Sunday, November 16, 2008

Perkhemahan bahasa Inggeris '5 dalam 1'



SEBAHAGIAN peserta yang bakal menyertai kem bahasa Inggeris '5 dalam 1' di Cameron Highlands bersama fasilitator, Nur Asnawati Mohd. Rafii di Ipoh, semalam.


IPOH 10 Nov. - Sebanyak 300 pelajar dari seluruh Perak dijangka akan menyertai Kem Perkhemahan Bahasa Inggeris yang dikendalikan oleh pakar-pakar bahasa serta kaunselor bertauliah tempatan yang diadakan bermula 16 hingga 19 November ini di Cameron Highlands, Pahang.

Bagi anak-anak yatim dan miskin, program ini dibiayai dan ditaja oleh badan-badan korporat, individu atau syarikat persendirian sebagai sebahagian daripada sumbangan amal jariah mereka.

Pengurus Pusat Pendidikan Masteri (PPM), Nur Asnawati Mohd. Rafii berkata, program '5 dalam satu' yang dilaksanakan dengan kerjasama akhbar Utusan Malaysia ini merupakan kem perkhemahan musim cuti.

Menurutnya, ia pertama kali diadakan yang memberi pendedahan kepada penggunaan bahasa Inggeris secara praktikal.

''Kem perkhemahan ini akan dilaksanakan secara praktikal untuk membolehkan peserta mendapat kemahiran bertutur, membaca, menulis dan mendengar dengan lebih baik lagi," katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, PPM telah melaksanakan kem perkhemahan sama di KB Chalet, Kampung Bharu, Ayer Tawar, Kem Timad di Ulu Chepor , Pulau Pangkor dan di Pusat Latihan Pertanian Lekir, Sitiawan.

PPM adalah pusat pendidikan swasta yang berdaftar dengan Jabatan Pelajaran Perak.

Nur Asnawati berkata, objektif utama program ini adalah memberikan pendedahan asas tentang kemahiran bahasa Inggeris iaitu membaca, menulis, bertutur dan mendengar secara praktikal melalui aktiviti yang disediakan.

''Kita juga akan memotivasikan para peserta melalui aktiviti dalaman dan luar. Kita juga akan mengenal pasti tahap pencapaian dan kebolehan pelajar dalam setiap aspek kemahiran," katanya.

Katanya, para peserta yang menghadiri program ini akan dirangsang untuk mendalami serta mempraktikkan bahasa Inggeris bagi meningkatkan prestasi akademik dan menanamkan keyakinan diri berkomunikasi dengan orang sekeliling.

Beliau berkata, bagi memastikan objektif program ini tercapai para peserta akan di bahagi kepada kumpulan kecil yang dipimpin oleh fasilitator yang merupakan pelajar institusi perguruan jurusan bahasa Inggeris (TESL).

Katanya, penyampai utama terdiri dari pensyarah bahasa Inggeris dari universiti tempatan serta guru bahasa berpengalaman.

Untuk keterangan lanjut boleh menghubungi Pusat Pendidikan Masteri 8A & 9A, Persiaran Taman Meru 14, Pusat Komersial Taman Meru 2B, Jalan Jelapang, Ipoh, Perak melalui telefon/faksimili 05-527 0182/019-546 8071

''Kita mengharapkan sokongan dari pelbagai pihak yang ingin menaja anak yatim sekitar negeri Perak memandangkan kedudukan bahasa Inggeris yang sangat kritikal dalam sistem pendidikan di negara ini.

''Bagi merealisasikan matlamat pendidikan kebangsaan pihak penganjur juga amat berharap program kali ini akan menghasilkan kejayaan yang lebih baik," katanya.

Penyertaan berkumpulan dari mana-mana organisasi melebihi lima orang akan diberi diskaun sehingga 20 peratus.

Peserta akan dikenakan yuran penyertaan RM280 termasuk pengangkutan pergi balik, penginapan, makanan, kemeja T, beg sandang, bayaran masuk ke Strawberry Park, Rose Valley dan bahan pembelajaran.

No comments: