Sunday, November 16, 2008

UiTM cipta kalkulator ramal tanah runtuh



Prof. Dr. Roslan Zainal Abidin bersama Badiah Sujak menunjukkan kalkulator dan carta ukuran tahap risiko tanah runtuh yang dicipta mereka di UiTM Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 10 Nov. - Pusat Penyelidikan Pencegahan Bencana Antarabangsa (IRCDIP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah memenangi pelbagai anugerah inovasi antarabangsa sedang mencipta kalkulator khas yang boleh membantu memudahkan pengiraan ramalan kejadian tanah runtuh.

Kalkulator yang pertama seumpamanya di negara ini dan mungkin di dunia dicipta menggunakan perisian Carta RS iaitu carta yang berkeupayaan untuk meramalkan tanah runtuh dengan lebih tepat dengan mengambil kira taburan hujan dan jenis tanah.

Dengan saiz sama seperti mesin kira-kira biasa, kalkulator khas itu dijangka dipasarkan pada penghujung tahun depan dengan harga di bawah RM500.

Pengarah IRCDIP, Profesor Dr. Roslan Zainal Abidin berkata, idea mencipta kalkulator itu tercetus hasil pandangan serta komen yang diberikan semasa IRCDIP menyertai pertandingan peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, ia juga dicipta selepas pihaknya mengambil kira ketepatan dan keputusan pengiraan yang lebih pantas boleh diketahui jika ia siap dibina nanti.

''Kita telah berusaha untuk membina kalkulator ini dan kini perisiannya telah disiapkan.

''Kini, kita hanya menunggu mana-mana syarikat yang berminat untuk memasang cip bagi tujuan pasaran.

''Jika semuanya berjalan lancar, kita menjangkakan kalkulator yang bakal disiapkan pada pertengahan tahun depan ini berada di pasaran pada penghujung tahun," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Roslan memberitahu, pihaknya ada menerima tawaran daripada beberapa buah syarikat di luar negara yang berminat untuk memasarkan kalkulator ini.

Bagaimanapun, kata beliau yang membangunkan kalkulator itu bersama dua penyelidiknya, Badiah Sujak dan Wan Fatmasuriati Yahya, pihaknya akan mengutamakan syarikat-syarikat tempatan sebelum menerima tawaran luar.

''Kita menerima tawaran-tawaran tersebut semasa menyertai British Invention Show (BIS) yang berlangsung di United Kingdom pada 15 hingga 17 Oktober lalu.

''Pada pameran yang sama, Carta RS telah menerima pingat emas yang kedua selepas yang pertama di Pameran Antarabangsa Reka Cipta, Inovasi, Reka Bentuk Industri dan Teknologi (ITEX) ke-19," jelas beliau.

No comments: