Sunday, November 16, 2008

USM terima geran penyelidikan Exxonmobil

ARKIB : 07/11/2008


PULAU PINANG 6 Nov. - Kajian penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang berkaitan gas dan minyak berjaya menarik minat Exxonmobil Exploration and Production Malaysia Inc. (EMEPMI) yang menganugerahkan geran penyelidikan bagi tahun 2008 kepada institusi ini.

Geran bernilai RM30,000 diberikan kepada penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Dr. Samayamutthirian Palaniandy melalui kajiannya mengenai Proses Mekanokimia Terhadap Sifat Fizikal dan Penukaran Kapasiti Cat-ion dari Sumber Co-bentonite Tempatan Sebagai Bahan Tambah untuk Kegunaan Industri Minyak dan Gas.

Dekan Penyelidikan, Unit Inovasi dan Pembangunan Teknologi Kejuruteraan USM, Prof. Dr. Zainal Arifin Mohd. Ishak berkata, pembiayaan penyelidikan tersebut merupakan satu inisiatif yang baik dalam usaha universiti meningkatkan hubungan dua hala dengan pihak industri.

Katanya, USM sedang menggiatkan usaha untuk mencapai sasaran mendapatkan kepercayaan pihak industri khasnya, dalam menyalurkan dana untuk digunakan dalam pembangunan bidang penyelidikan dan pendidikan.

''Matlamat kita adalah untuk meningkatkan jumlah perolehan geran penyelidikan daripada pihak industri. Menjelang tahun 2010, kita mensasarkan untuk mencapai peningkatan sebanyak 25 peratus daripada bilangan sedia ada,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan penyerahan replika cek oleh Pengurus Fasiliti Minyak dan Perhubungan Akademik Exxonmobil, Ir. Ahmad Raihan Daud kepada Dr. Samayamutthirian di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Raihan berkata, Exxonmobil akan melihat semula kemungkinan menambah jumlah geran penyelidikan yang diperuntukkan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Setakat ini katanya, ia hanya terhad kepada lima IPT yang terpilih dengan jumlah keseluruhan RM150,000.

''Perkara itu perlu diteliti secara mendalam dan kita sentiasa peka dengan perkembangan pendidikan tinggi di negara ini,'' jelasnya sambil memberitahu jumlah pemohon yang menghantar kertas kerja bagi mendapatkan geran meningkat saban tahun.

Dalam perkembangan lain, kajian Samayamutthirian bakal membawa dimensi baru terhadap industri minyak dan gas tanah air apabila beliau dan penyelidik bersama, Prof. Dr. Khairun Azizi Mohd. Azizli serta Dr. Zaimawati Zainol menemui idea baru yang memberi nilai tambah kepada proses cari gali sedia ada.

Samayamutthirian berkata, penemuan awal dalam kajian itu mendapati tanah liat yang dikenali sebagai bentonit yang ketika ini tidak dieksploitasikan sepenuhnya boleh diproses dan dijadikan bahan tambah bagi memudahkan kerja menggerudi tanah untuk mencari gas dan minyak.

Katanya, hasil kajian juga berjaya mengenal pasti terdapat kira-kira 12.3 tan bentonit di Lahad Datu, Sabah dan ia berpotensi ditambah nilai dengan menggunakan teknologi dan kepakaran tempatan.

''Teknologi yang digunakan akan memberikan nilai tambah kepada bentonit, mesra alam dan penggunaan tenaga yang minimum. Tiga elemen ini selari dengan konsep pembangunan mineral secara lestari,'' ujarnya.

Katanya, penyelidikan itu akan mendatangkan keuntungan kepada industri mineral dan industri gas serta minyak kerana akan membantu meningkatkan pengeluaran selain menjimatkan kos.

No comments: