Sunday, November 16, 2008

Oasis of the Seas kapal terbesar dan termahal



BEGINILAH suasana di anjung dek kapal yang ruang lingkupnya cukup besar seperti berada dalam sebuah bangunan.


SEBAIK disebut sahaja kapal pelayaran persiaran atau kapal cruise, tentu kita masih terbayangkan mengenai kemewahan kapal dinaiki Leonardo DiCaprio yang memegang watak Jack Dawson dan Kate Winslet sebagai Rose DeWitt Bukater dalam filem Titanic keluaran 1997.

Walaupun kapal yang menjadi kemegahan pembinanya pada 1912 itu tenggelam kerana terlanggar bongkah ais tetapi populariti kapal persiaran sebagai pilihan pelancong terus meningkat kerana kemewahan dan keunikan yang dimilikinya.

Kapal persiaran merupakan kapal penumpang yang digunakan oleh orang ramai untuk menikmati perjalanan di laut menuju ke sesuatu tempat sambil menikmati kemewahan yang ditawarkan di dalam kapal tersebut.

Disebabkan popularitinya, kapal persiaran semakin banyak dibina masa kini sama ada untuk kegunaan di Amerika Utara, Eropah atau Asia Pasifik.

Kapal cruise akan membawa penumpang pergi dan balik ke pelabuhan yang sama, manakala kapal cruise liner akan membawa penumpang dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain.

Kapal liner secara tradisionalnya dibina dengan mempunyai standard yang lebih tinggi berbanding dengan kapal cruise kerana ia kebiasaannya membabitkan pelayaran di lautan yang lebih luas seperti melintasi Lautan Atlantik.

Kapal liner terbesar yang beroperasi pada masa kini ialah Queen Mary II dan Queen Elizabeth II (yang akan menamatkan perkhidmatannya bulan ini).

Manakala, kapal cruise terbesar dunia ialah Freedom of the Seas yang dibina oleh Royal Caribbean International.

Royal Caribbean juga kini sedang membina sebuah lagi kapal cruise terbesar dunia yang akan dilancarkan tahun hadapan dengan nama Oasis of the Seas.

Panjang kapal bernilai AS$1.24 bilion (RM4.34 bilion) itu ialah 360 meter dan boleh membawa penumpang seramai 5,400 orang.

Ia merupakan kapal yang paling mahal pernah dibina dalam sejarah perkapalan dan sudah tentu ia juga lebih panjang, lebar dan tinggi berbanding dengan Queen Mary II.

Ia juga 43 peratus lebih besar daripada kapal cruise terbesar dunia, Freedom of the Seas dan sudah tentu berkali ganda lebih besar daripada kapal armada tentera laut yang boleh membawa pesawat.

Kapal yang dikenali dengan nama kod Projek Genesis itu terbahagi kepad tujuh bahagian dan mempunyai taman tropika yang terbuka.

Kapal tersebut sedang dalam pembinaan di Limbungan Aker, Turku, Finland dan dijangka siap sebelum akhir tahun depan.

Apabila siap kelak, kapal itu akan beroperasi untuk pelayaran persiaran Caribbean dan berpangkalan di Pelabuhan Everglades di Fort Lauderdale, Florida, Amerika Syarikat.

Yang pertama

Oasis of the Seas menawarkan pelbagai ciri-ciri yang pertama kepada penumpang kapal seperti suit para, amphitheater bersebelahan kolam renang dan sebagainya.

Penumpang juga boleh melakukan pelbagai aktiviti lasak menggunakan kabel-kabel yang dipasang merentangi kapal dan juga melakukan rock climbing.

Kapal ini akan mempunyai pekan dengan kehijauannya sendiri dikenali sebagai Central Park yang menawarkan pelbagai kemudahan membeli-belah, menikmati jamuan dan juga hiburan jalanan atau berbentuk konsert.

Bilik-bilik yang terletak pada ketinggian enam tingkat akan mempunyai ruang beranda yang membolehkan penghuninya melihat keindahan taman ini dari atas.

Penumpang boleh membuat pilihan sama ada untuk menikmati jamuan di restoran atau di kafe jalanan. Terdapat pelbagai pilihan restoran seperti restoran masakan Itali, steakhouse dan beberapa jenis bar.

“Kami mementingkan inovasi dan memberikan percutian pelayaran dan pengalaman terhebat untuk penumpang,” kata Presiden dan Ketua pegawai eksekutif Royal Caribbean International, Adam Goldstein.

“Central Park misalnya merupakan satu evolusi dalam rekaan dalam kapal persiaran kerana selain daripada memberikan kemudahan beranda kepada penghuni bilik, ia juga akan menjadi nadi kehidupan pada waktu siang dan malam,” katanya.

Tujuh bahagian

Selain Central Park, terdapat bahagian-bahagian lain dalam kapal ini seperti:

lBoardwalk

Kawasan ini merupakan tempat untuk keluarga berehat atau anak-anak berhibur dengan pelbagai jenis permainan, studio, kedai ais krim dan sebagainya. Tarikan utama di sini ialah AquaTheater yang mana tempat ini akan menjadi kawasan kolam renang dan permainan air pada waktu siang dan menjadi tempat konsert pada waktu malam.

lRoyal Promenade

Geladak persiaran ini akan menjadi tempat untuk penumpang kapal berkumpul sambil berborak dengan dihiburkan oleh hiburan ringan.

Ia juga mempunyai restoran dan lounge untuk berehat dengan pelbagai bar, kelab karaoke, kedai barangan kemas, kedai pakaian dan sebagainya.

lVitality at Sea Spa dan Pusat Kesihatan

Pusat Kesihatan dan Vitality at Sea Spa merupakan tempat penumpang untuk memanjakan tubuh mereka di samping menjalani latihan di gimnasium.

Kemudahan spa akan mempunyai beberapa jenis bilik sama ada untuk seorang atau berpasangan, sauna, bilik wap, spa kanak-kanak dan kafe.

lKolam dan Zon Sukan

Kapal persiaran ini akan mempunyai empat kolam renang dan 10 kolam mainan, termasuk tempat untuk permainan sukan air seperti bola tampar dan sebagainya. Kolam pantai yang dibina dengan konsep seperti berada di tepi laut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan berehat dan payung. Ia juga mempunyai tiga bar berhampiran kolam. Geladak sukan mempunyai pelbagai kemudahan termasuk bermain bola keranjang, rock clombing, mini golf, lungsur air dan sebagainya.

lEntertainment Place

Seperti namanya, tempat ini sememangnya akan menjadi kawasan paling diminati terutama jika kapal tersebut mempunyai persembahan-persembahan menarik. Selain daripada tempat untuk berhibur dan panggung, kawasan ini juga mempunyai tempat untuk orang ramai bermain pelbagai jenis permainan.

lYouth Zone

Bagi mereka yang meminati aktiviti lasak, kawasan ini akan memberikan mereka kepuasan untuk mencabar minda dan tenaga sama ada kanak-kanak dari 3 hingga 11 tahun atau orang dewasa.

No comments: