Saturday, September 27, 2008

Krisis kewangan dominasi debat - Dasar belanjawan, cukai, perang Iraq turut jadi perhatian utama Obama-McCain

Krisis kewangan dominasi debat - Dasar belanjawan, cukai, perang Iraq turut jadi perhatian utama Obama-McCain

OXFORD, Mississippi 27 Sept. – Calon Demokrat Barack Obama dan lawannya daripada Republikan, John McCain bertelagah mengenai dasar perbelanjaan, cukai dan perang di Iraq dalam debat pertama pemilihan Presiden, di sini semalam.

Dalam debat itu, Obama menuduh krisis di Wall Street disebabkan dasar ekonomi Republikan yang gagal.

Debat itu berlangsung selama 90 minit dan disiarkan secara langsung ke seluruh negara.

Kedua-dua calon berkata, mereka optimis Kongres akan meluluskan pelan menyelamat sektor kewangan negara ini berjumlah AS$700 bilion (RM2,404.39 bilion) yang diumumkan sebelum ini.

Mereka juga sependapat bahawa perbelanjaan yang besar itu akan mengehadkan agenda mereka selaku Presiden sekiranya dipilih kelak.

McCain berkata, beliau akan membekukan perbelanjaan Persekutuan membabitkan program Presiden, pertahanan dan penjagaan golongan veteran.

Beliau menuduh Obama sebagai seorang yang liberal apabila mengamalkan perbelanjaan besar.

“Senator Obama seorang yang paling liberal di Senat,” kata Senator Arizona itu.

Obama pula sebaliknya berkata, McCain akan memotong cukai golongan kaya dan korporat serta berulang kali cuba mengaitkan lawannya itu dengan dasar yang dilaksanakan oleh Presiden George W. Bush ketika ini.

“Ia merupakan bukti akhir mengenai lapan tahun dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh Bush dan disokong oleh Senator McCain,” katanya merujuk kepada krisis di Wall Street.

Debat itu pada mulanya dijangka memberi fokus kepada dasar luar dan isu keselamatan nasional.

Bagaimanapun, ia berubah menjadi perdebatan mengenai kegawatan pasaran Wall Street yang sebelum ini telah pun mendominasi kempen kedua-dua calon sejak lebih dua minggu lalu.

Mengenai Iraq pula, Obama yang juga Senator Illinois mengkritik pertimbangan McCain yang menyokong penaklukan negara itu.

McCain sebaliknya berkata, persoalan utama yang akan dihadapi Presiden akan datang ialah “bagaimana hendak berundur dan bila hendak berundur.”

Menurutnya, Obama mempunyai pertimbangan yang rendah apabila gagal menyokong dasar kemaraan melalui penghantaran lebih ramai tentera ke Iraq yang telah pun berjaya mengurangkan keganasan di negara itu.

– Reuters

No comments: