Sunday, November 16, 2008

Cubaan larikan mesin ATM gagal



ANGGOTA polis membawa keluar tong gas yang dipercayai digunakan untuk meletupkan mesin ATM dalam cubaan menyamun sebuah bank di Jalan Kampar, Ipoh, semalam.


IPOH 16 Nov. - Hasrat dua lelaki untuk melarikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Raja Permaisuri Bainun di sini tidak kesampaian apabila gagal memecahkan mesin berkenaan.

Difahamkan, kedua-dua perompak pergi ke bank itu pada pukul 3.30 pagi ini dengan membawa bersama tuil besi, mancis dan silinder gas yang digunakan untuk meletupkan mesin tersebut.

Sejurus tiba di bank berkenaan, kedua-duanya dikatakan terus menyembur cat pada kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak imej dan perbuatan mereka dirakamkan.

Penjenayah terlibat kemudian berjaya membuka pintu mesin ATM tetapi tidak sempat meletupkannya kerana alat penggera keselamatan tiba-tiba berbunyi apabila terkena api daripada alat kimpalan mereka.

Ekoran itu, mereka segera melarikan diri tanpa sempat meletupkan dan mengambil wang daripada mesin ATM tersebut.

Insiden tersebut kemudian dilaporkan kepada polis oleh seorang pegawai bank terbabit.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi di sini mengesahkan menerima laporan tentang kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut.

No comments: