Sunday, November 16, 2008

Kebakaran hutan, 4 cedera, 500 rumah terbakar



ANGGOTA bomba berusaha mengawal api yang telah memusnahkan banyak harta benda di Yorba Linda, California, Amerika Syarikat, semalam.


LOS ANGELES 16 Nov. – Beratus-ratus rumah terbakar dan beribu-ribu penduduk terpaksa berpindah semalam, apabila angin kencang menyebabkan kebakaran hutan semakin marak di selatan California.

Lebih 500 rumah dari satu kawasan perumahan mudah alih di Sylmar hangus dan kira-kira 10,000 penghuninya terpaksa dipindahkan, apabila api merebak berhampiran bandar Los Angeles.

Kebakaran itu, disifatkan sebagai yang paling buruk dalam tempoh separuh abad.

Api yang mula marak sejak kelmarin di kawasan yang ramai penduduk di daerah Sylmar, menyebabkan anggota bomba berusaha keras memadamkan api di kawasan kediaman yang ramai diduduki selebriti di Montecito, 160 kilometer ke utara Los Angeles.

Montecito menjadi terkenal apabila ramai artis terkemuka seperti Oprah Winfrey, pelakon Micheal Douglas, Jeff Bridges dan Rob Lowe memiliki aset mewah di kawasan ini.

Kebakaran itu juga telah memusnahkan hampir 20 buah rumah di bandar Yirba Linda dan Corona, di tenggara Los Angeles, menyebabkan beberapa jalan utama terpaksa ditutup.

Angin selaju 130 kilometer sejam telah menyebabkan api semakin marak sehingga membakar kawasan hutan seluas 2,630 hektar.

Penguasa Bandar Los Angeles, Zev Yaroslavsky berkata, kebakaran yang hanya 10 peratus dapat dipadamkan itu merupakan yang terburuk sejak kebakaran pada tahun 1961 di kawasan mewah Bel Air yang memusnahkan hampir 480 buah rumah.

Ketua Jabatan Polis Los Angeles, William Bratton menyifatkan kemusnahan daripada kebakaran kali ini adalah yang paling teruk.

Lebih 1,100 anggota bomba yang menggunakan helikopter, jentolak dan pelbagai jenis mesin berusaha keras memadamkan kebakaran tersebut.

Setakat ini, empat orang termasuk tiga anggota bomba cedera dalam kebakaran ini.

Menurut Bratton, kebakaran ini menimbulkan kebimbangan banyak kenderaan akan terperangkap dalam api.

Berikutan cuaca kering menyebabkan seluruh California mudah diancam kebakaran hutan di tambah lagi dengan angin dari Santa Ana.

– AFP

No comments: