Sunday, November 16, 2008

Polis marin rampas komputer RM150,000



ZAINUL Abidin Hasan menunjukkan sebahagian peralatan komputer bernilai RM150,000 yang berjaya dirampas dalam satu cubaan menyeludup pada sidang akhbar di Pangkalan Marin Selangor, Pulau Indah, Pelabuhan Klang, semalam.


KLANG 16 Nov. – Polis Marin Selangor berjaya merampas sejumlah komputer riba berjenama serta peralatan bernilai kira-kira RM150,000 yang cuba diseludup ke sebuah negara jiran dengan sebuah bot semasa operasi cegah jenayah di perairan negeri itu petang semalam.

Barangan tersebut ialah 40 buah komputer riba dan 85 beg komputer kedua-dua berjenama Toshiba, 224 pencetak jenama Canon serta 360 papan induk jenama Asus.

Ketua Polis Marin Wilayah Utara, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan berkata, bot yang dalam pelayaran menuju Tanjung Balai, Sumatera, Indonesia itu ditahan di perairan Tanjung Harapan di sini pada pukul 5 petang.

Katanya, ketika pemeriksaan, semua barangan seludup itu ditemui disembunyikan bersama-sama beberapa komputer terpakai di bahagian simpanan yang ditutup kain kanvas.

“Semasa disoal siasat, tekong bot warganegara Indonesia gagal menunjukkan sebarang dokumen mengenai pemilikan dan bayaran cukai kastam ke atas barang seludup tersebut.

“Suspek kini ditahan di bawah Akta Kastam 1952 bersama tiga awak-awak untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Polis Marin Selangor, Pulau Indah di sini hari ini.

Zainul Abidin juga memberitahu, 538 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan seperti menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) dan telefon bimbit berjaya dilakukan oleh polis marin sejak Januari lalu.

Katanya, daripada jumlah berkenaan 188 kes berlaku di Selangor.

No comments: