Sunday, November 16, 2008

UTM terima RM30,000 geran Exxon Mobil


JOHOR BAHRU 13 Nov. - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima geran penyelidikan bernilai RM30,000 daripada Exxon Mobil untuk menjalankan kajian mengubah gas sisa api nyala daripada struktur penggalian dan penapisan minyak kepada sumber bahan bakar alternatif.

Penyelidikan tersebut akan dijalankan oleh sekumpulan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber universiti berkenaan dengan diketuai Timbalan Dekannya, Prof. Dr. Nor Aishah Saidina Amin.

Majlis penyerahan geran tersebut berlangsung hari ini dengan pihak Exxon Mobil diwakili Penasihat Kanan Teknikal dan Akademik, Mohamed Kasim.

Menurut Nor Aishah, kajian yang dilaksanakan pihaknya itu akan menggunakan teknologi plasma dan ia dijangka mampu diselesaikan dalam tempoh setahun.

"Gas sisa yang dikeluarkan daripada struktur penggalian dan penapisan mempunyai kandungan karbon monoksida dan hidrogen selain daripada metana.

"Penyelidikan yang dibuat akan mengkaji penukaran sisa berkenaan kepada gas sintesis dan hidrokarbon yang dapat digunakan sebagai sumber bahan bakar alternatif," katanya.

Beliau melahirkan perasaan bangga dengan penganugerahan geran berkenaan oleh Exxon Mobil kepada UTM dan akan berusaha untuk mengenengahkan hasil kajiannya kelak.

Jelasnya, kajian tersebut sebenarnya telah memasuki tahun kedua dan ia sebelum ini telah mendapat pembiayaan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Dalam pada itu, menurut Mohamed Kassim, pihak Exxon Mobil telah memperuntukkan RM150,000 sebagai geran penyelidikan kepada lima universiti di negara ini.

"Program ini telah dimulakan sejak 2006 dan bagi tahun ini, lima universiti terpilih adalah UTM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaya (UM)," katanya.

Beliau berharap insentif yang diberikan dapat menyemarakkan lagi budaya penyelidikan di universiti-universiti tempatan terutamanya dalam bidang minyak dan gas.

No comments: