Sunday, November 16, 2008

G20 ikrar selamat ekonomi dunia



Bush, Perdana Menteri Jepun, Taro Aso dan Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Henry Paulson (kiri) mendengar pandangan pemimpin G20, sempena Sidang Kemuncak G20 di Washington, semalam.
- Reuters


WASHINGTON 16 Nov. - Para pemimpin dunia semalam berikrar untuk mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan ekonomi dunia yang semakin merosot akibat krisis kewangan, yang disifatkan yang terburuk dalam tempoh lebih 70 tahun.

Mereka juga mencapai kata sepakat untuk memberikan hak bersuara kepada negara-negara membangun utama dalam mengendalikan hal ehwal kewangan global.

Pemimpin Kumpulan G20 dari negara perindustrian dan membangun utama membentangkan rancangan untuk memperketatkan kawal selia ke atas bank-bank global, mengkaji had ke atas gaji eksekutif kanan bank dan cuba mencapai kejayaan dalam rundingan perdagangan dunia menjelang akhir tahun ini.

Kesemua langkah itu adalah sebahagian daripada pelan terperinci bagi membangunkan semula sistem kewangan yang lumpuh akibat krisis kredit.

"Kita perlu meletakkan batu asas pembaharuan bagi memastikan krisis kewangan dunia seperti yang berlaku sekarang tidak berulang," kata para pemimpin berkenaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas sidang kemuncak pertama bagi menangani krisis ekonomi dunia, di sini.

Mereka juga berjanji untuk mencapai kemajuan sebelum sidang kemuncak kedua yang dijadual berlangsung sebelum akhir April tahun depan.

Tuan rumah sidang kemuncak kali ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush menyifatkan mesyuarat tersebut, yang merupakan yang terakhir sebelum beliau berundur pada 20 Januari ini, sebagai satu kejayaan kerana para pemimpin bersetuju untuk mengekalkan dasar-dasar yang menggalakkan pasaran bebas dan pertumbuhan.

Dalam keputusan yang menandakan anjakan besar dalam imbangan kuasa ekonomi dunia, G20 juga bersetuju untuk memberi tempat kepada negara-negara membangun utama dalam Forum Kestabilan Kewangan (FSF) di mana pengawal selia bank terkemuka mentaksir risiko perbankan dan pasaran.

FSF juga memperoleh peranan lebih besar dalam menetapkan dasar dan piawaian kewangan yang akan dipatuhi oleh pengawal selia di setiap negara.

Dalam jangka pendek, G20 juga membuka pintu kepada konsesi terbesar dengan memperuntukkan lebih banyak kerusi kepada negara membangun utama dalam Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

- Reuters

No comments: