Sunday, November 16, 2008

Graduan UTM pilihan majikan


WALAUPUN universiti tempatan tidak tersenarai dalam 200 universiti terbaik mengikut ranking Times Higher Educations - QS (THE-QS) tetapi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berada di kedudukan 158 untuk aspek pandangan majikan atau employer review.

Kedudukan ini, menurut Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang merupakan satu peningkatan berbanding tahun lalu dan yang terbaik di kalangan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara.

“Hasil Kajian Pengesanan Graduan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mendapati secara purata lebih 80 peratus siswazah UTM mendapat kerja dalam tempoh tiga bulan selepas menamatkan pengajian,” kata dalam sesi bertemu media di UTM Kampus Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Malah, kata Zaini, 90.3 peratus graduan sains komputer UTM sudah bekerja sebelum mereka menerima ijazah pada hari konvokesyen.

Baki 9.7 peratus tidak bekerja atas pilihan sendiri kerana menyambung pengajian, berehat sebentar selepas berkahwin atau membantu keluarga, sekali gus menghapuskan tanggapan bahawa peluang pekerjaan dalam bidang sains komputer dan teknologi maklumat (IT) terhad.

“Bagaimanapun aspek itu hanya menyumbang 10 peratus daripada keseluruhan proses penilaian THE-QS,” katanya.

Aspek lain yang dinilai adalah pandangan rakan kesepakaran (peer review) iaitu 40 peratus, nisbah pelajar terhadap fakulti (20 peratus), nisbah jurnal berwasit per fakulti (20 peratus), dan jumlah pelajar antarabangsa di sesebuah universiti (10 peratus).

Oleh sebab itu, UTM sekadar berada di tempat ke-356 dalam senarai universiti terbaik dunia. Sungguhpun begitu, UTM menjadi universiti Malaysia yang paling cemerlang apabila berhasil melompat sebanyak 60 anak tangga.

Justeru sebagai naib canselor baru UTM, Zaini berazam mendapatkan status universiti penyelidikan di peringkat tempatan dan menjadi antara 200 universiti terbaik di peringkat global.

Untuk itu, beliau akan fokus kepada penghasilan output yang lebih ketara khususnya graduan dengan jenama tersendiri dan hasil penyelidikan yang memberi manfaat besar kepada masyarakat.

Graduan UTM, menurut Zaini, bukan belajar sekadar untuk bekerja sebaliknya belajar untuk mencipta peluang pekerjaan.

“Kurikulum yang dinamik dan proaktif memastikan siswazah UTM mampu membuka perniagaan yang berkaitan dengan bidang pengajian,” tegasnya.

Tambah beliau, UTM kini dalam kerangka kerja untuk bekerjasama dengan graduannya menubuhkan syarikat baru seperti yang dilakukan oleh Stamford University Network yang berjaya menubuhkan SUN - sebuah syarikat IT terkemuka dunia.

Dalam bidang penyelidikan pula, UTM merupakan penjana harta intelek (Intelectual Property - IP) terbesar negara dengan kadar penghasilan satu IP untuk setiap bulan. Untuk rekod, pada tahun 2006, UTM berjaya memfail dan memperolehi 127 paten.

Selain itu, Zaini memberitahu bahawa beliau berhasrat membudayakan aktiviti kajian dan penyelidikan di peringkat pasca kedoktoran.

“Universiti seperti Oxford dan Cambridge memerlukan pengalaman sekurang-kurangnya 10 tahun dalam penyelidikan pasca kedoktoran sebagai salah satu kriteria pemilihan sebagai pensyarah,” jelas Zaini.

Di Korea Selatan pula, dua tahun pengalaman dalam penyelidikan pasca kedoktoran diperlukan sebagai syarat menjadi pensyarah. Sebaliknya, di Malaysia majoriti mendapat ijazah kedoktoran ketika menjadi pensyarah.

Sebagai permulaan, UTM akan mengambil felo penyelidik dari seluruh dunia secara kontrak untuk membuat penyelidikan dan menerbitkan jurnal mereka dengan menyediakan kemudahan yang diperlukan.

Seterusnya, Zaini bertekad memastikan program-program UTM dikenali dan diiktiraf bukan sahaja di Malaysia atau ASEAN tetapi juga di dunia.

“Ini bakal menjadi petunjuk kepada penerimaan dan kualiti pelajar UTM,” katanya.

No comments: