Sunday, November 16, 2008

Membina industri nuklear untuk tenaga



FADILAH Yusof diberi penerangan oleh Raja Abdul Aziz Raja Adnan (kanan) mengenai model reaktor nuklear ketika melawat pameran, pada majlis perasmian Rangkaian Keselamatan Nuklear Asia (ANSN), di Putrajaya, baru-baru ini. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datin Madinah Mohamad.


TERMA nuklear seringkali dikaitkan dengan kuasa radioaktif berbahaya yang boleh memberi kesan buruk serta memusnahkan kehidupan.

Tanggapan itu timbul kerana kebanyakan masyarakat tidak menyedari bahawa kuasa nuklear sebenarnya memberi banyak manfaat jika diaplikasikan dengan kaedah yang betul.

Berdasarkan kajian, tenaga yang dihasilkan daripada kuasa nuklear adalah lebih murah dan bersifat mesra alam kerana ia tidak menghasilkan karbon dioksida serta gas beracun.

Namun, bukan mudah untuk mengaplikasikan program loji kuasa nuklear bagi penjanaan tenaga elektrik di sesebuah negara.

Ini kerana, ia mungkin akan menerima tentangan daripada orang awam yang masih tidak yakin dengan keselamatan penggunaan bahan tersebut.

Justeru, untuk meningkatkan kesedaran dan sokongan orang awam terhadap teknologi berkenaan, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) telah menganjurkan program Rangkaian Keselamatan Nuklear Asia (ANSN) kelapan di negara ini yang pertama kalinya menjadi tuan rumah.

Majlis tersebut yang diadakan pada 20 Oktober lalu dan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof.

Dengan tema ‘Meningkatkan kesedaran umum terhadap keselamatan nuklear’, beliau turut melancarkan laman web ANSN Malaysia sebagai pangkalan data untuk keselamatan nuklear negara.

Program itu dianjurkan bertujuan untuk berkongsi maklumat mengenai infrastruktur keselamatan nuklear dalam aktiviti berkaitan tenaga atom yang dibangunkan di negara-negara ahli ANSN seperti China, Korea, Jepun, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Menurut Pengarah Urusan AELB, Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan, ANSN mempunyai matlamat untuk menyebarkan maklumat mengenai keselamatan radiasi dalam industri nuklear dari pelbagai aspek seperti operasi, analisis, pendidikan, latihan, kecemasan dan pengurusan sisa radioaktif.

“ANSN merupakan platform untuk berkongsi serta bertukar maklumat mengenai keselamatan nuklear secara lebih telus dan terbuka.

“Tujuan utama kita adalah untuk memberi informasi yang lengkap kepada orang awam kerana tidak mahu ada salah faham apabila teknologi ini dilaksanakan kelak,’’ katanya pada perasmian program itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, baru-baru ini.

Setakat ini, terdapat beberapa negara Asia yang telah melaksanakan aktiviti loji kuasa nuklear secara aktif seperti Korea, Jepun dan China.

Untuk tujuan tersebut, banyak faktor dan prosedur telah diambil kira seperti penyelidikan, kawasan pembinaaan, kos, dan sebagainya.

Kebanyakan negara Asia yang terlibat telah menjalankan perkongsian maklumat dari segi rangkaian manusia dan juga sokongan teknikal bidang teknologi maklumat (IT).

Jepun misalnya, telah terlibat dalam aktiviti tersebut sejak tahun 1966 melalui pembangunan berkonsepkan kerjasama antarabangsa.

Setakat ini, sebanyak 60 peratus tenaga yang digunakan di Jepun dihasilkan menggunakan kuasa nuklear di 55 buah lojinya.

Apa yang menarik, bagi menunjukkan komitmen tinggi mereka, kursus dalam bidang nuklear turut ditawarkan di akademi pendidikan selain berkongsi maklumat menerusi program seperti ANSN.

Di Malaysia, AELB merupakan badan yang bertanggungjawab merancang pembangunan industri nuklear sama ada untuk aktiviti perubatan atau bukan perubatan.

Sejak dilaksanakan pada tahun 1985 sehingga 2008, sebanyak 3,176 aktiviti berkaitan industri nuklear telah dilaksanakan membabitkan 832 aktiviti melibatkan bidang perubatan dan 2,344 bukan perubatan.

Menurut Pengarah AELB, Azlina Mohammad Jais, untuk sepanjang tempoh tersebut, tiada sebarang kemalangan atau kejadian radiasi serius dilaporkan berlaku.

“AELB mempunyai lebih kurang 130 kakitangan teknikal dan sokongan yang membantu dalam pembangunan aktiviti industri nuklear.

“Kita juga bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti PDRM, Jabatan Imigresen, Kastam dan juga pihak berkuasa lapangan terbang di seluruh negara untuk memantau pergerakan aktiviti ini,’’ jelasnya.

Kesemua kakitangan AELB diberi pendidikan dan latihan yang mencukupi agar dapat membantu mencapai matlamat mengkomersialkan industri tersebut menjelang tahun 2020.

No comments: