Sunday, November 16, 2008

UPM raih tiga pingat di IENA 2008


SERdANG Tiga penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya meraih tiga pingat iaitu dua emas dan satu gangsa pada Pameran Antarabangsa Idea-Ciptaan-Produk Baru (IENA) 2008 yang diadakan di Nuremberg, Jerman baru-baru ini.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Siswazah) Fakulti Kejuruteraan, Prof. Ir. Dr. Norman Mariun mendapat pingat emas menerusi produk penyelidikan yang bertajuk Ohmic Heated Pasteurizer.

Produk tersebut direka cipta untuk pempasteuran bahan makanan cecair tanpa menggunakan alat penukar haba dan dandang.

Beliau berkata, penghasilan produk hanya memerlukan kos yang murah, mudah dikendalikan serta menghasilkan produk yang lebih bermutu selain menjimatkan penggunaan tenaga.

Sementara itu, Prof. Dr. Suhaila Mohamed memenangi pingat emas melalui produk penyelidikan CardioMate-Functional Food Seasoning for Cardiovascular Health.

"Produk yang dihasilkan ini berkesan membantu memulihkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, atherosklerosis (kerosakan pembuluh darah), kegemukan, penyakit ginjal serta masalah berkaitan dan membantu melawan beberapa jenis kanser dalam kajian pada haiwan," katanya.

Suhaila menambah, ia juga dapat memelihara organ-organ dalaman dan mengurangkan tekanan oksidatif selain mengurangkan kadar kematian pada haiwan-haiwan tersebut.

Pingat gangsa pula dimenangi oleh Dr. Alyani Ismail dengan produk Compact Butterfly-shaped Ultra-Wide Band Microwave Filter.

Sebanyak tujuh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan satu institut penyelidikan dari Malaysia telah menyertai pameran tersebut dan lebih separuh daripadanya memenangi pingat.

No comments: