Sunday, November 16, 2008

Bekas ahli al-Arqam terbit video mayat'


Oleh Anwar Hussin
anwarhussin@bharian.com.my

Sajak Kematian didakwa propaganda ajaran Aurat Muhammadiah

KUALA LUMPUR: Klip video Sajak Kematian yang ditayangkan pada sesi pengajaran murid Tahun Satu dan Dua sehingga menimbulkan kontroversi, didakwa diterbitkan bekas pengikut al-Arqam.

Bekas Penasihat Undang-Undang al-Arqam, Zabidi Mohamed mendedahkan klip video itu diterbitkan sebuah syarikat diusahakan bekas pengikut al-Arqam yang bertujuan menyebarkan propaganda ajaran kumpulan itu.


"Klip video berkenaan adalah himpunan koleksi lakonan bekas pengikut al-Arqam mengenai kematian yang dibuat di beberapa tempat," katanya ketika dihubungi Berita Minggu di sini, semalam.

Sebelum ini, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kementeriannya akan menyiasat penggunaan klip video Sajak Kematian pada sesi pengajaran bagi murid Tahun Satu dan Dua, sebelum sebarang tindakan mengenainya diambil.

Beliau yang tidak bersetuju dengan pendekatan menakut-nakutkan pelajar sebagai satu kaedah pembelajaran berkata, ia tidak akan membawa sebarang manfaat kepada pelajar.

Klip video 10 minit 48 saat yang diterbitkan pada 2000 itu antara lain memaparkan babak mayat yang sudah dikafankan berdepan dengan seekor ular.

Berikutan itu, ibu bapa bimbang klip video itu akan menimbulkan ketakutan atau menjejaskan akidah anak mereka apabila menyaksikan gambaran mengenai perkara alam ghaib.

Tayangan klip video itu juga mendapat bantahan daripada Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Zabidi berkata, Kementerian Dalam Negeri harus menyiasat klip video itu kerana sebelum ini kerajaan ada mewartakan larangan terhadap orang ramai daripada mengeluarkan sebarang penerbitan yang bertujuan menyampaikan atau menghidupkan semula ajaran al-Arqam.


No comments: