Thursday, September 18, 2008

Gates paling kaya di Amerika Syarikat


NEW YORK - Pengasas Microsoft, Bill Gates berjaya mengambil alih semula gelaran individu paling kaya di Amerika Syarikat (AS) daripada pelabur terkenal, Warren Buffett dalam senarai terbaru yang dikeluarkan oleh majalah Forbes.

Dengan harta bernilai AS$57 bilion (RM197.74 bilion), Gates sekali lagi mendahului senarai 400 individu terkaya di AS.

Buffett berada di kedudukan pertama pada tahun ini tetapi saham syarikatnya, kumpulan pelaburan Berkshire Hathaway yang jatuh sebanyak 15 peratus sejak Februari lalu dan kini bernilai AS$50 bilion (RM173.46 bilion).

Majalah Forbes melaporkan peningkatan harga minyak dan harga barangan seni yang mahal membantu 31 individu disenaraikan buat kali pertamanya dalam kelab eksklusif bilionair tersebut.

Antara yang menarik perhatian adalah pengasas laman web komuniti Facebook, Mark Zuckerberg, 24, di mana harta beliau dianggarkan bernilai AS$1.5 bilion (RM5.20 bilion).

Kegawatan di pasaran saham dan perumahan menyebabkan 33 individu terkeluar daripada senarai itu termasuklah bekas ketua syarikat insurans gergasi AIG, Maurice Greenberg dan bekas ketua laman web lelong eBay, Margaret Whitman.

Individu yang paling mendapat keuntungan adalah Gabenor New York, Amerika Syarikat (AS), Michael Bloomberg yang menduduki tempat kelapan dengan kekayaan sebanyak AS$20 bilion (RM69.38 bilion).

Sementara itu, taikun kasino, Sheldon Adelson mencatatkan kerugian paling tinggi apabila hartanya merosot sebanyak AS$13 bilion (RM45.10 bilion) dalam tempoh 12 bulan yang bersamaan AS$1.5 juta (RM5.20 juta) sejam. - AFP

No comments: