Saturday, September 27, 2008

Pembakar lemang mudah alih



'CAWAN' PEMEGANG membenarkan pembakaran LAPAN BATANG LEMANG PADA SATU-SATU MASA.


TIDAK kira di bandar atau di kampung, makanan tradisi masyarakat Melayu sering menjadi hidangan wajib ketika musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Pilihan makanan seperti lemang, ketupat, rendang, serunding dan kuih-muih tradisional pastinya akan menyerikan lagi sambutan lebaran yang disambut setahun sekali.

Apa yang pasti, dengan sambutan menggalakkan daripada masyarakat, menu-menu tersebut bukan sahaja popular ketika musim perayaan, malah ia juga kini boleh diperoleh dengan mudah pada bila-bila masa.

Sebagai contoh, orang ramai masih boleh membeli lemang yang dijual di beberapa tempat tumpuan seperti pusat beli-belah dan juga gerai-gerai di tepi jalan.

Malah, ada juga penguasa-pengusaha makanan ini yang memasak lemang secara terus di gerai-gerai mereka bagi membolehkan pembeli memperolehinya semasa masih panas.

Namun, untuk menyediakan dapur pembakaran lemang, terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira seperti memerlukan kawasan yang luas, perlu mencari bekalan kayu api, memerlukan pemantauan yang kerap serta pengusaha terdedah kepada bahang panas.

Melihat kepada kerumitan tersebut, sekumpulan pelatih dan tenaga pengajar dari Pusat Giat Mara Petaling Jaya Utara telah berjaya menghasilkan dapur pembakaran lemang mudah alih yang menggunakan tenaga elektrik.

Usaha tersebut harus dipuji kerana selain memudahkan proses membakar lemang, penggunaan dapur tersebut juga adalah lebih bersih, cepat, menjimatkan kos dan yang istimewa, ia menepati cita rasa terkini.

Ia juga secara tidak langsung dapat memberikan suasana pembakaran yang lebih rileks, tanpa kayu api, tidak menghasilkan bahan pencemar seperti asap dan juga tiada pendedahan kepada bahang panas.

Lebih menarik, di kawasan yang tidak terlalu luas sekalipun, lemang masih boleh dibakar bagi memenuhi permintaan pelanggan dan hasilnya tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan kaedah membakar konvensional.

Alat yang dinamakan Mesin Lemang Toaster itu mula direka pada tahun 2004 oleh sekumpulan pereka yang terdiri daripada empat orang pelatih dan seorang tenaga pengajar di pusat berkenaan.

Menurut ketua projeknya, Jameran Panot, rekaan mesin tersebut disasarkan untuk membantu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dan juga suri rumah dalam menghasilkan produk serbaguna berasaskan makanan panggang.

"Mesin ini juga boleh digunakan untuk menghasilkan juadah makanan bagi tujuan kenduri atau majlis-majlis tertentu.

"Kita juga menyasarkan penggunaan mesin ini oleh hotel-hotel untuk menjalankan pembakaran lemang secara terus di hadapan tetamu mereka,'' katanya ketika di temui di Pusat Giat Mara Petaling Jaya Utara, baru-baru ini.

Mesin tersebut mampu membakar sebanyak lapan batang lemang pada satu-satu masa kerana ia mempunyai lapan 'cawan' pemegang yang akan menyokong batang buluh secara menegak.

Masa yang diambil untuk membakar pula adalah lebih singkat iaitu hanya satu jam berbanding empat jam jika menggunakan cara konvensional.

Asas pembuatan mesin tersebut menggunakan logam tahan karat dan dan tahan haba, dan juga bahan-bahan lain seperti termometer, pemegang nat, kaca tahan panas, motor dan rantai.

Ia juga bersifat mudah alih kerana dilengkapi dengan roda sekeliling agar senang digerakkan dari satu tempat ke satu tempat.

"Kelebihan mesin ini adalah kelapan-lapan pergerakan 'cawan' pemegangnya dijalankan hanya dengan menggunakan satu motor sahaja.

"Ia secara tidak langsung dapat menjimatkan kos penyelenggaraan kerana selain tidak menggunakan peralatan yang kompleks, harga perkakas yang digunakan juga murah dan mudah diperoleh,'' jelasnya.

Mesin tersebut dikendalikan dengan menggunakan tenaga elektrik sama ada arus terus atau arus ulang-alik dan juga gas memasak.

Selain itu, pengguna turut mempunyai pilihan untuk menggunakan kuasa daripada bateri kereta bagi menjalankan operasi pembakaran sekiranya sukar untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Apa yang menarik, mesin itu juga menawarkan mekanisme pergerakan hentakan secara bergilir pada cawan pemegangnya untuk memadatkan kandungan beras pulut di dalam buluh lemang.

Menurut Jameran, teknik pembakarannya juga unik yang mana api dinyalakan secara sekata dengan menggunakan konsep kon iaitu api banyak di bahagian bawah dan sedikit di bahagian atas.

Melalui konsep tersebut, pembakaran dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh kerana lemang akan berpusing mengelilingi api tersebut secara berterusan.

Biasanya, teknik pembakaran dilakukan secara tertutup iaitu dengan menggunakan penghadang khas untuk mengelakkan haba daripada terdedah keluar dan ia secara tidak langsung dapat menjimatkan bahan api.

Beliau memberitahu, bagi memastikan lemang dimasak dengan sempurna, pembakaran mestilah dilakukan pada suhu 200 hingga 250 darjah celsius.

"Setelah beras pulut dan santan dimasukkan ke dalam buluh, ia perlu di susun secara menegak dalam mesin ini.

"Pembakaran selama 45 minit pertama adalah bertujuan untuk proses pengeringan dan 15 minit seterusnya adalah untuk memastikan isinya betul-betul masak,'' katanya.

Menceritakan tentang proses mereka cipta mesin tersebut, Jameran memberitahu, beliau bersama pelatihnya telah melalui tiga peringkat rekaan di mana ia melibatkan pelbagai perubahan dari segi bentuk dan bahan asas yang digunakan.

Dalam tempoh empat tahun ini, projek tersebut telah menyertai banyak pameran dan pertandingan inovasi serta memenangi pelbagai anugerah di peringkat negeri dan kebangsaan.

Untuk tujuan pengkomersialan pula, pihak Pusat Giat Mara sedang dalam proses mempatenkan projek tersebut bersama Sirim Berhad agar ia dapat dipasarkan secepat mungkin.

Selain itu, pihak Pusat Giat Mara juga bercadang untuk memperluaskan penggunaan mesin tersebut secara besar-besaran di kalangan pengusaha-pengusaha lemang.

"Kalau ada permintaan, kita mungkin akan mereka bentuk mesin pembakar dengan saiz yang lebih besar tetapi masih mengekalkan konsep pembakaran yang sama,'' jelasnya.

Di samping itu, melalui teknologi mesin berkenaan, sebuah Lemang Kiosk juga akan diwujudkan pada masa akan datang sebagai memberi dimensi baru kepada makanan tradisional itu.

Melalui kiosk tersebut, lemang akan dibakar di hadapan pengunjung dan mereka boleh menikmatinya bersama rendang yang turut disediakan di sana.

"Usaha itu dilihat dapat memberi satu identiti unik makanan Malaysia kepada pelancong luar yang mengunjungi negara kita,'' katanya.

Selain lemang, mesin tersebut juga sebenarnya boleh digunakan untuk memasak makanan seperti ayam panggang, stik, ikan panggang dan juga nasi berlauk di dalam buluh.

Ciri-ciri penting

lAlat yang produktif dan mempunyai kecekapan tinggi.

lBerpotensi untuk dimajukan dari segi fungsinya.

lProduk yang menepati piawai.

lPenutup keselamatannya dilengkapi dengan cermin di bahagian atas untuk memudahkan proses pemantauan.

lMasih menggunakan buluh walaupun menggunakan teknik pembakaran moden.

lRasa yang dihasilkan sama dengan lemang yang dimasak menggunakan teknik pembakaran konvensional.

lBelum terdapat di pasaran.

No comments: