Saturday, December 6, 2008

Ramai bakal hilang pekerjaan



YEE Moh Chai (kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Ekspo Kerjaya 2008, Datuk Abidin Madingkir melawat tapak pameran ekspo di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 6 Dis. - Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah menjangkakan ramai rakyat di negeri ini akan kehilangan pekerjaan berikutan krisis ekonomi dunia terutama pada tahun depan.

Menterinya, Datuk Yee Moh Chai menggesa rakyat di negeri ini supaya berdaftar dengan Pusat Kerjaya Sabah bermula sekarang bagi memastikan kadar pengangguran tidak terlalu tinggi.

"Dalam perkara ini, Pusat Kerjaya Sabah mempunyai peranan penting dalam mendaftar dan membantu mereka mendapat pekerjaan lain," katanya ketika berucap pada Ekspo Kerjaya 2008 di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Likas dekat sini hari ini.

Beliau berkata, pusat tersebut juga perlu melipat gandakan usaha mencari pekerja-pekerja baru sebagai persediaan awal kerajaan dalam menghadapi masalah kehilangan pekerjaan.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja-pekerja asing dalam sektor tertentu untuk memberi keutamaan kepada rakyat tempatan.

Dalam pada itu, katanya, beliau turut mengingatkan rakyat Sabah supaya berhati-hati apabila berdaftar dengan ejen mencari pekerjaan di Singapura bagi mengelak daripada tertipu.

"Seperti yang maklum, ramai belia kita yang pergi bekerja di Singapura telah ditipu oleh ejen yang tidak sah dan bertanggungjawab. Di Sabah hanya ada satu ejen yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja negeri," katanya.

Sementara itu beliau memberitahu, seramai 5,474 pencari kerja di Sabah sudah berdaftar dengan pusat tersebut sejak ia dibuka pada bulan lalu.

Katanya, seramai 300 majikan juga sudah pun mendaftar dengan pusat tersebut dan diharapkan langkah berkenaan dapat membantu mereka yang mencari kerja.

Pada masa yang sama, Moh Chai meminta pusat tersebut agar meningkatkan sistem penyampaian dan mengurangkan kerenah birokrasi bagi memudahkan pencari kerja berurusan.

Mengenai ekspo berkenaan, beliau mengalu-alukannya kerana dengan cara itu pencari kerja akan diberi pendedahan lebih banyak tentang dunia pekerjaan selain mendapat maklumat terkini.

Menurutnya, ekspo itu yang diadakan selama dua hari, merupakan platform terbaik bukan sahaja kepada pencari kerja tetapi sebagai tempat untuk memperkenalkan syarikat masing-masing.

Katanya, difahamkan seramai 89 majikan swasta, pembekal latihan dan ejen kerajaan terlibat dalam ekspo ini dan oleh itu, adalah penting peluang seperti ini dimanfaatkan sepenuhnya.

TLDM buat persediaan rapi sambut ketibaan kapal selam pertama


KOTA KINABALU 21 Nov. - Persediaan komprehensif sedang giat dijalankan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar bagi menyambut ketibaan kapal selam pertama negara, pada pertengahan tahun depan.

Panglima Wilayah Laut Dua, Laksamana Pertama Syed Zahiruddin Putra Syed Osman (gambar) berkata, persediaan tersebut merangkumi segenap aspek dan bukan hanya melibatkan penyediaan infrastruktur.

Katanya, persediaan itu antara lain termasuk dari segi keanggotaan, kualiti hidup anggota, latihan, keselesaan dan kesejahteraan warga TLDM.

"Pangkalan ini akan menjadi pangkalan utama kapal selam. Jadi keutamaan pangkalan ini adalah untuk menampung operasi kapal selam. Apa yang dikehendaki ialah segala-gala yang kita ada di sini mampu mendukung operasi kapal selam.

"Adalah menjadi tanggungjawab saya bagi menentukan keperluan ini bagi memastikan kita bersedia sepenuhnya. Pada masa ini, kita sedang berusaha keras membuat persediaan lengkap dan komprehensif," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan cek pampasan dan khairat kematian berjumlah RM33,000 kepada keluarga seorang bekas anggota TLDM, mendiang Paulinus Sansih yang meninggal dunia akibat serangan jantung.

Cek tersebut diterima oleh isteri mendiang, Jalina Basini, 23, yang menetap di Kampung Uloi Makakagas, Tenom.

Menurut Syed Zahiruddin, dalam usaha meningkatkan keselesaan semua warga TLDM, pihaknya juga sedang mengkaji untuk mengurangkan jumlah anggota terutama di kalangan warga bujang, bagi mengimbangi kemudahan tempat tinggal yang ada.

Katanya, sebilangan anggota yang ada di Pangkalan TLDM Sepanggar mungkin terpaksa dipindahkan ke pangkalan lain yang memerlukan.

Beliau berkata, pada masa ini daripada kira-kira 1,370 warga TLDM dengan hanya kira-kira 50 orang sahaja tidak mendiami kuarters di dalam pangkalan.

Kajian pengurangan itu, katanya, perlu dibuat bagi menampung kehadiran tambahan kira-kira 200 warga kapal selam serta keluarga yang dijangka akan tinggal di kuarters.

Kecekapan 10 Briged Para, PUTD dan TUDM teruji


MENYEDARI tanggungjawab besar Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) 10 Briged Para sebagai barisan awal menjaga keamanan negara, satu latihan ketenteraan telah dijalankan dari 14 hingga 21 November lalu.

Eksesais Gerak Pantas Siri 17 2008 itu dijalankan di Kota Setia, Seberang Perak berhampiran kawasan sawah padi yang terbentang luas.

Misi utama mereka ialah menawan semula Jambatan Dato Sagor dan Jambatan Sultan Yusoff yang telah dirampas oleh pihak musuh.

Pengarah Eksesais, Kolonel Hasagaya Abdullah ketika ditemui berkata, pasukannya itu yang mahir dalam menggunakan payung terjun tidak boleh gagal dalam misi berkenaan.

Beliau yang juga Pemangku Panglima 10 Briged Para berkata, ini kerana sebarang kegagalan akan menjejaskan pelan peperangan pihak atasan secara keseluruhan.

Justeru, katanya, latihan tersebut perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen oleh semua pihak yang berkaitan.

Kata beliau, dalam operasi seperti itu, pihaknya akan sentiasa bekerjasama rapat dengan pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) bagi memastikan anggota dan segala peralatan peperangan dapat sampai ke medan tempur dengan cepat dan selamat.

‘‘Dalam latihan ini, kami bukan saja mengerahkan 480 anggota PAC terjun dari paras ketinggian 1,000 kaki ke zon pengguguran yang telah dikenal pasti selamat.

‘‘Kami juga menurunkan kenderaan- kenderaan dan alat peperangan bagi memerangi musuh daripada pesawat yang terbang pada paras ketinggian kira-kira 720 kaki,” katanya.

Menurut Hasagaya, secara keseluruhan, eksesais itu mencapai objektif apabila kekuatan tentera yang dikerah berjaya menawan semula kedua-dua buah jambatan terbabit.

Kata beliau, ia jelas membuktikan bahawa PAC 10 Briged Para mampu menjalankan tugas mempertahankan negara dengan pantas dan berkesan.

Jelasnya, berdasarkan latihan tersebut, pihaknya dapat menguji kecekapan anggota dan segala aspek yang diperlukan dalam sesuatu peperangan.

‘‘Dari segi komunikasi, kami berjaya mendaratkan ratusan tentera dan puluhan peralatan bersama kenderaan perang dengan begitu kemas.

‘‘Lebih membanggakan, kerjasama erat antara 10 Briged Para dengan TUDM dan PUTD begitu baik dalam menjayakan misi latihan ini.

‘‘Tanpa bantuan dan kerjasama padu daripada mereka, sudah tentu sukar bagi PAC 10 Briged Para menjalankan misi seumpama ini,” katanya.

Kata Hasagaya lagi, pihaknya bersama TUDM merancang menjalankan eksesais lebih besar pada masa akan datang bagi meningkatkan kecekapan pasukan dari semasa ke semasa.

Katanya, ia juga secara tidak langsung membolehkan pasukannya sentiasa bersiap sedia dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab menjaga keamanan negara.

Mengenal pasti jika anak anda mengambil dadah


IBU bapa kadang-kala berkata, mereka langsung tidak menyedari anak mula mengambil minuman beralkohol dan najis dadah.

Ini adalah kerana mereka tidak menyedari petunjuk yang ada di sekitar mereka. Jangan biarkan ini berlaku kepada anda.

Berikut merupakan beberapa tanda yang anda perlu cari:

1. Kesan melalui deria bau

Anak remaja anda masuk ke dalam rumah pada malam hujung minggu selepas menghabiskan masa dengan rakan-rakan. Bagaimana anda mengenal pasti sama ada dia telah minum atau menghisap rokok?

Cuba memulakan perbualan dengan anak anda tetapi bukan dengan menjerit dari jauh (menerusi beberapa bilik) atau dalam bilik tertutup, tetapi dengan perbualan secara langsung.

Anda juga perlu berasa sangsi jika anak anda masuk ke dalam rumah dengan mengunyah gula-gula getah, nafas berbau pudina, ataupun anda mencium bau losyen yang baru sahaja digunakan. Anak anda mungkin cuba menyembunyikannya dengan haruman tersebut.

2. Teliti lebih dekat

Jika anak remaja anda menggunakan atau menyalahgunakan bahan haram, terdapat bukti visual yang boleh dikesan.

Cuba teliti mata anak anda, ia boleh menunjukkan tanda sebarang penggunaan bahan dadah.

Jika anak anda mengambil ganja, matanya akan menjadi merah dan anak mata akan mengecil.

Jika anak anda mengambil alkohol, anak mata akan membesar, dan dia mungkin menghadapi kesukaran untuk memberi tumpuan.

Selain daripada itu, alkohol turut memberi kesan dengan menyebabkan muka dan pipi menjadi merah.

Penggunaan suntikan dadah meninggalkan tanda, kebiasaannya di tangan, tetapi ia juga mungkin terdapat di kaki.

Menghidu kokain menyebabkan hidung berdarah dan lama-kelaman akan mengikis septum di dalam hidung.

Jika terdapat tanda terbakar di bibir atau jejari anak anda, dia mungkin menghisap bahan mengkhayalkan melalui kaca panas atau paip besi.

Lebam atau tanda di sekeliling mulut di samping tanda cat di badan atau pakaian, bau kimia atau hidung selesema juga menunjukkan penggunaan ubat sedut atau inhalan iaitu amalan menghidu asap daripada bahan kimia untuk khayal.

Pil ekstasi menyebabkan kesakitan gigi, meningkat rangsangan dan kehilangan kepekaan kepada persekitaran.

Cuba juga mengenal pasti tanda-tanda ketaksuban (peka) terhadap cahaya dan bunyi, pengambilan air berlebihan dan bertindak keanak-anakan.

3. Perubahan mood

Cuba lihat sebarang perubahan terhadap mood anak anda. Bagaimana keadaannya? Adakah anak anda membuat bising dan kecoh, atau ketawa mengilai tanpa sebab.

Adakah anak anda menunjukkan kemarahan, dan letih tanpa sebab sepanjang malam? Adakah dia kelihatan tidak sihat dan terjatuh dalam bilik air?

Ini merupakan tanda-tanda yang menunjukkan mereka berkemungkinan menggunakan bahan haram seperti alkohol, ganja, dan sebagainya.

Anda juga perlu memberi perhatian terhadap kelakuan anak remaja anda pada setiap masa.

Jika dia menjadi pendiam, marah, kurang berkomunikasi yang berlangsung selama lebih kurang beberapa minggu, kemungkinan sesuatu telah berlaku kepada anak anda.

Anak anda berkemungkinan menjadi marah jika anda cuba membantu dan dengan tegas meminta anda tidak mengganggu, tetapi anda perlu mengetahui apakah yang sedang berlaku.

Walaupun terdapat pelbagai alasan yang menyebabkan anak anda merasa naik angin, anda perlu mempertimbangkan kemungkinan yang dia telah menunjukkan tabiat penggunaan bahan larangan.

4. Kemalangan kereta

Bagi kebanyakan remaja yang lebih dewasa, kenderaan mereka adalah kehidupan mereka.

Jika anda mengesyaki bahawa anak anda menggunakan dadah, cuba periksa kereta mereka untuk sebarang petunjuk.

Jika anda berasa syak-wasangka, periksa dalam kenderaan mereka; kebanyakan anak remaja malas membersih dan mengemaskan kereta mereka.

Adakah bahagian dalaman kenderaan berbau asap ganja atau alkohol? Adakah terdapat sebarang botol, paip, paip air atau dadah jenis paraphernalia di lantai kereta dan disorokkan di dalam laci kereta?

Jika anda menjumpai sesuatu, bersemuka dengan anak anda dengan segera; berterus-teranglah dan beritahu anak anda apa yang anda temui dan kenapa anda berasa bimbang.

5. Penipuan atau berahsia

Tiba-tiba anda mendapati anak-anak yang jujur mula menipu setiap masa. Rancangan pada petang hari dan hari minggu mula kelihatan meragukan.

Anak anda sama ada tidak pasti ke mana hala tujunya atau alasan yang tidak kukuh (anak anda tidak mampu menceritakan wayang yang baru ditontoni, atau rakan yang sepatutnya keluar dengan anak anda telah menelefon dan mencari anak anda).

Malah, jika anda menemui sebarang penggunaan bahan mengkhayalkan (satu tin bir atau rokok ganja dalam bilik anak anda), anak anda mungkin mempunyai seseorang atau sesuatu yang lain untuk dipersalahkan.

Apabila sebarang alasan gagal, anak anda membalas pertanyaan dan kebimbangan anda dengan memberitahu ia bukan masalah anda.

Sesuatu pasti telah berlaku, dan anda perlu mengenal pasti apakah yang disembunyikan oleh anak anda.

6. Kurang motivasi

Gred anak anda semakin menurun dan tiada alasan jelas mengenai puncanya. Dia memberi penjelasan yang sukar dipercayai dan memberi jaminan kepada anda bahawa dia boleh mengendalikan situasi tersebut, tetapi gagal mengatasinya.

Dia mungkin ponteng kelas dan mengabaikan masa untuk menyiapkan kerja rumah. Dia juga kelihatan hilang minat terhadap aktiviti-aktiviti lain.

Anda menerima panggilan daripada guru, jurulatih, guru besar, kesemuanya menyatakan perkara yang sama iaitu anak remaja anda ponteng kelas, aktiviti atau latihan, dan apabila dia menghadiri kelas-kelas tersebut, dia langsung tidak menunjukkan sebarang usaha.

Ini boleh menunjukkan tanda masalah penyalahgunaan bahan larangan, di mana keinginan untuk mabuk atau khayal telah menjadi keutamaan dalam hidup anak anda.

7. Kehilangan alkohol, rokok, duit atau barang berharga

Bagi remaja yang ingin mabuk atau membeli dadah, rumah ibu bapa boleh menjadi sumber utama sebagai punca wang tunai.

Sesetengah ibu bapa menyimpan beberapa jenis minuman beralkohol dalam rumah, sama ada tin bir, botol wain, atau kabinet yang merupakan tempat meletak pelbagai jenis arak.

Jika mereka memerlukan duit untuk membeli dadah, mereka akan mula menyelongkar dompet ibu bapa, mencuri duit, atau mencuri barang-barang berharga seperti barang kemas untuk dipajak atau dijual.

Anda juga perlu memantau jumlah alkohol dalam rumah anda. Jika anda menyedari terdapat botol arak yang hilang atau arak yang dicairkan dengan air, anda perlu mengunci tempat tersebut supaya anak remaja anda tidak boleh mendapatkannya.

Maklumkan kepada anak anda bahawa anda mengetahui apa yang sedang berlaku dan anda tidak akan bertoleransi dalam tabiatnya mencuri daripada anda.

8. Masalah aliran tunai

Anda menyedari sesuatu berlaku apabila duit anda mula hilang. Terdapat kaedah berkaitan wang tunai yang boleh mengesan masalah ini.

Sudah tentunya, dadah dan alkohol membabitkan wang, malah dadah yang tidak begitu mahal juga lama-kelamaan akan menyebabkan kehilangan duit.

Kemungkinan anak anda menggunakan wangnya sendiri (elaun, gaji dan bantuan, apa sahaja) untuk membeli dadah tersebut.

Pada masa sama, jika dia tiba-tiba mempunyai lebih banyak duit untuk pakaian, cakera padat, atau barang-barang lain, menjangkaui apa yang mampu dimilikinya, beri pertimbangan bahawa anak anda mungkin mengedar dadah. Dalam situasi sebegini, memeriksa bilik anak anda mungkin dapat menjelaskannya.

9. Perubahan rakan taulan

Anda menyedari bahawa anak remaja anda melepak dengan kumpulan yang berbeza. Adalah perkara biasa bagi para remaja untuk mendapat kawan baru, tetapi malangnya rakan-rakan baru ini membimbangkan anda.

Kemungkinan rakan-rakan baru ini adalah lebih berumur dan kelihatan lebih nakal dan berdikari, dengan kurang pengawasan ibu bapa dan kurang berminat di sekolah.

Walau apapun kesnya, anak remaja anda berkemungkinan akan mempertahankan pilihan rakan sebaya mereka, dengan menyatakan kawan baru tersebut lebih menyeronokkan dan memahami.

Tetapi, jika anda berasa sangsi dengan apa yang mereka lakukan, pantau dan perhatikan mereka dan ikutlah naluri anda.

Teknologi sejuk beku buah tempatan



durian yang telah disejuk bekukan di kompleks bilik sejuk FAMA di Muar, Johor.


APABILA tiba musim buah-buahan, mereka yang paling gembira bukan sahaja penjual atau pemilik gerai serta pasar tani, malah penggemar buah-buah khususnya durian antara yang menunggu saat itu.

Ini kerana, ketika musim inilah mereka berpeluang menikmati pelbagai jenis buah-buahan segar bermusim, harga murah dan merasainya di mana juga.

Ketika ini, penggemar buah-buahan bagaikan kemaruk melihat lambakan buah dijual di tepi jalan dan tentunya mereka tidak akan melepaskan peluang untuk menikmatinya.

Malangnya, di sebalik kegembiraan tersebut dan kemeriahan pesta buah, pemilik dusun kadangkala bimbang kerana masalah lambakan selalunya menghantui mereka.

Buah yang terlalu banyak, dijual pada harga murah, tidak mungkin dapat dinikmati sekiranya disimpan terlalu lama yang boleh menyebabkannya rosak.

Seiring dengan kedatangan musim buah-buahan, masalah lambakan itu juga merisaukan kerajaan kerana bimbang ia akan menjejaskan industri tersebut dan mengikis keyakinan orang ramai terhadap kualiti produk segar di pasaran.

Agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagaimanapun mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan Gerai Buah-buahan Segar (GBBS) bagi membantu mempromosi hasil dusun tersebut.

Berdasarkan laman web agensi tersebut, GBBS merupakan salah satu daripada program pembangunan usahawan di bawah bimbingan FAMA.

Ia merupakan rangkaian gerai jualan buah-buahan milik usahawan sedia ada di seluruh negara yang telah dipilih untuk ditambah baik dengan imej yang seragam dan susun atur yang kemas serta menarik.

GBBS diwujudkan sebagai saluran alternatif kepada pengguna mendapatkan buah-buahan yang berkualiti serta sebagai luang kepada usahawan untuk meningkat urus niaga buah-buahan.

Sehingga kini FAMA telah berjaya membangunkan seramai 163 usahawan dengan 326 gerai di seluruh negara.

Selain GBBS, langkah terbaru FAMA ialah dengan menubuhkan kompleks sejuk beku di Jalan Solok Tangkak, Johor bagi mengatasi masalah lambakan yang selalunya melibatkan durian.

Kompleks sejuk beku itu dibina dengan peruntukan khas sebanyak RM480,000 bertujuan mengatasi masalah lambakan dan juga mengeksport durian sejuk beku.

Menurut Pegawai FAMA Daerah Muar/Ledang, Abd. Malek Ramli, pusat tersebut dibuka tahun lalu dengan percubaan menjalankan proses sejuk beku durian dengan menyimpannya selama lapan jam pada suhu -40 darjah Celsius.

Selepas itu buah berkenaan di masukkan ke dalam penyejuk bersuhu -18 darjah Celsius.

Beliau berkata, pihaknya juga memproses isi durian untuk tujuan sama tetapi untuk pasaran tempatan.

Bilik sejuk beku tersebut mampu memuatkan 200 tan metrik durian segar pada satu-satu masa dan 100 tan metrik isi durian.

Beliau berkata, bagi sebiji durian ia mampu menghasilkan 10 peratus isi dan ia dikeluarkan daripada biji secara manual dan menggunakan alat pelerai khas yang diperoleh daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

‘‘Kita telah mengeksport 100 tan metrik durian sejuk beku ke Australia pada Julai lalu, ‘’ ujarnya kepada Mega.

Kualiti durian yang dihasilkan daripada proses sejuk beku itu katanya, tidak berubah melainkan warnanya sedikit kekuningan.

Setakat ini katanya, durian segar diperoleh di sekitar Muar dan ada juga yang datang dari Jerantut, Pahang.

Usaha tersebut meskipun masih di peringkat awal tetapi berjaya membuktikan bahawa durian yang disejuk beku tanpa dikopek juga masih berkualiti.

Pada masa sama, masalah lambakan jika berlaku pada masa akan datang, boleh ditangani.

Kadangkala, buah segar juga dihantar ke pusat tersebut untuk disejuk beku jika ia tidak dipasarkan kerana harganya terlalu rendah.

‘‘Kita terima buah segar setiap musim buah yang hebat (tahun lalu) tetapi pada tahun ini jumlah pengeluaran agak sederhana,” ujarnya.

Ketika ini pihaknya juga dalam dalam proses percubaan untuk menghasilkan buah cempedak sejuk beku supaya kompleks tersebut dapat dimanfaatkan ke tahap maksimum. - LAUPA JUNUS

Penyelidikan biofuel dari bahan buangan


PROSES janakuasa menggunakan bahan api seperti petroleum dan gas asli sememangnya telah dilaksanakan secara meluas di seluruh dunia.

Namun, operasi penjanaan kuasa itu mungkin akan terganggu jika bekalan kedua-dua bahan tersebut habis dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Bagi mencari alternatif kepada sumber tenaga berkenaan, banyak pihak telah tampil menjalankan kajian dan penyelidikan supaya pergantungan terhadap bahan tersebut dapat dikurangkan.

Sumber alternatif seperti air, hidrogen, elektrik, nuklear dan sisa buangan pertanian merupakan antara bahan yang dikenalpasti berpotensi untuk diperluaskan penggunaannya.

Universiti Putra Malaysia (UPM) misalnya menjalankan kajian terhadap bahan buangan buah kelapa sawit sebagai sumber biofuel dan biomaterial.

Untuk pembangunan projek tersebut, UPM telah bekerjasama dengan dua buah organisasi dari Jepun iaitu Institut Kemajuan Industri Sains Dan Teknologi Jepun (AIST) dan Institut Teknologi Jepun (KIT).

Menurut Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha Raja Abdullah, usahasama antarabangsa tersebut bakal dilaksanakan secara intensif menggunakan kaedah bioteknologi untuk dimanfaatkan secara bersama di Malaysia, Jepun dan juga negara-negara serantau.

“Kerjasama ini akan melibatkan teknologi, kepakaran dan nasihat yang akan dibekalkan oleh kedua-dua organisasi itu sementara UPM membekalkan sumber bahan mentah.

“Usaha yang dilaksanakan ini secara tidak langsung dapat memenuhi hasrat kerajaan yang mahukan universiti mewujudkan hubungan baik dengan industri,’’ katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama AIST dan KIT di UPM baru-baru ini.

AIST diwakili oleh Pengarahnya, Dr. Kozo Uto, manakala KIT diwakili oleh Presidennya, Dr. Teruo Shimomura.

Pada majlis itu, ketika-tiga wakil tersebut turut merasmikan Pusat Penyelidikan Teknologi AIST-UPM-KIT yang di bangunan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia Sdn. Bhd. (MTDC) di UPM.

Pembanguan penyelidikan itu dikatakan mempunyai potensi besar untuk diperkembangkan kerana hampir 80 peratus biomas terkandung di dalam sebiji buah sawit manakala 20 peratus lagi adalah minyak sawit asli.

Pasukan penyelidikan dan pembangunan projek tersebut akan diketuai oleh Prof. Mohd. Ali Hassan dari UPM, Prof. Yoshito Shirai dari KIT dan Dr. Kinya Sakanishi dari AIST.

Program selama lima tahun berkenaan turut melibatkan pertukaran pensyarah serta dua orang pelajar siswazah dari UPM dan juga KIT.

KIT merupakan sebuah institusi pendidikan di Jepun yang memberi fokus kepada pembangunan teknologi penyelidikan berkaitan biomas.

UPM bersama KIT sebenarnya telah menjalankan kerjasama sejak tahun 2002 melalui penyelidikan industri tenaga berasaskan minyak kelapa sawit.

Projek tersebut kini telah berjaya dan telah dilesenkan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk dikomersialkan.

Tepung biji cempedak



Biji cempedak yang biasanya dibuang kini menjadi kandungan berkhasiat dalam pembuatan pasta.


Cempedak atau nama saintifik Artocarpus integer merupakan tanaman yang biasa di kawasan Asia Tenggara. Biasanya hanya isi cempedak yang manis dan berserat dimakan, sama ada secara mentah atau digoreng.

Cempedak dikatakan mempunyai keasidan paling rendah di antara ahli keluarga Moraceae.

Rasanya yang manis ditambah dengan serat dan kandungan nutrien tinggi dan memberikan pilihan kepada penyediaan pasta herba yang bebas gluten bagi pasaran global.

Tepung bijirin bebas gluten diperbuat daripada biji cempedak dan diperisakan dengan daun selasih.

Pengguna biasanya menggunakan tepung daripada gandum atau beras tetapi tidak banyak yang diketahui mengenai tepung yang dihasilkan daripada biji cempedak.

Penghasilan tepung biji cempedak akan dapat mengurangkan pencemaran memandangkan bahan ini biasanya dibuangkan begitu saja tanpa nilai.

Bagaimanapun kajian menunjukkan biji cempedak boleh dijadikan pasta dan sesuai bagi mereka yang ada alahan dengan penyakit celiac.

Biji cempedak tidak mempunyai gluten dan sebanyak satu peratus populasi manusia tidak boleh mengambil gluten.

Biasanya biji cempedak akan dibuang begitu saja dan menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendapati biji cempedak mempunyai kandungan nutrien yang tinggi berbanding isi cempedak.

Menurut pensyarah kesihatan awam dan keselamatan makanan, dari Fakulti Hotel dan Pengurusan Pelancongan, UiTM, Prof. Datin Toh Poh See, kajian yang dijalankan menunjukkan biji cempedak boleh digunakan untuk menghasilkan tepung bagi membuat pasta yang lebih enak dan ini boleh menyumbang kepada ekonomi negara.

“Tepung bagi menghasilkan pasta saja mendapat pasaran di dalam negara tetapi juga boleh dikembangkan ke luar negara terutama di Asia Tenggara memandangkan masing-masing mempunyai sumber yang sama.

“Sebelum ini tepung biji cempedak telah dijadikan roti tetapi kini dijadikan pasta yang berkhasiat,” katanya semasa ditemui semasa Pameran BioMalaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, menambah pasta biji cempedak amat sesuai bagi menggantikan bijirin dan mereka yang mengalami masalah alergi kepada gluten.

Tepung biji cempedak bukan saja boleh berkhasiat tetapi boleh membantu dalam menangani masalah pencemaran.

eknologi EM bisnes anak Felda



Baja cecair yang mula mendapat sambutan ini amat sesuai bagi petani yang mementingkan perladangan organik.


Mencari sesuatu yang bermakna dalam hidup merupakan impian semua orang, meskipun adakalanya terpaksa mengharungi liku-liku cabaran yang menghampiri puncak putus asa.

Mengubah nasib perlu dilakukan dengan pelbagai cara, namun tidak semua mampu melakukannya dalam masa singkat, manakala kegigihan, masa dan sedikit nasib atau tuah mungkin boleh membantu.

Senario itu barangkali sesuai untuk menceritakan bagaimana seorang anak warga Felda, Azmi Sahar yang berjaya memajukan syarikatnya, Bio Vision Resources yang mengedarkan produk penggalak tanaman berdasarkan teknologi mikroorganisme berguna (EM).

Syarikat yang beroperasi di Kota Tinggi, Johor ini menjadi platform bagi Azmi membuktikan bagaimana anak Felda sepertinya ingin menyumbang dan membuat jasa kepada program tanah rancangan tempatnya membesar.

Azmi diperkenalkan kepada produk tersebut semasa sedang mencongak apakah yang beliau boleh lakukan untuk Felda Bukit Aping Timur, Kota Tinggi, kira-kira tiga tahun lalu.

Produk baja cecair itu diperkenalkan kepadanya oleh seorang rakan dan beliau pula mencadangkan penggunaannya kepada seorang rakan lain.

“Saya mulanya tidak tahu apakah usaha untuk menambah pendapatan tetapi apabila diperkenalkan dengan baja ini, segala kepayahan terpaksa diharungi untuk memperkenalkannya kepada orang lain.

“Ini termasuk mempromosikannya dari rumah ke rumah dan ramai memberi kata-kata sinis bahawa, mereka (pengguna) telah banyak mencuba baja seumpamanya tetapi tidak berhasil,’’ ujar beliau ketika ditemui di Sekinchan, Selangor, baru-baru ini.

Beliau berkata, baja cecair tersebut menggunakan bakteria asid laktik dengan campuran yis atau ragi dan sejenis bakteria lain yang masing-masing mempunyai peranan untuk tumbesar tumbuhan.

Teknologi baja EM diperkenalkan oleh seorang profesor dari Kolej Pertanian University of Ryukyus, Jepun, Dr . Teruo Higa yang menekankan ciri-ciri pertanian organik.

Antara ciri kebaikan teknologi tersebut, ialah menggalakkan pertumbuhan, pembesaran, penghasilan dan kemasakan buah.

Teknologi baja seumpama itu juga mampu meningkatkan kapasiti fotosintesis pokok, menambah kebolehan bahan organik sebagai baja, meningkatkan ketahanan tumbuhan terhadap penyakit, memperbaiki keadaan fizikal tanah.

Menurut Azmi, sebagai permulaan ketika itu, baja berkenaan digunakan pada kelapa sawit dan juga tanaman sayuran.

Selepas mendapat maklum balas positif, beliau melangkah setapak lagi apabila menjadi pengedar kecil-kecilan dan bagi mencapai matlamat itu, Azmi membuat pelaburan awal RM5,000.

Hasratnya ketika itu ialah, menjadi anak Felda seakan tidak bermakna apa-apa tanpa membuat sumbangan.

Maka, dengan menjadikan baja sebagai bahan produk perniagaan, Azmi berpendapat, ia kenapa pada masa dan tempatnya.

Apatah lagi dengan kelulusan hingga setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Azmi perlu mengerah tulang empat keratnya dengan keringat dan satu ketika, air matanya tertumpah mengenangkan saat-saat kepayahan membuat promosi.

Namun, bagi membuktikan generasi kedua Felda sepertinya mampu berjaya, segalanya diharungi dengan tabah.

Dalam tempoh beberapa bulan, beliau mampu memperoleh kira-kira 500 pengguna di sekitar Perak dan Selangor yang kebanyakannya pekebun kecil sawit.

Selain itu, terdapat kalangan pengguna produk tersebut merupakan penanam-penanam sayur dan buah-buahan.

Jenis tanaman yang sesuai untuk menggunakan baja tersebut termasuk tanaman komoditi, buah-buahan seperti betik, rambutan, jambu, lima buah naga dan pisang.

Beliau juga mengesyorkannya untuk tanaman lain seeperti tomato, tembikai dan semua sayuran berdaun, bunga serta padi.

Menurut salah seorang pengguna dari Sekinchan , Mohd. Salim Kaim, 59, beliau telah mencuba baja organik tersebut sejak beberapa bulan lepas ke atas pokok pisang dan kunyit di halaman rumahnya.

“Saya dapati ada perbezaan apabila melihat pokok pisang tersebut iaitu tandannya semakin panjang dan pokok lebih tinggi,’’ katanya

Seorang lagi pengguna, Azman Sahudin,44, dari Sungai Manik, Perak mencuba baja tersebut pada pokok kelapa dan mendapati ia sudah berbuah walaupun sebelum ini tidak ada tanda-tanda akan mengeluarkan hasil.

Dengan maklum balas positif itu, Azmi semakin yakin, beliau mampu menjadikannya baja tersebut sebagai produk yang boleh dibanggakan.

Malah , beliau bercadang meningkatkan jaringan pemasaran dengan membuka lebih banyak outlet yang pada masa ini terdapat di Keratong, Kerteh, Jeli, Seremban dan Sekinchan selain di Kota Tinggi.

Beliau juga telah menghantar sampel ke Kalimantan, Indonesia untuk dicuba oleh pengguna di sana.

Lebih penting bagi bapa kepada lima anak ini, beliau berharap akan dapat mempromosikan baja tersebut di kalangan peneroka Felda dengan bantuan dan sokongan daripada pengurusan syarikat tanah rancangan itu.

Bagaiamanapun, beliau perlu meningkatkan pengeluaran dari 30 tan sebulan kepada sekurang-kurangnya 80 tan sebulan untuk mencapai sasaran tersebut.

Azmi juga akan menjalankan kajian lanjut mengenai kemungkinan baja tersebut dikeluarkan dalam bentuk serbuk.

Pada masa sama, produk tersebut yang telah pun menjalani analisis di Loji Pepandu Kejuruteraan Kimia (CEPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) boleh membantu sektor pertanian ke arah lebih sihat dan mesra alam.

Ketika ini baja tersebut dikeluarkan dalam bentuk cecair isipadu satu liter berharga RM200 sebotol dan 10 liter berharga RM200.

Beliau bertuah kerana dengan moto ingin Membasahkan Bumi Malaysia dengan Baja Organik itu, Azmi mendapat sokongan daripada pekerjanya di semua peringkat termasuk menjualnya dari rumah ke rumah.

Mereka yang berminat boleh menghubungi 07-8838251 atau 017-7566550 atau emel di contact@biovisionresources.com

UPNM bakal tubuh 2 fakulti baru 2012


KUALA LUMPUR 25 Nov. - Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) merancang menubuhkan Fakulti Perubatan Ketenteraan dan Fakulti Penerbangan dan Sains Angkasa menjelang 2012.

Naib Canselornya, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin berkata, perkara itu telah dipersetujui di peringkat lembaga universiti dan akan dibentangkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedikit masa lagi.

Beliau memberitahu, penubuhan fakulti itu selari dengan pengiktirafan UPNM sebagai Universiti Fokus oleh KPT, yang memberi perhatian terhadap perkembangan kepimpinan serta sains ketenteraan dan pertahanan.

Katanya, penubuhan dua fakulti itu antara lain dapat merancakkan lagi pembangunan pengetahuan dalam bidang perubatan penerbangan di negara ini.

''Selain itu, para pelajar yang meminati jurusan itu berupaya mempelajarinya dalam negara dan ini adalah lebih mudah dan ekonomi," katanya pada sidang akhbar bersempena upacara Perbarisan Diraja dan Pentauliahan Pegawai Kadet UPNM yang akan diadakan pada 4 Disember depan.

Menurutnya, walaupun universiti itu memfokuskan kepada bidang ketenteraan dan pertahanan, namun ia turut menerima 20 peratus pelajar awam dalam setiap sesi pengambilannya.

Katanya, perkara itu selari dengan penubuhan UPNM yang diwartakan di bawah Akta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sejak 2006.

Zulkifli daripada perkhidmatan Tentera Darat merupakan Naib Canselor UPNM berkuat kuasa 1 September lalu menggantikan Leftenan Jeneral Datuk Ismail Samion daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

205 terima biasiswa Maybank



penerima anugerah biasiswa tajaan Maybank bersama Mohamed Basir (tengah) di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 1 Dis. - Malayan Banking Bhd. (Maybank) memperuntukkan biasiswa RM1.8 juta untuk 205 mahasiswa tahun ini.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Mohamed Basir Ahmad berkata, daripada jumlah itu, 54 mahasiswa adalah penerima baru.

Menurutnya, 151 mahasiswa lain adalah penerima biasiswa yang sedia ada dan sedang menuntut pada tahun kedua dan akhir di beberapa universiti tempatan.

''Setiap mahasiswa akan menerima RM7,000 dan satu komputer riba jenis Dell berharga RM4,000,'' katanya semasa berucap pada majlis penyampaian biasiswa Maybank sebelum menyampaikan anugerah biasiswa di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Sumber Manusia Kumpulan Maybank, Nora Abd. Manaf dan ibu bapa mahasiswa tersebut.

Dalam majlis yang sama, enam siswazah yang juga pemegang biasiswa Maybank dan mendapat kelas satu turut menerima anugerah khas.

Mohamed Basir berkata, walaupun Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sekurang-kurang 3.50 menjadi syarat utama permohonan biasiswa, pihak bank menerima lebih daripada 1,300 pemohon.

''Di Maybank, penerima biasiswa diberi peluang untuk mengembangkan kerjaya mereka hasil inisiatif Jabatan Sumber Manusia bank.

''Kami juga melaburkan sejumlah RM56.1 juta untuk program latihan semata-mata,'' katanya.

Sementara itu, Nora memberitahu, semua penerima biasiswa dipilih daripada pelbagai disiplin termasuk sains, kejuruteraan, undang-undang dan sastera.

Menurut beliau, kepelbagaian disiplin itu akan memperkayakan sumber manusia bank itu kelak.

Anugerah Biasiswa Maybank diwujudkan pada 1972 dan setakat ini, lebih 1,000 siswazah mendapat manfaat daripada biasiswa itu.

5,000 siswazah dipilih ikuti SME-University Internship



Muhyiddin Yassin dan Mohamed Khaled Nordin menyaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan (kiri) dan Ketua Eksekutif Smidec Datuk Hapsah Hashim (kanan) bertukar-tukar dokumen perjanjian di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 1 Dis. - Seramai 5,000 siswazah dari 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan dipilih menyertai program latihan keusahawanan di lebih 1,200 buah industri kecil dan sederhana (IKS) seluruh negara yang akan bermula tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, para siswazah yang dipilih daripada semua bidang pengajian di universiti itu akan menjalani latihan selama tiga hingga enam bulan.

''Berbeza dengan program latihan keusahawanan yang lain, di bawah program yang dikenali sebagai SME-University Internship ini, empat hingga lima orang siswazah ditempatkan di setiap IKS untuk menjalani latihan.

''Selain menjalani latihan bagi melengkapi diri mereka dengan kemahiran dan pengalaman berkaitan keusahawanan, mereka juga dapat bertindak sebagai perunding yang boleh membantu IKS terbabit mengembangkan perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan Perbadanan Pembangunan IKS (Smidec) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mohamed Khaled memberitahu, program itu juga akan menitikberatkan soal membudayakan keusahawanan sebagai satu kerjaya pilihan di kalangan siswazah.

''Berdasarkan statistik Kajian Pengesanan Graduan 2006, daripada 108,275 lepasan universiti yang dilahirkan, hanya 5.4 peratus sahaja yang menceburi bidang keusahawanan.

''Melalui program latihan sedemikian, siswazah terbabit bukan hanya dapat mempelajari konsep perniagaan secara praktikal tetapi juga mengenal pasti cabaran serta cara untuk mengatasinya," katanya.

Sementara itu pada sidang akhbar yang sama, Muhyiddin berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memperuntukkan RM3 juta untuk program latihan keusahawanan itu.

''Peruntukan itu meliputi elaun makanan, pengangkutan dan keperluan-keperluan lain yang difikirkan perlu bagi memastikan program itu berjalan lancar," katanya.

UIAM korporatkan bakal siswazah



Dekan Kuliyyah Ekonomi & Sains Pengurusan UIAM, Prof. Dr. Mansor H. Ibrahim (kiri) bertukar dokumen dengan Mohd. Najib Abdullah (kanan) sambil diperhatikan oleh Pengerusi MIDF, Tan Sri Mahmood Taib (dua dari kanan) dan Dr. Syed Arabi Aidid di UIAM, Gombak, baru-baru ini.


UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kini tampil sebagai institusi pengajian tinggi kedua tempatan dalam usaha Kumpulan Industri Pembangunan Kewangan Malaysia (MIDF) 'mengkorporatkan' bakal siswazah dalam kerjaya profesional di sektor kewangan global.

Seramai 20 mahasiswa tahun akhir yang cemerlang dalam bidang berkaitan di UIAM akan dipilih oleh MIDF untuk berkhidmat dalam program berkonsep 'berkhidmat sambil belajar' di syarikat berkenaan.

Proses pemilihan 'mengkorporatkan' bakal siswazah itu dibuat melalui kerjasama yang dimeterai pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UIA-MIDF baru-baru ini.

Rektor UIA, Prof. Datuk Dr. Syed Arabi Aidid yang mengalu-alukan langkah MIDF itu, menyifatkan usaha tersebut adalah strategi paling ideal dan berkesan dalam mencerna sumber kepakaran manusia akan datang.

Malah kata beliau, program seumpama itu tidak hanya baik untuk pelajar malah sesuai serta wajar diperluaskan di kalangan petugas ahli akademik di universiti.

"Sebenarnya kalangan petugas ahli akademik sendiri turut memerlukan latihan praktikal melalui 'berkhidmat sambil belajar' dengan agensi berkaitan sebegini untuk pendedahan terus dengan permasalahan semasa secara realiti," katanya.

Dengan cara tersebut tambah Dr. Syed Arabi, proses pengajaran, pembelajaran serta penyelidikan para pensyarah dalam melaksanakan tugas mengembangkan keilmuan akan lebih berkesan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Mohd. Najib Abdullah pula berkata, apa yang diusahakan pihaknya selain memenuhi aktiviti sosial syarikat, turut berperanan untuk membantu menjana bakal siswazah yang berskil dan benar-benar profesional apabila memasuki pasaran pekerjaan.

Menurutnya, melalui program tersebut, mahasiswa tahun akhir yang terpilih akan mengalas tugas dan tanggungjawab sebagaimana petugas tetap di MIDF.

"Mereka akan dibayar gaji dan berkhidmat mengikut masa sebagaimana pekerja tetap malah akan berpeluang untuk terus diserap sebagai anggota MIDF jika mereka menunjukkan prestasi baik dan berminat," jelasnya.

Sebelum ini MIDF menjalin kerjasama dengan Universiti Multimedia Malaysia (UMM) melalui penyediaan 20 kuota untuk pelajar tahun akhir yang mendapat keputusan cemerlang berkhidmat sambil belajar di agensi berkenaan.

Melalui program dan usaha menyerapkan mahasiswa di tahun akhir sebagai petugas sepenuh masa itu kata Mohd. Najib, MIDF yakin dapat dapat membantu kerajaan melahirkan pekerja kewangan yang profesional di masa akan datang.

Malah tambah beliau, ia akan membantu mengurangkan masalah pengangguran di kalangan siswazah apabila mereka menamatkan pengajian masing-masing.

RM50 juta untuk GSM-UPM, GSB-UKM



Mohamed Khaled Nordin (dua dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Prof. Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabuddin (kanan) dari UKM selepas mengumumkan sekolah perniagaan utama di Malaysia dan melancarkan Kolokium Perniagaan Antarabangsa Pasca Siswazah 2008 di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 2 Dis. - Kerajaan memperuntukkan RM50 juta kepada Sekolah Pengurusan Siswazah (GSM) Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sekolah Perniagaan Siswazah (GSB) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk bersaing lebih cemerlang di peringkat global.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan itu diberikan sejurus kedua-dua sekolah terbabit diiktiraf sebagai sekolah perniagaan utama di negara ini.

Katanya, sebanyak RM25 juta diberikan kepada setiap sekolah terbabit iaitu RM13.5 juta diperuntukkan bagi tujuan pembangunan infrastruktur manakala RM11.5 juta lagi bagi pembangunan insan.

''Kedua-dua sekolah tersebut dipilih berdasarkan pencapaian kualiti kakitangan akademik, kajian pendidikan dan pembelajaran serta kualiti pasca siswazah.

''Selain inovasi pendidikan, hubungan akrab antara universiti tempatan dan antarabangsa serta konsep pembelajaran autonomi turut menjadi kriteria pemilihan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan Sekolah Perniagaan Utama di Malaysia seterusnya merasmikan Kolokium Perniagaan Antarabangsa Pasca Siswazah di sini hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, sembilan daripada 11 fakulti perniagaan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menawarkan program pengajian peringkat sarjana yang diyakini dapat mencapai standard antarabangsa.

''Kita harap pengiktirafan ini dijadikan penanda aras oleh IPTA lain untuk berusaha mencapai program pengajian yang kompetitif dan relevan bukan sahaja untuk pasaran negara tetapi melangkaui pasaran guna tenaga antarabangsa," katanya.

Status GSM-UPM dan GSB UKM sebagai sekolah perniagaan utama akan terus diiktiraf dan seterusnya berusaha mencapai penghormatan standard akreditasi.

''Kita akan memberi peluang kepada universiti lain untuk cuba mentransformasi sistem pendidikan mereka dalam usaha mengukuhkan pengajian tinggi negara," katanya.

Pensyarah UPM menang anugerah penyelidik


KUALA LUMPUR 5 Dis. - Profesor Taufiq Yap Yun Hin dari Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Penyelidik Muda MASS 2008 daripada Persatuan Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia.

Anugerah tersebut disampaikan kepada Taufiq baru-baru ini bersempena Persidangan Serantau Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal ke-24 yang diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, anugerah tersebut hanya diberikan kepada penyelidik yang menjalankan penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi keadaan pepejal.

"Penyelidikan saya adalah berasaskan kepada pemangkin mengunakan vanadium fosforus oksida (VPO) sebagai mangkin untuk tindakbalas hidrokarbon kepada bahan petrokimia yang lebih berguna.

"Mangkin ini telah berjaya disintesis dan diubahsuaikan sehingga mendapat aktiviti dan pemilihan pemangkin yang tinggi," katanya.

Beliau yang juga penyelaras, Pusat Kecemerlangan Sains dan Teknologi Katalisis, Fakulti Sains telah berjaya memfailkan dua paten untuk teknologi penghasilan mangkin.

Beliau menjelaskan, kaedah tersebut dapat mengurangkan penggunaan larutan organik dan bahan sisa buangan serta penghasilan mangkin VPO dalam struktur nanopartikel yang dapat meningkatkan keberkesanan mangkin.

Selain itu, beliau juga menjalankan kajian fotodegradasi ke atas bahan toksik organik dengan menggunakan titanium oksida dan penghasilan bahan aktif karbon daripada bahan buangan pertanian

Anugerah tersebut disampaikan kepada beliau oleh Exco Kerajaan Negeri Sembilan yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Shamshulkahar Mohd. Deli.

Taufiq turut menerima wang tunai berjumlah RM1,000 dan sijil penghargaan.

UniMAP sasar graduan kejuruteraan pelbagai kemahiran


KUALA LUMPUR 5 Dis. - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyasarkan untuk menjadi pelopor bagi melahirkan siswazah kejuruteraan yang memiliki pelbagai kemahiran khususnya dalam bidang sains sosial.

Naib Canselor UniMAP, Brigedier Jeneral Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, kemanusiaan serta sains sosial memainkan peranan penting dalam bidang kejuruteraan dan pendidikan teknikal khususnya dalam era globalisasi.

''Dalam era globalisasi ini, siswazah kejuruteraan bukan sahaja perlu berkemahiran di dalam bidang yang mereka ceburi, tetapi turut dituntut untuk menguruskan tugas-tugas yang berkaitan dengan polisi dan juga pengurusan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Peranan Kemanusiaan dan Sains Sosial Dalam Kejuruteraan 2008 di sini hari ini.

Menurut Dr. Kamarudin, semua tanggungjawab tersebut amat memerlukan pengetahuan yang bukan sekadar bertumpu kepada bidang kejuruteraan dan kemahiran semata-mata.

Ajar Sains, Matematik dalam BM – Rahman


KUCHING 12 Nov. – Tun Abdul Rahman Yaakob berkata kedudukan Bahasa Malaysia (BM) akan terus terpinggir sekiranya subjek Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris (BI).

Bekas Menteri Pelajaran itu yang bertanggungjawab melaksanakan sistem pendidikan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada tahun 1970, berkata Bahasa Malaysia patut dikembalikan menjadi bahasa pengantar bagi meningkatkan peranan bahasa tersebut dalam sistem pendidikan negara.

“BM akan dipinggirkan, tak patut jika (pengajaran dalam BI) diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Wacana Ilmu: Pembangunan Pendidikan Di Sarawak, hari ini.

Abdul Rahman berkata, isu yang membabitkan pendidikan negara perlu diserahkan kepada pakar pendidikan untuk merancang sementara tugas ahli politik adalah menerima segala cadangan sebelum sesuatu dasar pendidikan diperkenal dan dilaksanakan.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak dari 1970 hingga 1981 dan Yang Dipertua Negeri Sarawak selama lima tahun bermula 1981, berkata sekiranya sesuatu keputusan berkaitan sistem pendidikan negara dibuat oleh golongan bukan benar-benar pakar dalam bidang tersebut, ia mungkin gagal mencapai objektif yang dikehendaki.

Semasa ceramahnya yang dianjurkan Institut Aminudin Baki, Abdul Rahman berkata, tindakan menggunakan BI merupakan tindakan mundur ke belakang dan bukan ke depan.

Tanah runtuh: 4 terbunuh, http://www.blogger.com/img/blank.gif14 banglo tertimbus



KUALA LUMPUR, 6 Dis (Hrkh) - Empat terbunuh, 15 cedera manakala lapan dikhuatiri terperangkap setelah 14 buah rumah banglo tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa di sini awal pagi ini.

Iklan

Kejadian dipercayai berlaku pukul 4 pagi ketika penghuni sedang tidur apabila lereng bukit kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian runtuh tiba-tiba.

Antara yang terbunuh adalah seorang ibu,30 dan anaknya berusia dua bulan dan pembantu rumah mereka.

Ketua Polis Selangor, Dato' Khalid Abu Bakar berkata mayat mereka telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira pukul 6 pagi untuk bedah siasat.

Menurutnya, setakat ini seramai 93 mangsa telah diselamatkan dan ditempatkan di Surau Addinniah Jalan Bukit Antarabangsa.

Katanya, operasi yang disertai kira-kira lebih 160 anggota penyelamat masih diteruskan untuk mengeluarkan lapan lagi mangsa yang terperangkap.

Tambahnya, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan Jalan Wangsa 9 sebagai jalan alternatif kerana jalan utama ke kawasan tersebut tidak boleh dilalui.

Mangsa yang terkorban dan cedera telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut Bernama, mangsa yang cedera telah diberikan bantuan awal di Surau Addiniah sebelum dibawa ke hospital dan sekurang-kurangnya 12 ambulan telah kelihatan di kawasan tersebut.

Seramai 160 orang terlibat dalam gerakan menyelamat yang meliputi pihak polis, MPAJ dan pasukan perubatan.

Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali yang ditemui di lokasi kejadian memaklumkan bahawa pergerakan tanah masih berlaku di kawasan tersebut dan bekalan elektrik di sekitar kawasan tersebut telah terganggu. - mks._

Sebelum Shah Rukh Khan jejaki bumi Melaka




Esok (Sabtu, 6 Disember), bintang Bollywood, Shah Rukh Khan akan menjejak dan menggemparkan bumi Melaka. Beliau bakal bergelar Dato' atau Dato' Wira atau Dato' Kehormat Shah Rukh Khan. Selepas ini maka terkenallah Melaka seantero dunia.



Pelbagai program telah diaturkan untuk Dato' Shah Rukh Khan. Antaranya, seperti diumumkan Setiausah Kerajaan Negeri Melaka, Dato' Wira Omar Kaseh Kaseh dalam kenyataannya sebelum ini seperti dilaporkan Malaysiakini:

"Istiadat penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kepada Shah Rukh akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh pada jam 10 pagi hari berkenaan.

Di majlis itu, Shah Rukh akan berpakaian baju Melayu serba hitam dan bersongkok - satu-satunya artis Bollywood yang diberi penghormatan memakai busana baju kebangsaan yang pasti akan ditonton di seluruh dunia.

Seramai 1,000 orang akan dijemput ke majlis teresbut dan ia terhad kepada jemputan sahaja.

Menurutnya, Shah Rukh akan berada di Melaka selama sehari dan akan melakukan lawatan ke beberapa tempat terkenal di kawasan Melaka bandaraya warisan dunia.

Satu sidang akhbar bersama Shah Rukh dengan Ketua Menteri, Dato' Seri Mohd Ali Rustam pula akan diadakan selepas istiadat penganugerahan iaitu pada jam 12 tengah hari di Dewan Seri Negeri.

Sepanjang sehari di Melaka, Shah Rukh akan melawat Menara Taming Sari, menaiki beca ke jam besar melalui Jalan Quayside, mengunjungi Eye On Malaysia, pentas Jonker Walk dan kemudiannya menaiki buggy hingga ke Padang Nyiru.

Shah Rukh juga akan melawat sekitar Kampung Morten dan kemudiannya akan bertemu peminat di Dataran MBMB (Majlis Bandaran Melaka Bersejarah) pada jam 4.45 petang.

MBMB juga akan mengadakan konsert 'Jom ke Melaka Bandaraya Warisan Dunia' di Dataran MBMB pada 6 Disember sempena meraikan penganugerahan watikah pengisytiharan Melaka sebagai bandaraya warisan dunia di Kuala Lumpur pada 22 November lalu.

Beberapa penyanyi jemputan akan mengadakan persembahan mulai jam 4.30 petang hingga 6.30 petang, antaranya Mila, Salwa Abdul Rahman, Dato' Malek Riduan, Vienda, Zul Eda, Othman Hamzah dan artis-artis lain.

Shah Rukh akan singgah bertemu peminat pada konsert itu kira-kira 30 minit sebelum berlepas ke KLIA untuk pulang ke Mumbai pada jam 8 malam."

Sebagai penulis beragama Islam kelahiran Melaka, saya berasa amat dukacita dan bertanggungjawab untuk mengingatkan diri saya dan rakyat Melaka berhubung sambutan besar-besaran bintang Bollywood ini.

Di sini saya perturunkan apa yang telah diperkatakan dan diajar oleh ustaz-ustaz di masjid sepanjang saya mengikuti kuliah antara Maghrib-Isyak dan kuliah Subuh. Sesetengahnya diajar dalam masjid-masjid di negeri kelahiranku, Melaka negeri Hang Tuah. Jadi kalau nasihat ustaz dann tuan guru di negeri sendiri tidak mahu didengar, mahu dengar cakap siapa?

Wahai saudara-saudaraku, 10 hari pertama bulan Zulhijah adalah saat terbaik untuk mendekati diri kepada Allah SWT. Ketika ini lebih dua juta jemaah sedang berhimpun di Tanah Suci. Pada tanggal 8 Zulhijah (6 Disember), jemaah termasuk lebih 26,000 orang dari Malaysia termasuk orang Melaka akan bertolak ke Arafah.

Pada tanggal 9 Zulhijah (7 Disember), jemaah haji akan wukuf di Arafah. Wukuf adalah rukun haji. Tiada wukuf tiadalah haji. Wukuf atau Hari Arafah adalah sebaik-baik hari untuk seorang Muslim mendekatkan dirinya dengan Allah SWT.

Saiyidatina 'Aisyah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda mafhumnya: "Tidak ada hari yang lebih banyak Allah Taala memerdekaan hamba-Nya daripada api neraka selain daripada Hari Arafah (Hari Wukuf) dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta berfirman apa yang dikehendaki oleh mereka."

Tuan Guru berpesan bersungguh-sungguh; puasalah kamu pada Hari Wukuf kerana ganjarannya sangatlah besar. Jadi puasalah pada hari Ahad ini (7 Disember). Berdoalah banyak-banyak untuk keselamatan ibu bapa, saudara-mara dan kaum kerabat yang kini berada di Tanah Suci. Mereka sedang diuji Allah SWT di Padang Arafah, di Muzdalifah, di Mina dan tatkala melontar Jamrah.

Jadi wahai saudara-saudaraku yang mulia; bagaimana kita boleh tergamak melanggar atau tidak mengikut kata Tuan Guru dengan kita mahu mengagung-agungkan seorang bintang filem, bintang Hindustan ketika umat Islam di Tanah Suci (di Arafah, Muzdalifah dan Mina) yang mungkin ibu bapa atau saudara-mara kita sedang berdoa dan merintih kepada Allah. Antara rintihan mereka: "Ya Allah, Ya Allah selamatkan kami, Ya Allah selamatkan negara kami; Ya Allah Kau selamatkan kaum kerabat kami, Ya Allah Kau selamatkan negeri dan Ya Allah Kau selamatkan kampung halaman kami bahkan ada yang merintih Ya Allah Kau selamatkanlah pemimpin kami! Ya Allah Kau selamatkan kami daripada neraka-Mu.>"

Jadi adakah kita anak-anak jemaah haji yang ditinggalkan di tanah air sanggup berhibur, berpesta, berkonsert sedangkan mak bapak kita sedang melalui ujian paling besar daripada Allah SWT di Tanah Suci? Tahun sebelum ini ratusan jemaah mati dalam rempuhan di Jamrah, adakah kita tidak insaf wahai saudara-saudaraku!

Berkorbanlah wahai saudara-saudaraku. Berkorbanlah untuk meninggalkan maksiat sebelum terlambat. Bumi Aceh sudah menerima bahananya pada 2004 dulu, apakah bumi Melaka atau orang Melaka boleh menghalang jika Allah SWT mahu mendatangkan ujian-Nya?

Insaflah, insaflah, insaflah wahai orang Melaka. Dengar dan turutilah cakap-cakap ustaz dan tuan guru yang mengajar di masjid-masjid di negeri kita itu! Semoga Allah selamatkan bumi Melaka, pemimpin dan rakyatnya! Amin. _