Sunday, November 16, 2008

Rakyat marah Pakistan mohon bantuan IMF


ISLAMABAD 16 Nov. - Penganalisis dan pemimpin pembangkang hari ini memberi amaran bahawa keputusan Pakistan untuk meminjam sebanyak AS$7.6 bilion (RM26.6 bilion) daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika keganasan militan semakin meningkat boleh membangkitkan kemarahan rakyat.

Para pemimpin Pakistan sebelum ini berharap kedudukan negara ini di barisan hadapan dalam kempen memerangi al-Qaeda dan Taliban akan mendorong masyarakat antarabangsa untuk menghulurkan bantuan bagi menstabilkan ekonominya.

Bagaimanapun dengan ekonomi dunia dalam keadaan gawat, kerajaan terpaksa menagih bantuan IMF selepas sekutu-sekutu rapat seperti Amerika Syarikat (AS), China dan Arab Saudi menolak permintaan Islamabad untuk mendapatkan bantuan dua hala.

Ahli Parlimen pembangkang khuatir IMF akan mengenakan langkah berjimat- cermat yang akan menjejaskan kehidupan rakyat biasa di Pakistan.

Dua pertiga daripada penduduk Pakistan menerima pendapatan sebanyak AS$2 (RM7) sehari.

Namun IMF memberi jaminan, pakej bantuan itu termasuk langkah untuk melindungi golongan miskin daripada pemotongan perbelanjaan.

Seorang jurucakap parti pembangkang utama, Ahsan Iqbal berkata, kerajaan patut mengakui rancangan ekonominya telah gagal.

"Kerajaan perlu segera memberitahu Parlimen bahawa pakej bantuan IMF itu melibatkan banyak syarat," kata Ahsan, yang dipetik oleh akhbar Dawn, hari ini.

Beliau mendakwa kerajaan telah merosakkan imejnya dengan membesarkan Kabinet dan menghantar 200 orang untuk mengiringi Presiden Asif Ali Zardari ke Arab Saudi dalam misi memohon bantuan baru-baru ini sedangkan amalan berjimat-cermat diperlukan pada waktu ini.

Ketua penasihat kewangan Pakistan, Shaukat Tareen semalam berkata, IMF telah meluluskan pakej bantuan itu selepas menyokong rancangan untuk menangani defisit bajet dan perdagangan negara ini.

No comments: