Sunday, November 16, 2008

Gamat terdampar di pantai



Muhammad Syamim Syahidan bersama rakan-rakannya mengutip gamat yang terdampar di pantai Tanjung Gelam, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 16 Nov. - Para penduduk di Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot, di sini berasa pelik apabila beribu- beribu ekor gamat terdampar di sekitar pantai berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Gamat berkenaan mula terdampar di sepanjang pantai kampung itu sejak Jumaat lalu dan terus kelihatan sehingga hari ini.

Seorang penduduk, Shahidan Nordin, 57, berkata, jumlah gamat yang terdampar paling banyak pada waktu pagi dan semakin berkurangan menjelang petang.

''Ketika mula-mula kelihatan Jumaat lalu, ramai penduduk kampung mengutipnya, namun lama-kelamaan mereka tidak lagi berminat dengan hidupan laut ini kerana tidak tahu kegunaannya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Shahidan memberitahu, perkara sama pernah berlaku dua tahun lalu, namun jumlah gamat yang terdampar tidak sebanyak kali ini.

Menurutnya, gamat yang terdampar pada tahun 2006 juga sedikit berbeza iaitu tidak tahan lama dan cepat membusuk.

Seorang lagi penduduk, Zulkeplee Jusoh, 36, berkata, mengikut kepercayaan orang tua, kejadian itu adalah tanda musim tengkujuh akan tiba.

''Tidak tahulah sama ada benar atau tidak kepercayaan itu. Namun, saya tidak pernah melihat gamat terdampar sebanyak ini di pantai ini," ujarnya.

No comments: