Tuesday, July 22, 2008

Hentikan tuntut UiTM untuk semua kaum


Oleh HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Julai - Mana-mana orang bukan Melayu yang cuba menuntut supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada semua kaum diingatkan agar menghentikan sahaja hasrat tersebut.

Tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad (gambar) berkata, walaupun setakat ini belum ada yang secara terbuka menuntutnya, namun kemungkinan wujud cubaan ke arah itu adalah sesuatu yang tidak boleh diketepikan.

Ketika dihubungi di sini hari ini, beliau berkata, sebagai sebuah institusi pendidikan orang Melayu, UiTM sudah tentu mempunyai sejarah panjang kepada perjuangan dan pengorbanan orang Melayu.

Menurut beliau, tentu sekali keharmonian negara boleh terjejas jika kedudukan UiTM disentuh.

"Mungkin selepas Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), timbul pula soal biasiswa (Jabatan Perkhidmatan Awam). Jadi, tidak mustahil lepas ini, ada yang minta UiTM buka pintu kepada bukan Melayu pula.

"Namun, jangan ingat bila minta itu dapat, minta ini dapat, UiTM pula hendak dijadikan sasaran. Jika ada yang bergerak ke arah itu, saya nasihatkan hentikanlah saja.

"Perlu diingat UiTM bukan sahaja institusi pendidikan orang Melayu, tetapi ia juga jambatan penghubung keharmonian kaum. Jadi, jangan biarkan ia rosak,'' kata beliau.

Abdul Rahman yang juga Pro-Canselor UiTM berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah semalam bahawa UiTM tidak boleh diperluaskan kepada kaum lain.

Ibrahim berkata, sebagai institusi bumiputera, terutama bagi orang Melayu, keistimewaan yang ada pada UiTM harus dipertahankan sampai bila-bila.

Sementara itu, Abdul Rahman memberitahu, walaupun UiTM menjadi hak orang Melayu, namun dasar tersebut tidak sedikit pun menutup peluang orang bukan Melayu dalam bidang pendidikan.

Katanya, terdapat 17 buah lagi universiti awam selain 36 buah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang membuka peluang seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja.

"UiTM ini pada saya tidak pun membawa apa-apa pengertian kepada mereka (bukan Melayu) kerana ada 17 IPTA dan 36 IPTS lagi.

"Kalau IPTS, siapa yang menguasainya? Melayu tidak mampu. Janganlah tempat yang pelajar Melayu mampu ini pun nak cuba diganggu,'' jelasnya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman percaya bahawa kedudukan UiTM boleh dipertahankan kerana ia terletak pada keazaman politik iaitu pada kerajaan.

"UiTM sendiri masih ke arah mencapai sasaran 200,000 pelajar. Kita belum pun sampai ke tahap kapasiti itu, tetapi ada pula kemungkinan yang mahu pintunya dibuka,'' ujarnya.

Sementara itu, Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) menegaskan, UiTM tidak boleh disamakan dengan mana-mana institusi termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang telah dibuka ruangnya kepada bukan Melayu.

Setiausaha Satu MMMM, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, UiTM adalah institusi yang ditubuhkan berasaskan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak istimewa Melayu.

"UiTM mempunyai akta penubuhannya sendiri yang sekali gus menjadikannya berbeza dengan universiti awam yang lain.

"Justeru, seharusnya dasar UiTM kekal seperti mana hari ini untuk menjadi institusi pendidikan bumiputera khususnya dalam bidang profesional,'' katanya.

Beliau menambah, sejarah UiTM itu sendiri sejak dari zaman Allahyarham Datuk Onn Jaafar sehinggalah ia muncul sebagai sebuah universiti harus dikaji dan difahami sebelum ada yang cuba menuntutnya dibuka kepada semua kaum.

"Kedudukan UiTM mempunyai makna tersendiri buat orang Melayu. Jadi, lebih baik jangan ada yang berhasrat mengubahnya.

"Setakat ini tiada yang menuntutnya secara terbuka, tetapi siapa tahu mungkin selepas MRSM dan lain-lain, ada pula cuba mengintai UiTM,'' katanya.

IPTS cemerlang dipromosi ke luar negara


PELAJAR Kolej Islam Sultan Alam Shah bersama hadiah yang dimenangi selepas diumum johan Debat Bahasa Arab Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 15 Julai - Kementerian Pengajian Tinggi akan mengenal pasti institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang baik untuk dipromosikan di peringkat antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelajar asing melanjutkan pelajaran di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian akan melihat kembali peranannya untuk menjadi pemudah cara bagi IPTS dalam usaha mengantarabangsakan sistem pendidikan negara.

''Dalam soal mengantarabangsakan sistem pendidikan negara terutama dalam aspek kemasukan pelajar, IPTS memainkan peranan yang sangat penting,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLIUC) dan kerajaan Republik Yemen serta Rezzen (M) Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Mengenai dakwaan pengusaha IPTS yang tidak mendapat insentif daripada kerajaan dalam usaha menarik ramai pelajar asing ke negara ini, Mohamed Khaled berkata, kementerian dan IPTS mempunyai hubungan yang sangat baik.

Menurutnya, mereka sentiasa berbincang dan bertukar-tukar pendapat selain saling bantu membantu antara satu sama lain.

Mohamed Khaled berkata, pihak kementerian akan meminta Kementerian Kewangan memberikan pengecualian cukai kepada syarikat yang menyediakan tabung serta biasiswa kepada pelajar universiti.

Jelas beliau, syarikat yang berbuat demikian perlu diberi galakan dari segi pengecualian cukai kerana telah menunaikan tanggungjawab sosial korporat mereka.

''Kementerian akan mengemukakan usul itu kepada kerajaan agar dapat menggalakkan lebih banyak syarikat memberi bantuan kewangan kepada pelajar universiti di negara ini,'' ujarnya.

PRPI, UPM ketengah 350 penyelidikan



Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

SEBANYAK 350 produk penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan dipamerkan pada Pameran Reka cipta, Penyelidikan dan Inovasi (PRPI 2008) yang akan diadakan dari 29 hingga 31 Julai ini di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, Serdang, Selangor.

Pengerusi PRPI 2008, Prof. Madya Dr. Irmawati Ramli berkata, pameran kali ini mengenengahkan hasil penyelidikan dan penemuan baru yang berpotensi untuk dikomersialkan.

“Setiap penyertaan ke pameran ini perlu memenuhi kriteria sama ada teknologi penyelidikan tersebut telah memperolehi status pemeliharaan harta intelek atau telah diterbitkan dalam jurnal indeks petikan.

“Pameran ini diharapkan dapat menarik pelabur daripada pihak industri dan usahawan kecil dan sederhana yang berminat untuk mengkomersilkan inovasi terbaru UPM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang awam dan pelajar-pelajar sekolah terutamanya persatuan rekacipta sekolah yang berminat turut dijemput untuk menyaksikan inovasi dan reka cipta UPM

Dr. Irmawati berkata PRPI 2008 yang bertemakan ‘Pembudayaan Penyelidikan Berimpak Tinggi’ telah diadakan sejak tahun 1997 untuk melonjakkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) UPM.

Katanya pelawat berpeluang melihat produk UPM yang telah dikomersialkan dan penerbitan berfaktor impak tinggi bagi tahun 2007, selain galeri pameran kejayaan UPM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Satu Kuiz Tunas Putra juga dianjurkan pada hari kedua pameran khusus untuk pelajar Tingkatan Empat dan Lima Sekolah Menengah di sekitar Serdang,” katanya yang berharap pihak berminat dengan PRPI melayari http://www.upm.edu.my untuk maklumat lanjut.

Sunday, July 13, 2008

Parlimen akan gempar dengan usul tidak percaya terhadap PM

Parlimen akan gempar dengan usul tidak percaya terhadap PM
Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | Jun 18, 08 | 4:18:41 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Hrkh) - Pengumuman yang dinantikan seluruh rakyat Malaysia akhirnya terjawab hari ini apabila ahli Parlimen Parti Progresif Sabah (SAPP) didakwa akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Ahmad Badawi dalam sidang Dewan Rakyat Isnin ini.

Tindakan ini adalah sejarah yang mungkin tidak dapat dilupakan Perdana Menteri dan rakyat Malaysia bahawa usul tidak percaya akan dikemukakan terhadap perdana menteri.

"Sewaku sidang Dewan Rakyat mulai Isnin ini, 23 Jun, ahli-ahli Parlimen kita akan menyokong undi tidak percaya kepada PM.

Sama ada usul itu akan dikemukakan oleh ahli Parlimen kita atau ahli Parlimen lain, akan diputuskan bila tiba masanya,ujar satu kenyataan yang tersiar dalam satu laporan hari ini.

SAPP mempunyai dua ahli Parlimen, iaitu Dato' Dr Chua Soon Bui (Tawau) dan Dato' Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) selain empat ahli dewan undangan negeri.

Majimbun yang kini berada di luar negeri, telah menyatakan sokongannya terhadap keputusan parti itu dengan menandatangan kenyataan tersebut.

Chua turut hadir dalam sidang akhbar yang diadakan khas di Kota Kinabalu memberi empat sebab mengapa beliau menyokong usul tidak percaya terhadap PM itu.

Walaupun seruan demi seruan dibuat oleh SAPP kepada Abdullah berkaitan dengan isu pendatang tanpa izin, tetapi tindakan tidak dilakukan.

Selain itu beliau menyatakan tindakan menaikan harga bahan api yang dibuat tanpa perancangan, telah menyebabkan rakyat miskin di Sabah khasnya menjadi miskin tegar.

Selain itu, beliau berkata selaku pemimpin yang dipilih oleh rakyat sekiranya ketidakpuasan hati rakyat Sabah terhadap sistem penyampaian yang tidak cekap, rasuah, pembaziran, tiada ketelusan dan akauntabiliti diketepikan.

"Rakyat telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan di bawah Abdullah Ahmad Badawi.

"SAPP juga berpendapat bahawa sekiranya pemimpin atasan tidak boleh melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, ia seharusnya berundur dan memberi laluan kepada pemimpin lain mengambil alih," katanya. _

Friday, July 4, 2008

KAMPUS

Pelajar baru USM digalak guna basikal


OMAR Osman (depan kiri) mengetuai acara berbasikal sebelum menyertai senamrobik beramai-ramai sempena minggu orientasi pelajar baru USM sesi 2008/09 di Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 3 Julai - Pelajar-pelajar baru yang mendaftar untuk sesi akademik 2008/09 di Universiti Sains Malaysia (USM) digalakkan menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama mereka di dalam kampus berbanding motosikal dan kereta.

Timbalan Naib Canselornya, Profesor Madya Dr. Omar Osman berkata, saranan itu dibuat untuk memudahkan pergerakan pelajar di dalam kampus selain sebagai langkah penjimatan kerana kos penggunaannya lebih murah berbanding pengangkutan yang menggunakan minyak.

"Pihak universiti lebih menggalakkan pelajar-pelajar ini menggunakan basikal berbanding kereta ataupun motosikal kerana lebih murah dan mereka tidak perlu mengeluarkan duit untuk membeli minyak.

"Tambahan pula, penggunaan basikal adalah lebih mesra alam dan ia selaras dengan usaha universiti untuk menjaga kebersihan alam sekitar dan kampus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengetuai sejumlah 2,379 pelajar baru dalam acara berbasikal sebelum menyertai acara senamrobik beramai-ramai sempena Minggu Orientasi Pelajar Baru (MOPB) di USM semalam.

Tambahnya, penggunaan basikal di dalam kampus bukan sahaja lebih menjimatkan dan murah tetapi ia juga boleh membantu mengurangkan kes-kes kecurian motosikal yang sering berlaku di dalam kampus.

"Kalau pelajar-pelajar menggunakan basikal, saya yakin kes kehilangan motosikal yang pernah berlaku sebelum ini dapat dielakkan sekali gus mampu memberikan suasana harmoni di kalangan warga kampus," ujarnya.

Sementara itu, acara berbasikal dan senamrobik beramai-ramai itu merupakan julung kalinya diadakan sempena MOPB dan ia turut disertai oleh dekan-dekan serta para pensyarah USM.

Jelas Omar lagi, program itu turut membawa mesej kesihatan kepada para pelajar kampus melalui aktiviti riadah yang boleh dilakukan kerana persekitaran USM sendiri amat sesuai.

UUM anjur program realiti on-line

UUM anjur program realiti on-line

KAMPUS

ALOR STAR 2 Julai - Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menganjurkan program realiti pencarian bakat terpendam graduan universiti secara on-line iaitu D' graduate-the Star Search.

Program dengan kerjasama Mypath Sdn. Bhd., Jaring dan sebuah tabloid berbahasa Inggeris itu disasarkan kepada pelajar sarjana muda tahun akhir daripada semua bidang pengajian di UUM.

Program tersebut akan dilancarkan pada 8 Julai ini di Dewan Seminar B, Kompleks Konvensyen, universiti berkenaan.

Pengarah Jabatan Canselori UUM, Mohd. Zaini Nasri berkata, program berbentuk realiti on-line ini bermatlamat menonjolkan bakat terpendam graduan berkebolehan dalam pengurusan kerjaya yang berumur dari 21 hingga 26 tahun serta warganegara Malaysia.

"D'graduate ini menggunakan sistem mentor bagi membantu calon merealisasikan impian mereka dan ia mengambil masa selama enam minggu bagi menentukan graduan yang layak bergelar bintang.

"Program ini boleh melahirkan mahasiswa yang mempunyai pemikiran positif, inisiatif diri, keyakinan dan pengetahuan seiring dengan seruan kerajaan yang menggalakkan perkembangan multimedia dan pembangunan teknologi maklumat di negara kita," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, program tersebut memberi peluang kepada bakal graduan UUM memperoleh pekerjaan kerana organisasi-organisasi yang berkaitan dijemput untuk melihat video persembahan peserta melalui portal yang dibina khas bersama MyPath Sdn. Bhd. dan Jaring.

Katanya lagi, D'graduate merupakan satu-satunya program seumpama itu di Malaysia dan pelajar boleh mengikuti program tersebut tanpa sebarang bayaran.

"Pemilihan pemenang akan ditentukan oleh pengundi yang terdiri daripada pelajar UUM tidak kira semester yang dibuat secara online dan juga oleh panel juri yang dilantik khas," ujarnya.

Beliau berkata, program ini merupakan sokongan kepada perkembangan modal insan dan menyokong misi dan visi UUM.

Menurut beliau, kemuncak kepada pertandingan ini ialah pemenang akan diberikan pekerjaan atau latihan industri di organisasi penaja di samping menerima hadiah lumayan dan juga sijil penyertaan.

Sehubungan itu, mereka yang berminat boleh menghubungi Rafidah Mahayuddin di talian 04-9285793 atau Pusat Jaringan Universiti-Industri (UIL) di talian 04-9285193/5194.

Pembangunan pendidikan diutamakan

Pembangunan pendidikan diutamakan

KLUANG 19 Jun - Pembangunan bidang pendidikan akan terus diutamakan walaupun kerajaan menghadapi masalah ekonomi ekoran kenaikan harga minyak sekarang, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Beliau berkata, bidang pendidikan merupakan asas penting dalam memastikan rakyat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Sehubungan itu katanya, Kementerian Pelajaran akan terus menyalurkan peruntukan kepada sekolah-sekolah agar pelajar dapat menimba ilmu dengan sempurna.

"Kita juga akan memastikan semua projek berjalan lancar walaupun terlewat sedikit," katanya ketika merasmikan Program Bakti Siswa Daya Wawasan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Bersama Kemas Parlimen Sembrong di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Melayu Chamek di sini hari ini.

Menurutnya, perkembangan ekonomi terkini merupakan ujian kepada rakyat yang memerlukan mereka terus bersatu menghadapinya kerana kenaikan harga minyak bukan sahaja berlaku di negara ini, tetapi di seluruh dunia.

"Oleh itu kita tidak boleh menyalahkan kerajaan, sebaliknya bekerjasama dengan mengamalkan hidup berjimat-cermat," katanya.

Beliau kesal kerana kenaikan harga minyak sekarang dijadikan isu oleh pihak tertentu untuk menyalahkan kerajaan tanpa meneliti fakta sebenar yang terjadi.

"Adalah mudah untuk menuding jari berbanding menyelesaikan masalah," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat agar memberikan kerjasama kepada kerajaan tanpa terikut-ikut rentak pihak tertentu bagi membantu menangani segala masalah yang timbul.

Menurutnya, masyarakat boleh menjadi mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan maklumat jika terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk keuntungan diri seperti menaikkan harga makanan di kantin sekolah.

Wednesday, July 2, 2008

Kerajaan Kedah terbit Dinar dan Dirham Mu'adzam Shah

Izwan Abdul Halim
Mon | Jun 30, 08 | 3:23:41 pm MYT
ALOR STAR, 30 Jun (Hrkh) - Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama IGDX Holdings Limited telah menerbitkan dinar emas dan dirham perak sempena Jubli Emas 50 Tahun Pemerintahan Tuanku Sultan Kedah yang akan disambut pada 15 Julai depan.

Sebagai perasmian kepada penerbitan dinar emas dan dirham perak tersebut juga, satu majlis pelancaran syiling peringatan khas 'Dinar dan Dirham Mu'adzam Shah' telah diadakan di sini kelmarin yang disempurnakan oleh Tuanku Sultan Kedah.

Dato' Seri Tuanku Puteri Intan Safinaz Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah selaku Pengerusi Eksekutif K-The Gold Sdn. Bhd. dalam ucapannya pada majlis tersebut menjelaskan bahawa rakyat jelata berpeluang mendapatkan syiling-syiling tersebut sebagai koleksi dan tanda kenangan sempena sambutan julung kali itu.

Menurut Tuanku Puteri Intan Safinaz, 200 unit pakej khas Dinar dan Dirham Mu'adzam Shah bernombor siri juga akan dikeluarkan dan dijual secara lelongan pada bulan Ogos nanti di mana sebahagian daripada hasil lelongan itu akan disalurkan kepada Yayasan Sultanah Bahiyah bagi tujuan menjana kewangan untuk program dan aktiviti kebajikan serta kemasyarakatan untuk rakyat di Negeri Kedah.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak yang turut berucap pada majlis tersebut menjelaskan bahawa penempaan syiling peringatan tersebut adalah sebahagian daripada usaha pihak Kerajaan Negeri untuk menjayakan sambutan Jubli Emas yang julung kali dapat diraikan oleh rakyat jelata.

Ujarnya, Kerajaan Negeri telah melabur sebanyak RM4 juta melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dan Yayasan Islam Negeri Kedah untuk penerbitan tersebut.

"Saya menyeru rakyat Negeri Kedah dan juga agensi Kerajaan Negeri mahupun swasta agar mendapatkan Dinar dan Dirham Mu'adzam Shah ini sebagai tanda taat setia dan sokongan terhadap kedaulatan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan," serunya pada majlis tersebut.

Pada majlis pelancaran yang sama, Tuanku Sultan turut mencemar duli merasmikan Kedah Gold Gallery iaitu sebuah wakala atau francais yang akan berfungsi sebagai pusat jualan Dinar dan Dirham Mu'adzam Shah serta produk yang dikeluarkan kumpulan IGDX Holdings Limited selain bertanggung jawab memberi maklumat mengenai pelaburan dinar emas Islam. Kedah Gold Gallery dimiliki oleh K-The Gold Sdn. Bhd iaitu anak syarikat IGDX Holdings Limited.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Tuanku Raja Muda Kedah, Kerabat-kerabat Diraja, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Bijaya Indera Dato' Wira Syed Unan Mashri Syed Abdullah, Pengerusi IGDX Holdings Limited, Dr. Mohd Yunus S. Mahmood dan Pegawai Daerah Kota Setar, Dato' Ahmad Md. Isa. - mns_

Serah tubuh umpan Along

Harian Metro Online http://www.emedia.com.my/


KUALA LUMPUR: Ada wanita yang meminjam daripada ceti haram atau Along
sanggup memberi perkhidmatan seks kerana bimbang diambil tindakan kekerasan
apabila gagal membayar balik pinjaman mengikut tempoh ditetapkan.

Walaupun tiada laporan polis kerana wanita berkenaan malu berbuat demikian
tetapi Biro Pengaduan Awam MCA mendapat tahu ia dilakukan golongan wanita
yang terdesak dan amat memerlukan wang dalam tempoh segera.

Pengerusinya, Michael Chong, berkata ketika mengambil keputusan meminjam
dengan ceti haram, sesetengah wanita tidak memikir langsung risiko atau
tindakan kekerasan ceti haram jikaA gagal membuat pembayaran semula.

"Bagaimanapun, selepas wang pinjaman digunakan, kebanyakannya menghadapi
masalah untuk membuat bayaran balik mengikut tempoh ditetapkan apatah lagi
kadar faedah yang dikenakan ceti haram tinggi.

"Berikutan amaran dipukul atau tindakan kekerasan lain, kebanyakan wanita
yang gagal menjelaskan pembayaran itu terpaksa menawarkan perkhidmatan seks
sebagai cara mudah penyelesaian," katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, katanya ada juga suami yang meminjam daripada ceti haram gagal
membayar balik sehingga keselamatan anak dan isteri terancam serta menjadi
mangsa gangguan ceti haram.

"Kita banyak menerima aduan daripada isteri bahawa suami mereka meminjam
daripada ceti haram beribu-ribu ringgit untuk pelbagai tujuan termasuk
berfoya-foya dan berjudi tetapi akibatnya ditanggung anak isteri.

"Ada isteri yang mengalami tekanan mental, fobia ketakutan dan tidak ada
wang untuk membeli makanan berikutan diganggu ceti haram selepas suami
mereka gagal membuat balik pembayaran mengikut tempoh ditetapkan.

Beliau mengakui, taktik yang sering digunakan ceti haram jika suami gagal
membayar balik pinjaman ialah dengan mengganggu keluarga si peminjam secara
psikologi.

Katanya, ceti haram sanggup melakukan apa sahaja seperti melarikan
anak-anak, mengunci pintu pagar dan memotong bekalan elektrik bagi memberi
tekanan serta menakutkan keluarga peminjam.

"Selain itu, kita menerima aduan ceti haram sanggup memalukan keluarga si
peminjam dengan menampal kad pengenalan suami di merata tempat dan menulis
perkataan kesat seperti "orang ini tidak berguna" di sekeliling kad
pengenalan itu.

"Jika taktik berkenaan gagal, mereka akan menulis perkataan menggunakan
dakwat merah dengan tulisan besar di dinding rumah keluarga atau di mana
sahaja bagi memalukan keluarga si peminjam.

"Perbuatan itu memberi tekanan emosi kepada keluarga si peminjam menyebabkan
anak-anak malu ke sekolah dan isteri takut untuk keluarga dari rumah dan
bergaul dengan jiran," katanya.

Chong berkata, tidak semua ceti haram gemar melakukan tindakan kekerasan
atau jenayah, sebaliknya jika peminjam sengaja enggan membayar dan melarikan
diri, mereka (ceti haram) akan terus menganggu keluarga peminjam.

Pihaknya pernah mengadakan perbincangan dengan kumpulan ceti haram itu dan
mendapati Along boleh dibawa berbincang dan peminjam yang gagal membayar
balik jangan lari sebaliknya memaklumkan kepada mereka (ceti haram) secara
baik.

"Mereka marah sebab peminjam kerap kali menipu. Peminjam berjanji membayar
hutang tetapi tidak datang.

"Ini menyebabkan kumpulan ceti haram itu marah kerana mereka juga
menjalankan perniagaan walaupun mengakui kadar faedah yang dikenakan adalah
tinggi.

"Sesetengah ceti haram tidak kisah jika peminjam tidak membayar faedah yang
dikenakan asalkan wang yang diambil itu dibayar semula mengikut jadual,"
katanya.

Chong mengakui, kegiatan ceti haram di ibu kota membimbangkan berikutan
sambutan menggalakkan daripada orang ramai termasuk peniaga kecil yang
menghadapi masalah mendapat pinjaman daripada institusi kewangan.

Katanya, biro berkenaan berjaya menyelesaikan sebanyak 20 kes membabitkan
ancaman ceti haram tahun lalu. Tiada kes bunuh atau kekerasan yang berlaku
dan peminjam setuju untuk membayar balik.

Tuesday, July 1, 2008

KERUGIAN BAGI WANITA YANG MENOLAK PERKAHWINAN



Sepertimana yang diberitakan kepada kita oleh akhbar Berita Harian, hari ini terdapat segolongan wanita yang menolak perkahwinan. Antaranya memandang perkahwinan sebagai satu bebanan yang menyekat kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam menentukan hidup berubah dan terpikul pula dengan kerja-kerja mengurus rumahtangga dan anak-anak.

Justeru itu ramai yang lebih rela jadi andartu walaupun pada hakikatnya, ianya tidak dapat memberi kebahagiaan pada jiwa. Ada juga yang tidak berkahwin disebabkan terlalu memilih calon yang sekufu dan ada yang tidak sempat memikirkan perkahwinan kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas dan karier kerjanya.

Sebelum ini saya ada memberi pandangan bagaimana hendak menyelesaikan masalah andartu. Kali ini saya akan dedahkan pula tentang kerugian wanita yang tidak mahu bekahwin; tetapi bukan kepada wanita yang tidak berkahwin kerana tiada jodoh. Kalau sudah tidak ada jodoh, wanita tersebut tidak boleh dipersalahkan kerana sudah takdir menentukan demikian. Masalahnya sekarang, terdapat wanita yang ada peluang berkahwin tetapi menolak dengan alasan-alasan sepertimana yang saya sebutkan di atas tadi.

Perkembangan tentang wanita yang tidak gemar berkahwin bukan sahaja berlaku di dalam masyarakat bukan Islam tetapi juga berlaku di kalangan masyarakat Islam. Sikap demikian bukan sahaja bertentangan dengan kehendak ajaran Islam yang menggalakkan perkahwinan tetapi juga bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia yang hidupnya memerlukan pasangan. Bahkan sunnatullah kejadian manusia, ada lelaki dan ada wanita yang saling memerlukan antara satu sama lain. Ibarat talian elektrik yang memerlukan positif dan
negatif untuk melahirkan cahaya.

Di Malaysia, walaupun terdapat di dalam masyarakat Islam sikap memilih hidup membujang tetapi tidak begitu berleluasa seperti di barat. Sungguh pun demikian pada pandangan Islam, orang yang tidak berkahwin dianggap jelek. Menyerupai para pendita Kristian. Golongan ini juga tidak akan mendapat kesempurnaan dalam agama dan mengalami kerugian di dunia dan di akhirat.

Kejelekan tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih banyak berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya bagi kaum wanita, pintu syurga lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga, suami dan anak-anak. bagi kaum wanita, untuk mendapat maqam salehah dan menjadi ahli syurga di akhirat adalah amat mudah. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat perkara iaitu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga mana-mana yang ia kehendaki.”

Sekiranya seorang wanita itu tidak berkahwin, ia tidak akan dapat mencapai kesempurnaan pada maqam yang keempat. Walau sehebat mana sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah, wanita yang tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati suami. Sedangkan kelebihan mentaati suami mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita, sehinggakan redha Allah s.w.t. pun bergantung kepada redha suami.

Selain daripada itu di antara kelebihan wanita yang berkahwin bahawa ia akan diberi pahala seperti pahala jihad fisabilillah di kala mengandung. Apabila ia menyusukan anak maka setiap titik air susu akan diberi satu kebajikan. Berjaga malam kerana mengurus anak akan diberi pahala seperti membebaskan 70 orang hamba. Wanita yang berpeluh kerana terkena bahang api ketika memasak untuk keluarganya akan dibebaskan daripada neraka. Bagi wanita yang mencuci pakaian suminya akan diberi 1000 pahala dan diampuni 2000 dosa. Lebih istimewa lagi ialah bagi wanita yang tinggal di rumah kerana mengurus anak-anak akan dapat tinggal bersama-sama Rasulullah s.a.w di syurga kelak.

Bahkan wanita yang rela dijimak oleh suami juga akan mendapat pahala dan lebih hebat lagi bagi wanita yang mati kerana bersalin akan mendapat pahala seperti pahala syahid. Semua kelebihan-kelebihan ini tidak akan dapat diperolehi bagi wanita yang menolak perkahwinan. Malah di dunia akan selalu berada di dalam fitnah dan di akhirat menjadi golongan yang rugi. Oleh itu wanita dianjurkan berkahwin apabila telah menemui pasangan yang sekufu. Yang dimaksudkan sekufu yang utama ialah dari segi iman, walaupun lelaki tersebut telah berkahwin. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Apabila datang kepada kamu lelaki yang beragama dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul fitnah dan kebinasaan." Para sahabat bertanya, “Bagaimana kalau ia telah berkahwin?” Jawab Baginda s.a.w, “Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga kali).”

Begitulah besarnya pahala bagi wanita yang berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah untuk keluar rumah seperti kaum lelaki atau berslogan seperti kebanyakan wanita hari ini. Hanya dengan duduk di rumah sebagai seorang isteri dan ibu sudah memperolehi banyak pahala. Kalau suami redha dengan perlakuan seorang isteri itu maka akan terus masuk syurga tanpa melalui kesukaran. Nikmat ini tidak akan dapat diperolehi oleh wanita yang menolak perkahwinan kerana dia telah menolak untuk menjadi calon wanita salehah yang berada dibawah naungan suami.