Thursday, September 18, 2008

USAHA SEMARAK MINAT MASYARAKAT DAN BELIA

Oleh
Shamsul Jangarodin

JAWATANKUASA Penganjur Sukan Olimpik Belia Singapura (SYOGOC) mahu meningkatkan minat dan pelibatan masyarakat bagi acara sukan antarabangsa itu, yang akan dianjurkan Singapura pada 2010.

Bagi merealisasi cabaran itu, dua jawatankuasa telah dibentuk - Jawatankuasa Pendekatan Masyarakat, yang dipengerusikan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central Singapore, Encik Zainudin Nordin, dan Jawatankuasa Pelibatan Belia, yang dipengerusikan peserta kapal layar Olimpik Singapura, Encik Koh Seng Leong.

Langkah itu diharap menjadi mangkin bagi menyemarak lagi minat dan semangat orang ramai, terutama kerana Singapura tuan rumah YOG pertama.

Setiausaha Parlimen (Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan), Encik Teo Ser Luck, yang juga penasihat SYOGOC, berkata adalah penting bagi rakyat Singapura berasa ghairah menyambut ketibaan YOG.

'Kita perlu dapatkan persediaan semua lapisan masyarakat agar YOG dapat berjalan lancar,' ujar beliau dalam satu sidang media di CDC Central Singapore, HDB Hub, semalam.

Beliau juga mendedahkan bahawa logo YOG akan dilancar sebelum akhir bulan depan.

Mesej tentang YOG akan disampaikan sewaktu Kempen Hidup Sihat Kebangsaan 2008, Festival Belia dan Festival Jalan Raya Singapura.

'Kami akan menerapkan pesanan seperti menjadikan Singapura lebih berbudi dalam kita menyambut tetamu antarabangsa,' ujar Encik Zainudin.

YOG juga ingin menarik lebih ramai sukarelawan, yang kini melebihi 5,000 orang.

Beberapa festival bertema akan diadakan setiap tiga bulan supaya para belia dapat mempelajari dan menyumbang kepada YOG dengan mengadakan projek sukan, seni dan media digital.

Mereka boleh perolehi dana daripada Skim Young Changemakers.

No comments: