Saturday, September 27, 2008

AI membolehkan mesin berfikir


kepintaran buatan (AI) merupakan kepintaran yang dimiliki oleh mesin yang diwujudkan oleh sistem pengkomputeran dan membolehkan mesin atau robot berfikir sendiri tanpa arahan manusia.

Saintis John McCarthy yang mencipta istilah AI pada 1956 memberikan definasi AI sebagai "sains dan kejuruteraan untuk memintarkan mesin."

Antara perkara yang diharap oleh pengkaji untuk mesin mampu melakukan ialah bertindak mengikut pertimbangan sendiri, berpengetahuan, merancang, belajar, berkomunikasi, mempunyai persepsi dan bergerak sendiri serta memanipulasikan objek.

Penyelidik AI menggunakan pelbagai kaedah dan teknologi untuk melaksanakan mesin-mesin cerdik ini seperti sains komputer, psikologi, falsafah, linguistik, ontologi, penyelidikan operasi, pergudangan data, logistik, pengenalan suara, pengenalan wajah dan pelbagai lagi.

Bagaimanapun, AI menimbulkan isu etika apabila ada yang bertanya jika manusia boleh mencipta mesin yang boleh berfikir, adakah mereka juga akan boleh merasa?

Dan jika ia telah boleh merasa (dan mempunyai perasaan), adakah kita perlu memberikannya hak seperti manusia.

Dalam filem sains fiksyen Artificial Intelligence: A.I. misalnya, satu watak robot seperti seorang budak kecil yang mempunyai kemampuan untuk mempunyai emosi termasuk merasa penderitaan telah dipaparkan.

Robot-robot yang mempunyai AI juga dipaparkan dalam filem-filem lain dengan mempunyai peranan berbeza seperti orang suruhan (R2D2 dalam Star Wars), komrad (Lt. Commander Data dalam Star Trek), peningkatan kemampuan manusia (animasi Ghost in the Shell), penakluk (The Matrix), diktator (With Folded Hands) dan pemusnah Terminator, Battlestar Galactica).

Sejarah penyelidikan AI

l Pertengahan abad ke-20, saintis-saintis memulakan pendekatan baru membina mesin pintar dengan penemuan baru dalam bidang neurologi, teori matematik maklumat, teknologi cybernetik (memahami kawalan dan stabiliti) dan penciptaan komputer digital.

l Penyelidikan AI moden diasaskan pada persidangan di kampus Dartmouth College pada 1956. Mereka yang hadir merupakan pemimpin dalam penyelidikan AI seperti John McCarthy, Marvin Minsky, Allen Newell dan Herbert Simon, yang kemudiannya menubuhkan makmal AI di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Carnegie Mellon University (CMU) dan Stanford University.

l Saintis-saintis itu bersama pelajar mereka menulis program-program yang menakjubkan seperti komputer yang mampu menyelesaikan masalah perkataan dalam algebra, memberikan teori logikal dan mesin bercakap dalam bahasa Inggeris.

l Pada 1965, H. A. Simon berkata: "Dalam masa 20 tahu, mesin akan mampu melakukan apa sahaja yang manusia mampu lakukan."

l Pada 1985, pasaran AI mencecah bilion dollar Amerika Syarikat.

l Pada 1990-an dan awal abad ke-21, AI mencapai kejayaan memberansangkan dengan pengenalan pelbagai mesin dan robot pintar. Kejayaan ini dibantu oleh pelbagai faktor seperti penambahan kuasa komputer, kemampuan menyelesaikan submasalah, penyepaduan AI dengan pelbagai bidang dan komitmen tinggi penyelidikan kaedah matematikal solid dan standard saintifik.

No comments: