Tuesday, September 9, 2008

Peruntukan besar Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Timbalan Perdana Menteri berkata, peruntukan besar yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak dalam Bajet 2009 bertujuan mengecilkan jurang pembangunan antara Semenanjung Malaysia dengan kedua-dua negeri itu.

Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, langkah itu juga selaras dengan janji dan komitmen kerajaan selama ini untuk membawa lebih banyak pembangunan ke negeri-negeri tersebut.

''Rata-rata Ahli Parlimen dari negeri itu juga menyarankan supaya kerajaan melihat keunikan Sabah dan Sarawak terutama daripada segi saiz keluasannya dan tahap pembangunannya yang rendah serta kadar kemiskinan yang tinggi.

''Oleh itu adalah menjadi hasrat kerajaan untuk mengecilkan jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas pembentangan Bajet 2009 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyaksikan peruntukan besar untuk kedua-dua negeri tersebut.

Selain program pembasmian kemiskinan, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM580 juta untuk Sabah dan RM420 juta bagi Sarawak dalam usaha meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat kedua-dua negeri itu.

No comments: