Saturday, September 27, 2008

Hutan Bubu berhujankan peluru



SEORANG pelatih yang lengkap bersenjata rifel M16 mengawal kawasan sebaik sahaja berjaya menawan kem komunis di Hutan Simpan Bubu, Perak.


SUASANA awal pagi itu berkabus dan sejuk nyaman. Keadaan ketika itu memang sunyi sepi tanpa kedengaran apa pun jua bunyi haiwan dan unggas.

Kem pengganas komunis di Hutan Simpan Bubu itu didiami sekurang-kurangnya tujuh hingga sembilan pengganas komunis berdasarkan maklumat risikan.

Seperti biasa terdapat kawalan keselamatan dilakukan oleh dua hingga tiga orang pengganas ketika itu bagi memastikan mereka tidak diserang hendap oleh pasukan keselamatan.

Pada masa sama, beberapa pengganas lagi didapati nyenyak tidur.

Seperti biasa, pengganas akan memasang jerangkap samar di sekeliling kem berkenaan bagi menghalang kemasukan anggota-anggota keselamatan.

Suasana awal pagi yang masih gelap itu memang menyukarkan sebarang pergerakan di hutan tebal seperti Hutan Bubu, Perak.

Tanpa disedari oleh para pengganas itu, terdapat pergerakan beberapa anggota keselamatan yang lengkap bersenjata api dengan muka mereka dicat warna gelap.

Anggota-anggota itu telah menyelinap masuk secara senyap sejak lebih sejam sebelum itu dan berjaya melepasi kawan jerangkap samar pengganas.

Kini pasukan keselamatan itu berada kira-kira 20 hingga 30 meter dari kem pengganas berkenaan.

Tiba-tiba kedengaran bunyi tembakan pertama dan diikuti tembakan bertalu-talu yang memecah keheningan pagi menyebabkan para pengganas tersebut terkejut.

‘Serang... serang.’ Kedengaran teriakan suara anggota-anggota 69 Komando yang melakukan serang hendap terhadap kem pengganas komunis tersebut.

Tembakan bertalu-talu itu disusuli juga dengan beberapa letupan bom serta jeritan dari pengganas yang terkena tembakan.

Para pengganas komunis itu membalas tembakan, namun empat orang daripada mereka rebah ke bumi dan tidak bergerak lagi.

Sekurang-kurangnya dua orang cedera, namun sempat melarikan diri di celah-celah hutan tebal dan kegelapan pagi itu.

Tiga anggota 69 Komando turut cedera terkena tembakan musuh.

Semua yang berlaku ini sebenarnya adalah satu latihan oleh pasukan 69 Komando Pasukan Gerak Khas (PGK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Hutan Simpan Bubu yang bersempadankan Taiping dan Kuala Kangsar.

Latihan hari terakhir dan merupakan penamat kepada latihan asas komando selama lima bulan itu berjaya melahirkan 17 anggota baru bagi pasukan 69 Komando.

Para pelatih yang berjaya menamatkan latihan itu merupakan sebahagian daripada lebih 100 orang yang memohon dan menyertai latihan asas komando sebelum ini.

Namun disebabkan latihan keras itu menitikberatkan disiplin tinggi bagi melahirkan anggota komando berhati waja, ramai pelatih yang mengangkat tangan di peringkat awal sebagai tanda tewas.

Penamat latihan asas komando itu berakhir dengan jayanya atas bimbingan para jurulatih 69 Komando.

Dalam latihan itu, serangan dan berbalas tembak itu berakhir kira-kira 30 minit.

Pasukan 69 Komando kemudian mengepung kawasan kem tersebut bagi memastikan tidak ada pengganas yang bersembunyi.

Pada masa sama, anggota-anggota 69 Komando itu diberi tugasan masing-masing termasuk menghantar maklumat menggunakan alat komunikasi ke ibu pejabat pasukan mengenai serangan, jumlah yang terkorban, kecederaan dan sebagainya.

Terdapat juga anggota-anggota yang memeriksa mayat pengganas bagi memastikan tidak ada bahan letupan yang boleh membahayakan mereka.

Anggota-anggota 69 Komando yang cedera pula diberikan rawatan kecemasan sebelum usungan dibuat bagi membawa mereka keluar dari hutan tersebut.

Bagi pelatih yang telah dilatih cara-cara merawat, ketika itu mereka berperanan memberikan bantuan kecemasan sambil diselia oleh para jurulatih.

Mereka yang cedera kemudian dibawa dengan usungan dan di sini bermula pula cabaran lebih memeritkan kerana mereka perlu keluar dari hutan tebal dalam kadar segera.

Sepanjang perjalanan membawa usungan, antara cabaran mereka ialah membuat laluan baru menebang halangan seperti pokok, bukit, tebing tinggi, melalui bukit-bukau dan sungai.

Yang pasti, berjalan sambil membawa usungan manusia bukanlah satu perkara mudah terutama apabila berada dalam hutan tebal yang tidak mempunyai laluan sedia ada.

Perjalanan untuk keluar dari hutan tebal menuju ke jalan utama sering mengambil masa lama sehingga dua atau tiga jam walaupun jaraknya tidaklah jauh.

Meredah hutan sambil membawa usungan juga memerlukan stamina, kecekalan hati, semangat, kekuatan mental dan kesabaran yang tinggi.

Yang penting setiap anggota bekerjasama sebagai satu pasukan. Sepanjang perjalanan keluar dari hutan itu, para jurulatih sentiasa memantau dan memberi teguran kepada pelatih-pelatih tersebut.

Ini kerana anggota-anggota itu bukan sahaja perlu membawa anggota yang cedera, malah peralatan semasa berada dalam hutan termasuk senjata rifel.

Semasa perjalanan keluar dari Hutan Simpan Bubu itu, para pelatih tersebut telah terlanggar sarang tebuan tanah.

Bagaimanapun tindakan mendiamkan diri beberapa minit, statik, seperti diarahkan oleh jurulatih, membolehkan mereka terhindar dari disengat tebuan dan perjalanan keluar dari hutan itu dapat diteruskan.

Inilah antara kebolehan dan kesabaran yang dimiliki oleh para pelatih itu hasil tunjuk ajar dari jurulatih 69 Komando apabila berhadapan dengan pelbagai halangan dan cabaran tidak diduga semasa berada di hutan tebal.

Apabila sampai ke jalan utama, para pelatih seramai 17 orang itu sudah boleh tersenyum kerana keringat mereka selama lima bulan telah membuahkan hasil. Mereka adalah yang terbaik dari lebih 100 orang yang memohon menyertai 69 Komando sebelum ini.

Syabas kepada para jurulatih 69 Komando kerana berterusan berjaya melahirkan generasi pelapis untuk 69 Komando.

No comments: