanti akan berikrar menjalani cara hidup melalui penggunaan tenaga secara cekap.

``Philips-Cetree Energy-Efficient Mobile Showhome merupakan kaedah pembelajaran efektif untuk pelajar kerana ia memberi pengalaman secara terus bagi mendidik pelajar mengenai kecekapan tenaga dan tenaga baru,’’ katanya.

Mobile Showhome itu mempunyai lima kiosk ilmu – Ilmu Umum Menengai Tenaga Baru, Peralatan Elektrik Penggunaan Tenaga Secara Cekap, Terma Solar, Biomass dan Elektrik Solar - kesemuanya mengandungi aktiviti-aktiviti mudah yang memberi pengalaman yang praktikal.

Percaya atau tidak, enjin tersebut direka menggunakan minyak kelapa sawit seratus peratus.

Pada tahun lalu, Mobile Showhome telah dibawa ke kawasan pedalaman di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran dan wadah mengenai penggunaan tenaga secara cekap termasuk pelbagai sumber tenaga baru dan usaha itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pihak terlibat.

Kata Dr. Kumar, hari ini keperluan untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai sumber tenaga alternatif dan penggunaan tenaga secara cekap amat penting.

``Buktinya dapat dilihat daripada isu-isu berkaitan tenaga yang dihadapi masyarakat negara ini berikutan kenaikan harga minyak dan elektrik baru-baru ini,’’ katanya.

Beliau berharap usaha tersebut akan disemat dalam minda agar keperluan sumber semulajadi yang semakin berkurangan dapat dibendung selain memulihara alam semulajadi untuk generasi masa akan datang.

ADaP sumber rujukan P&P



GURU dan pelajar SK Saujana Impian menjulang akhbar Utusan Malaysia selepas bengkel ADaP di sekolah itu baru-baru ini.

MENYEDARI pentingnya akhbar sebagai salah satu maklumat ilmu pengetahuan terkini, pihak pentadbir Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Impian, Kajang telah mengadakan Bengkel Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) baru-baru ini.

Kira-kira 220 pelajar Tahun 5 sekolah berkenaan telah mengikuti bengkel tersebut yang berlangsung selama dua jam.

Melalui bengkel itu, para pelajar didedahkan dengan kaedah menyimpan bahan-bahan yang terdapat dalam sisipan ADaP sebagai sumber rujukan pengajaran dan pembelajaran (P&P) selain daripada penggunaan buku teks.

Dalam bengkel tersebut, para pelajar telah diminta untuk membuat buku skrap berdasarkan sisipan ADaP mengikut subjek.

Para pelajar juga digalakkan untuk melayari Portal Pendidikan Utusan yang memberi tumpuan kepada soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Portal tersebut turut menyediakan tip berguna sebagai panduan kepada para pelajar bagi menghadapi peperiksaan.

Menurut guru penyelaras program SK Saujana Impian, Juhranar Yang berharap agar program seumpamanya dapat diteruskan pada setiap tahun bagi memberi ilmu pengetahuan kepada para pelajar.

Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta didedahkan dengan sisipan pendidikan yang terdapat di dalam akhbar Utusan Malaysia, terutamanya sisipan ADaP dan Estidotmy.

Para pelajar yang menyertai bengkel tersebut mengakui bengkel ADaP telah memberi banyak kebaikan terutamanya kepada para pelajar.

Malah pihak sekolah turut melanggan akhbar Utusan Malaysia setiap hari sebagai rujukan kepada guru dan juga pelajar dan alat bantu P&P.

Dasar Pendidikan Malaysia konsisten

PERSPEKTIF


oleh WAHID HASHIM - Bahagian 2


INSTITUSI Pengajian Hospitaliti dan Perhotelan Glion di tebing Tasik Geneva ini merupakan antara universiti milik Laureate yang berjaya mendapat akreditasi daripada New England Association of Schools and Colleges (NEASC) - badan yang sama mengakreditasi Harvard di AS.

MUKADIMAH - LAUREATE International Universities ialah rangkaian institusi akademik yang hampir semua kursusnya telah mendapat akreditasi global.

Terdapat 17 buah institusi di bawahnya dengan bilangan pelajar berjumlah 400,000 orang di seluruh dunia.

Konsep Laureate ialah mengekalkan suasana dan dasar universiti pegangannya mengikut suasana dan dasar tempatan, tetapi berkongsi program dan mobiliti akademik dengan universiti lain di Eropah, Asia dan Amerika.

PRESIDEN Laureate International Universities, Malaysia, Graham Doxey berkata, pihaknya sedia bekerja sama dengan universiti awam tempatan dalam program seperti pemindahan kredit, jika sesuai dan patuh peraturan tempatan.

Graham Doxey ialah perancang atau `otak' di belakang tabir projek pengembangan pendidikan Laureate di Malaysia.

Beliau yang juga bekas barisan pengurus urus niaga Wall Street di Jepun, berpandangan iklim politik di Malaysia sekarang tidak mempengaruhi dasar pendidikannya.

Malah, beliau memberi perumpamaan berikut:

``Semua mahu memegang stereng - tetapi masih kereta yang sama menuju matlamat yang sama.''

Tentang urusan jual beli Kolej INTI, Doxey bersetuju dengan konsep pembelian saham bukan 100 peratus supaya pengurusan sedia ada dan yang baru akan dapat menanggung risiko dan untung dalam konteks perkongsian sebenar.

Dengan pembelian Kolej Inti, Malaysia menjadi gerbang pendidikan ke Eropah dan Amerika Syarikat bagi rantau sebelah Asia Tenggara- khususnya bagi Singapura dan Indonesia.

Doxey tidak menolak kemungkinan rundingan dengan Thailand bagi gerbang sebelah Vietnam dan mungkin Kemboja serta Myanmar.

Sebelum ini, Laureate mempertaruhkan sayap pendidikannya melalui pembelian beberapa universiti terkemuka, dalam penarafan nombor satu dunia seperti Les Roches dan Glion di Switzerland.

Rangkaian universitinya di Amerika Syarikat pula muncul paling ramai pelajar yang mengikuti pendidikan secara dalam talian, muncul juga yang paling ramai mengikuti ijazah kedoktoran di AS.

Universitinya di Sepanyol pula muncul sebagai mempunyai kadar pertumbuhan paling cepat walau sebagai universiti swasta yang mengenakan yuran paling tinggi, disegani di Perancis dalam bidang perniagaan dan kejuruteraan, universiti swasta paling besar di Mexico serta dalam kedudukan dua universiti paling terkemuka dan terbesar di Chile.

Rangkaian Laureate adalah seperti berikut:

Brazil, Costa Rica, Chile, China, Cyprus, Ecuador, France, Germany, Honduras, Mexico, Netherlands, Panama, Peru, Sepanyol, Switzerland, Turki dan AS.

Jumlah keseluruhan universiti sebanyak 30 buah.

Laureate turut menjalin kerjasama dengan University of Liverpool dalam beberapa program pendidikan.

Laureate juga sangat mementingkan akreditasi.


GRAHAM DOXY (duduk, memakai kot hitam) dan delegasi Malaysia sewaktu makan tengah hari di kafeteria di Glion, Switzerland baru-baru ini.

Proses akreditasi diperolehi daripada beberapa badan yang cukup terkemuka seperti New England Association of Schools and Colleges (NEASC) - badan sama yang mengakreditasi beberapa program di Harvard, Boston.

Dengan kemampuan dan kepakaran di Laureate, mereka dijangka akan menawan dan menguasai bidang pendidikan swasta di seluruh dunia, sepertimana yang mereka sedang lakukan dalam bidang kewangan sekarang.

Sudah tentu program pembangunan kampus baru berpuluh hektar, atau pembangunan kakitangan akademik dan staf sokongan serta program penghantaran pelajar melalui program ``pergerakan pelajar'' tidak menjadi masalah langsung kepada Laureate.

Laureate telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Kumpulan INTI pada awal tahun ini, dan kini dalam tempoh melihat beberapa kemungkinan.

Kedua-dua pihak yang sangat berminat dengan program berkenaan, berharap akan melihat perkembangan dan seterusnya hasil pertamanya pada Ogos atau September tahun ini.

Pemilihan INTI tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengukuhkan cengkaman Laureate di rantau Asia Pasifik, dan keyakinan mereka terhadap potensi besar di Malaysia yang mempunyai kestabilan dasar, politik dan ekonomi, disokong pula oleh kekuatan infrastruktur pendidikannya.

Selain itu, Kumpulan INTI juga dilihat sebagai salah sebuah pengasas pendidikan swasta di Malaysia, mempunyai pelajar melebihi 10,000 orang dan menawarkan program dan kursus yang secocok dengan keperluan Laureate.

Malah, dasar dan falsafahnya tidak banyak kelainan berbanding Laureate.

Dengan pembelian itu, Laureate membeli nilai tambah kepada konsep dan pelaksanaan program pengantarabangsaan kepada kepada pelajar dan tenaga pengajar, selain peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara dan sebagainya.

Bergantung kepada keperluan tempatan dan semasa, Laureate juga akan memberi sokongan kepakaran dalam pengurusan melalui bimbingan operasi dalam bidang kewangan dan pemasaran.

Selain itu, program pengembangan kurikulum di INTI juga akan diselaraskan dengan universiti dalam keluarga Laureate - khususnya program bertaraf nombor satu dan cukup berprestij, iaitu sekolah pengurusan hotel di Switzerland - tetapi masih mengikut acuan Malaysia.

UM lahirkan sarjana terbilang


Oleh MARZITA ABDULLAH


PROF DATUK MOHAMAD ABU BAKAR

FAKULTI Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) akan memasuki usia 50 tahun dan sejajar tempoh kematangan itu, Dekannya, Prof. Datuk Mohamad Abu Bakar percaya fakulti ini mampu mengeluarkan sarjana terkemuka yang boleh digelar sebagai ikon atau `tok-tok guru' dalam bidang masing-masing.

Beliau berharap `suatu perlakuan kegilaan orang tidak gila' dalam dunia kesarjanaan dan bidang keintelektualan berlaku, apabila para penyelidik bertungkus lumus, bertubi-tubi dan bertindak ekstrem dalam aktiviti mereka untuk menghasilkan karya-karya besar supaya lahir ikon dan tok-tok guru itu di kalangan mereka.

"Kita mengharapkan mereka menjadi manusia luar biasa dalam konteks kesarjanaan dan keinteleklualan seperti yang dialami negara-negara barat sepanjang 500 tahun lalu," katanya.

Menurut beliau, kalaulah UM tidak berupaya menduduki tempat tertinggi dalam skala Times Higher Education Supplement (THES), paling tidak fakulti itu masih berjaya mencecah tahap antarabangsa yang tinggi.

"Harapan kita para sarjana, profesor, penyelidik terus berkeupayaan mencapai martabat dunia dalam keadaan sedemikian," tegas beliau.

Fakulti berkenaan yang akan meraikan ulang tahun ke-50 dalam tempoh itu sudah berjaya menampilkan beberapa sarjana bertaraf dunia antaranya Prof. Sutan Takdir Alishahbana, Prof Wang Gungwu dan Prof Syed Husin Ali,di samping menyediakan ramai pakai dalam berbagai bidang dewasa ini, sehingga mereka menjadi rujukan serantau dan antarabangsa.

Jelas Prof.. Mohamad, apabila mereka jadi ikon atau tok guru maka fakulti akan menjadi perhatian tumpuan luar dan dalam negara sehingga pelajar dan penyelidik dari seluruh dunia akan datang ke sini untuk bermuzakarah, berwacana, belajar dan melanjutkan pengajian.

Fakulti itu sendiri katanya, akan memperoleh nama sebagai pusat dalam konteks UM dan Malaysia.

Beliau percaya berbekalkan kekuatan yang lepas berdasarkan pengalaman lalu, penglibatan tokoh-tokoh sebelum ini akan menjadi aset supaya dunia lebih mudah mengenali UM dan fakulti serta cuba meraih keuntungan dari segi kesarjanaan dan keintelektualan. Profesor pelawat, profesor adjung atau sarjana tamu akan bertandang ke sini, atau pakar luar menghabiskan masa sabatikal mereka atas sebab kedudukan tersebut.

"Daripada usaha kita untuk menzahir kelainan, luar biasa, kita perlu memupuk bakat sedia ada khasnya di kalangan sarjana dan profesor supaya mereka jadi ikon dalam bidang masing-masing atau manusia institusi yang dikenali melewati batas UM dan kebangsaan," katanya.

Tegas beliau, selama ia tidak menjejaskan kerja sebagai pensyarah maka bukan sahaja keizinan malah galakan akan diberi kepada para penyelidik pergi jauh meneroka bidang pengkhususan masing-masing.

Dalam pada itu beliau berkepercayaan fakulti boleh bertindak dengan misi tersendiri dalam kerangka universiti lebih besar serta konteks negara. Fakulti mempunyai kekuatan tersendiri berdasar pengalaman masa lalu dan keupayaan masa kini, yang terhasil daripada penglibatan sekitar 150 kakitangan akademik dan hampir 800 orang pelajar pasca siswazah, sebahagian pentingnya dari luar negara, saperti China, Iran, Turki dan Jepun.

Fakulti seharus bertindak mewujud dirinya sebagai institusi yang menyerlahkan diri dan bergandingan dengan institusi-institusi serupa di seluruh dunia sambil mengukuhkan bidang penyelidikan dan mempertingkatkan pembangunan (R&D), menghasilkan karya baik sehingga fakulti berfungsi sebagai universiti dalam universiti.

"Hal ini bukan perkara luar biasa kerana beberapa fakulti dan pusat pengajian universiti lain kadang kala lebih terkenal daripada universiti induk atau bergerak sama dengan universiti induk, contohnya Kennedy School of Politics di Harvard, Yale School of Law di Yale dan School of Oriental of African Studies di Universiti London," ujar beliau.

Dalam konteks ini apa yang cuba dilakukan ialah mengikuti jalan sama dengan universiti lain iaitu menyemarakkan R&D, mengaktifkan kegiatan akademik, meningkatkan penglibatan intelektual, menghasilkan tulisan bermutu sambil memastikan pengajaran kekal baik sehingga jadi pilihan dalam dan luar negara.

Dalam menyemarakkan nama fakulti ia tidak ketinggalan meneruskan tradisi yang sedia ada dalam universiti dengan meningkatkan penglibatan tambahan menerusi syarahan kesarjanaan, forum keintelektualan, wacana akademik agar persekitaran universiti dipenuhi kegiatan relevan dengan status fakulti.

"Kita juga cuba mengembangkan kegiatan penglibatan peringkat pasca siswazah," katanya.

Dengan itu kedudukan fakulti dengan pengiktirafan antarabangsanya semakin jadi realiti.

Manakala di peringakat ijazah pertama pula, pengambilan pelajar terbaik daripada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan sebagainya memastikan ia menerima bekalan pelajar yang berpotensi. Apatah lagi setelah mereka didedah kepada budaya ilmu dan aktiviti intelektual yang terjana di persekitaran Fakulti.

"Ini kerana mereka haruslah lulusan yang berketerampilan, berwibawa kerana mereka akan berdepan dunia global dan memasuki pasaran kerja yang kompetitif," katanya.

Lulusan itu juga perlu daya saing, daya juang dan keyakinan diri agar mereka mampu pergi jauh dalam pasaran kerja khasnya dalam dunia global.

Dari segi infrastruktur dan prasarana pula, Fakulti berharap dapat mewujud iklim intelek, alam fizikal dan lanskap yang selesa yang merangsang pertumbuhan akademik dan intelektual serta budaya sosial yang sehat.

Menurut beliau, fakulti bernasib baik dapat kemudahan dana untuk menyelaraskan aktiviti penyelidikan dan dalam keadaan sekarang penyelidik mempunyai peluang untuk memperolehi bantuan kewangan untuk kerjaya sebagai sarjana.

``Sebagai dekan saya akan membantu mereka mendapatkan dana atau bantuan dan kelonggaran masa agar penyelidik mempunyai masa menjalankan penyelidikan dalam dan luar negara,'' katanya.

Projek Robot : Mencari litar elektronik




PETIKAN laman web Arrick Robotics.

Mencari idea untuk membuat satu projek sains? Apa kata kalau kita cuba membina sebuah robot yang dilengkapi dengan pelbagai fungsi menarik.

Internet menyediakan sumber rujukan yang banyak mengenai projek-projek sains seperti ini, terutama daripada laman-laman web sekolah di serata dunia.

Bukan sahaja ada laman yang menyediakan maklumat bagaimana hendak membina robot, tetapi pelbagai lagi projek lain yang tidak kurang menariknya.

Bagi mereka yang meminati bidang elektronik, Internet boleh menjadi satu sumber yang terbaik untuk mendapatkan litar-litar serta senarai komponen elektronik untuk mencipta pelbagai alat.

Litar-litar elektronik yang pelbagai fungsi itu boleh digabungkan dengan robot mekanikal untuk kegunaan-kegunaan tertentu.

Antara laman-laman web menarik yang boleh dikunjungi untuk mendapatkan maklumat berkaitan topik ini adalah seperti berikut:

Arrick Robotics

http://www.robotics.com/robots.html

Laman ini sesuai dilayari oleh mereka yang menyimpan hasrat untuk mula mencipta robot sendiri.

Di sini, anda akan didedahkan dengan konsep asas robot, bagaimana ia hendak berfungsi, betapa kompleks atau tidak rekabentuknya, kos untuk membina robot dan lain-lain perkara yang berkaitan.

Kepelbagaian robot serta fungsinya dijelaskan dengan baik serta banyak topik berkaitan dibincangkan, termasuklah bahasa pengaturcaraan, otot buatan, robot dengan kamera, animatronik, pengawal mikro, simulasi dan lain-lain.

Ada juga pautan kepada robot sebenar seperti yang digunakan oleh agensi angkasa lepas NASA, robot yang digunakan dalam filem, robot permainan, serta robot-robot penyelidikan di universiti.

Science Fair Projects and Experiments

http://www.juliantrubin.com/electronicsprojects.html

Laman ini menyediakan pautan kepada laman-laman lain yang mempunyai kaitan dengan projek-projek elektronik termasuklah yang sesuai untuk projek pameran sains komputer, pameran robotik dan kepintaran buatan, pameran elektronik, sel solar dan lain-lain.

Senarai litar elektronik berdasarkan topik juga disediakan, merangkumi litar untuk penggera, audio, jam, pengesan, permainan, interkom, cahaya dan LED, radio, bekalan kuasa, kawalan jauh, dan lain-lain.

RobotMaker

http://www.robotmaker.co.uk/


PETIKAN laman web RobotMaker.

Pembelajaran bestari : Melentur buluh biar daripada rebung



Bersama Cikgu Wan

BERDASARKAN pembelajaran bestari, ilmu tidak diberi tetapi perlu dicari.

Pelajar perlu memahirkan diri dengan proses mencari pengetahuan supaya ia menjadi budaya pembelajaran setiap pelajar.

Akses kendiri, terarah kendiri dan pada kadar kendiri - itulah tunjang dalam membestarikan pembelajaran di sekolah.

Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di Sekolah Bestari, juga menekankan penerapan kemahiran-kemahiran tertentu dalam diri pelajar.

Saya akan menyentuh beberapa kemahiran yang ingin, bakal dan hendak di terapkan yang juga amat penting dalam diri pelajar.

Kemahiran membuat keputusan, merancang masa hadapan, memimpin, mengenali peluang-peluang sedia ada serta mengenali keupayaan diri sendiri bertujuan membina keyakinan diri.

Kerap kita dengar ramai siswazah menganggur dan salah satu faktor penyumbangnya ialah mereka kurang yakin terhadap diri sendiri dan tidak dapat meyakinkan orang lain.

Kemahiran sosial iaitu komunikasi dan interpersonal juga tidak dapat ditonjolkan oleh mereka.

Mereka kurang dapat berbicara dengan baik, serta tidak berupaya memberi pendapat yang bernas.

Masalah-masalah inilah yang cuba di atasi di Sekolah Bestari.

Pada 3 Mei yang lalu saya dan Dr. Ismail Zain, perunding pendidikan Utusan Malaysia telah mengendalikan satu program ADaP di Pekan, Pahang sempena Program Mekar ICT Pergerakan Puteri UMNO bagi murid-murid yang bakal mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Bengkel tersebut menyentuh ciri-ciri pelajar bestari, ini mengingatkan saya ketika saya mula mengajar pelajar tingkatan satu dengan pendekatan P&P bestari pada tahun 1999.

Pengalaman ini mengajar saya melihat betapa mudah seseorang pelajar itu di bentuk jika ia dimulakan dari umur yang masih muda.

Pada awal pengajaran, pelajar-pelajar merungut kerana mereka terpaksa berusaha lebih.

Saya masih ingat kata-kata mereka,

``Kenapa cikgu tak bagi saja nota, itu kan lebih senang!''

Setelah beberapa kali mendekati pelajar secara P&P bestari, pelajar-pelajar semakin yakin terhadap diri serta kemampuan mereka dan mulai menonjolkan kemahiran-kemahiran yang diharapkan.

Yang lebih menyeronokkan lagi, pelajar-pelajar ini berlumba-lumba hendak memberi pendapat serta melibatkan diri dalam setiap aktiviti.

Pada masa yang sama, saya juga mengajar pelajar tingkatan lima yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sikap dan tindak tanduk mereka, jika dibandingkan dengan pelajar tingkatan satu yang saya ajar jauh berbeza.

Mereka lebih suka diberi segala-galanya.

Ini mungkin disebabkan asuhan dan didikan yang di terima, mereka telah terbiasa dengan cara tersebut selama hampir 11 tahun di alam persekolahan.

Sukar bagi saya untuk mengubah sikap mereka untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan berdikari dalam pembelajaran.

Pernah saya meminta pelajar membuat pecarian, sehingga dua minggu baru saya dapat hasilnya. Malah, mereka perlu di ingatkan selalu mengenai tugasan yang diberi.

Hendak melentur buluh biarlah daripada rebungnya, pepatah yang kerap kita dengar tetapi sama-samalah kita hayati.

Janganlah konsepnya kita ada, tetapi implementasinya entah kemana.

Namun begitu tidak mudah menjadi guru dengan seribu macam kerenah perlu dihadapi setiap hari, malah saya percaya guru-guru telah banyak berkorban untuk anak bangsa dan saya rasa semua pihak patut menghargai.

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru untuk semua pendidik semoga tabah menghadapi cabaran yang berlaku setiap hari yang hanya guru memahaminya.

EKSTRA : Sebar maklumat menerusi media lain



Panduan Menggunakan Perisian Bestari - Bahagian 15


HARI Terbuka Bestari membolehkan para pelajar dan ibu bapa mengenali perisian kursus bestari. - Gambar hiasan

CARA untuk menerapkan budaya dan konsep bestari kepada ibu bapa, klien dari sekolah yang berdekatan dan juga komuniti setempat selain daripada warga sekolah dikemukakan dalam bentuk buletin EKSTRA. Aktiviti bagi sebaran umum ini boleh dikendalikan semasa Hari Terbuka, Hari Ucapan Sekolah, Temasya Sukan dan sebagainya.

CADANGAN 118

Promosi Maya

PERISIAN KURSUS BESTARI sebagai bahan paparan

CONTOH

Sudut papan kenyataan mata pelajaran yang berkaitan dengan PERISIAN KURSUS BESTARI baik dalam kelas atau di sekitar sekolah perlu ditukar sebulan sekali supaya maklumat terkini dapat disampaikan kepada semua pengguna.

CADANGAN 119

Amal Bestari

PERISIAN KURSUS BESTARI untuk tujuan mengutip derma

CONTOH

Murid, ibubapa, pihak swasta, jabatan kerajaan dan masyarakat setempat dijemput untuk menghadiri tayangan amal PERISIAN KURSUS BESTARI.

CADANGAN 120

Karnival PERISIAN KURSUS BESTARI

Promosi PERISIAN KURSUS BESTARI

CONTOH

Aktiviti yang dicadangkan dikendalikan oleh semua Panitia Mata Pelajaran, misalnya ketika Hari Terbuka Sekolah, Hari Kualiti, Hari Anugerah Cemerlang dan sebagainya. Antara acara yang dijalankan adalah seperti taklimat kepada ibu-bapa, pameran bahan-bahan elektronik dan bercetak PERISIAN KURSUS BESTARI serta hasil kerja murid. Pertandingan bertemakan PERISIAN KURSUS BESTARI juga boleh dianjurkan dan hadiah berupa tetikus. cakera padat atau mana-mana bahan IT diberi untuk menggalak minat penggunaan IT.

CADANGAN 121

Program Anak Angkat

PERISIAN KURSUS BESTARI untuk pelaksanaan program anak angkat

CONTOH

Murid-murid sekolah bukan bestari dikenal pasti sebagai anak angkat sekolah bestari dan dibenarkan untuk mengakses kendiri PERISIAN KURSUS BESTARI tersebut dalam makmal bestari.

CADANGAN 122

Sebaran Bestari

PERISIAN KURSUS BESTARI sebagai nota

CONTOH

Nota-nota yang dikenal pasti diubah suai dan dipaparkan dalam bentuk brosur atau risalah sebagai nota tambahan murid setiap bulan. Antara topik yang boleh digunakan adalah penghasilan nota “Pembiakan” dari PERISIAN KURSUS BESTARI mata pelajaran Sains Tingkatan 3.

CADANGAN 123

“Eh! Eh! Bestari”

Promosi menggunakan PERISIAN KURSUS BESTARI

CONTOH

Banner, poster, brosur atau risalah PERISIAN KURSUS BESTARI diedarkan untuk makluman warga sekolah. Kandungan bahan promosi ini merangkumi topik dan subtopik mata pelajaran berkaitan serta ciri-ciri mesra pengguna yang hendak disebarkan.

CADANGAN 124

Hari Terbuka Bestari

Pengalaman Kendiri Akses PERISIAN KURSUS BESTARI

CONTOH

Semasa Hari Terbuka Bestari, sudut khas disediakan untuk membolehkan ibu bapa dan masyarakat setempat melayari PERISIAN KURSUS BESTARI. Ahli Briged Siber ditugaskan untuk membantu dalam pelaksanaan aktiviti.

Belajar secara bijak



PESERTA Program “Smart Learning" mendapat suntikan motivasi dan teknik melakar peta minda oleh Dr. Ismail Zain semasa program tersebut di Seri Manjung, Perak baru-baru ini.


SALAH satu strategi belajar secara bijak ialah dengan menggunakan peta minda.

Justeru, Persatuan Wanita Tenaga Nasional Berhad (Pelitawanis) telah menganjurkan Program “Smart Learning" untuk manfaat anak-anak ahlinya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun ini.

Melalui program kendalian Penasihat Tutor, Dr. Ismail Zain, para peserta telah diberi pendedahan melakar peta minda sebagai salah satu strategi belajar secara smart.

Mereka juga diberi suntikan semangat agar dapat berusaha dengan lebih giat lagi ke arah mencapai kejayaan.


NORDIN RAZALI

Pengurus Kawasan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Seri Manjung, Nordin Razali berkata, pada zaman yang serba mencabar ini pendidikan merupakan satu agenda yang penting untuk diri dan negara ke arah melahirkan modal insan yang mantap dan berjaya.

“Para pelajar bakal menjadi pemimpin masa hadapan dan tonggak kepada negara,” katanya semasa merasmikan program itu di Seri Manjung, Perak, baru-baru ini.

Manakala Pengerusi Pelitawanis Seri Manjung, Meherreban Bashirun, mengingatkan para peserta agar melipatgandakan usaha terutama calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan calon SPM 2008.


MEHERREBAN BASHIRUN

Bagi peserta, Nur Ainun Basyirah Nordin, 17, program ini mampu memberi satu semangat baru untuk berusaha lebih gigih demi merealisasikan cita-citanya menjadi seorang arkitek.

Rakannya, Nur Syafiqah Abd. Rama pula merasa gembira kerana dapat berkongsi ilmu dan memahami segala perkara yang diajar dalam kursus ini.

Manakala, Mohd. Hazman Mohd. Amran pula amat seronok mengikuti pelbagai aktiviti yang dijalankan.

Sementara itu, Tutor akan mengadakan program Strategi Ambang Peperiksaan (SAP) yang dikendalikan oleh Dr. Ismail Zain mulai Jun ini. Hal ini kerana menjelang peperiksaan awam para pelajar memerlukan bimbingan, kata-kata semangat serta perancangan yang sistematik ke arah menghadapi peperiksaan. Program ini boleh dianjurkan oleh pihak sekolah atau oleh pihak luar. Untuk tidak ketinggalan, sila layari www.tutor.com.my atau menghubungi talian 019-5713745 untuk maklumat lanjut dan tempahan tarikh program.