Sunday, November 16, 2008

Dana pemuliharaan hutan UPM


Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapat pembiayaan RM1.3 juta daripada Mitsubishi Corporation, Jepun untuk membangunkan model hutan yang ditanam dengan spesies pokok hutan asal dari setiap negeri di Semenanjung Malaysia.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Pembangunan) Fakulti Perhutanan UPM, Prof. Madya Dr. Mohamad Azani Alias berkata, tempoh pembiayaan selama lima tahun itu melibatkan penanaman 400 spesies pokok hutan asal daripada setiap negeri di Semenanjung Malaysia di kampus UPM Serdang seluas 27 hektar.

Katanya pembiayaan itu juga melibatkan penanaman spesies pokok hutan asal Sarawak di UPM Kampus Bintulu (UPMKB), Sarawak seluas 47.5 hektar.

“Konsep penanaman hutan di sini ialah dengan menanam spesies yang jarang ditemui dan spesies endemic iaitu spesies yang cuma terdapat di negeri tertentu sahaja kerana masih banyak endemic di Semenanjung Malaysia yang belum ditanam semula dalam program pemeliharaan tanah terbiar.

“Sehubungan itu kita akan mengadakan upacara Penanaman Pokok Program Penyelidikan Kerjasama UPM-Mitsubishi Corporation di dua lokasi iaitu di UPMKB pada 25 November dan di UPM Serdang pada 26 November ini,” katanya.

Mohamad Azani berkata seramai 600 sukarelawan mewakili tetamu kenamaan, wakil Mitsubishi Corporation, pelajar sekolah dan UPM, penduduk tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menanam pokok dalam majlis di UPM, Serdang sementara 200 orang lagi di UPMKB, Sarawak.

Katanya, dana kali kedua oleh Mitsubishi Corporation itu membuktikan keyakinan antarabangsa terhadap usaha Malaysia memelihara alam sekitar dan pemuliharaan tanah tersusut nilai.

Sebelum ini UPM dan Yokohama National University, Jepun telah menjalinkan kerjasama penanaman dan penyelidikan hutan sejak tahun 1990 dengan dana Mitsubishi Corporation berjumlah RM10 juta untuk penyelidikan pemuliharaan kawasan hutan seluas 47.5 hektar di UPMKB.

No comments: