Sunday, November 16, 2008

Unimas anjur dialog keamanan 18 November


KUCHING 13 Nov. - Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) akan mengadakan dialog umum bertajuk 'Hubungan Dialog Ke Arah Budaya Keamanan' di Kampus Barat Unimas, Kota Samarahan pada 18 November ini.

Dialog tersebut dijangka disampaikan oleh ahli fizik Belanda yang pernah memenangi Hadiah Nobel Fizik pada tahun 1999, Profesor Dr. Gerardus't Hooft bersama Pengerusi Badan Keamanan Antarabangsa (IPF), Uwe Morawetz.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Unimas, Profesor Madya Dr. Awangku Abdul Rahman Pgn Yusof berkata, dialog anjuran bersama IPF itu merupakan siri kedua di ASEAN yang bermula pada bulan ini hingga April tahun depan membabitkan Malaysia dan Thailand.

Menurutnya, seramai tujuh orang sasterawan Nobel dan seorang tokoh termasyhur dunia, Jesse Louis Jackson Sr. akan menyampaikan kuliah umum sepanjang program itu berlangsung.

Mesej besar

''Dialog tersebut dijangka membawa mesej besar kepada masyarakat termasuk rakyat di Sarawak berhubung isu-isu keamanan, ekonomi, politik. sosial, intelektual dan pelbagai lagi.

''Selain Unimas, institusi pengajian tinggi (IPT) di Sarawak dan Sabah, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan industri berkaitan turut dijemput untuk hadir pada dialog tersebut," katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Naib Canselor Unimas, Profesor Dr. Khairuddin Ab. Hamid berkata, dialog itu bertujuan untuk membina kefahaman yang lebih mendalam mengenai keamanan dan antarabangsa.

Di samping itu katanya, ia dijangka merangsang intelektual, saintifik dan pertukaran budaya antara Unimas dan IPT serta organisasi yang lain.

Tambahnya, program seumpama ini juga dapat memperluaskan pendidikan serta kerjasama untuk menjamin keamanan dunia sejagat terus dipelihara.

''Selain itu, ia turut menggalakkan budaya keamanan di kalangan masyarakat pelbagai kaum, bangsa dan agama," ujarnya.

Kira-kira 500 peserta daripada pelbagai latar belakang akademik dan organisasi dijangka menghadiri dialog tersebut.

No comments: