Thursday, August 28, 2008

UTP juara Debat Merdeka Ala Parlimen

KUALA TERENGGANU 25 Ogos - Universiti Teknologi Petronas (UTP), Perak hari ini muncul juara Pertandingan Debat Kemerdekaan Ala Parlimen antara Universiti-Universiti di Malaysia yang diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini.

Kejayaan itu dicapai selepas pasukan UTP yang dianggotai Junnyaruin Barat, Mohd. Jairul Abdullah, Mohamad Siddiq Mahyidin dan Mohamad Hazwan Ahamad menewaskan pasukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak pada peringkat akhir pertandingan tersebut.

Pencapaian tersebut membolehkan pasukan UTP membawa pulang piala pusingan, piala juara, sijil dan wang tunai RM5,000 manakala UPSI yang dianggotai Lazaruddin Lahisi, Halimatul Saadiah Mohd. Akhir dan Nurul Nadiah Che Rahim menerima piala, sijil dan wang tunai RM3,000.

Sebanyak 24 buah institusi pengajian tinggi awam dan swasta menyertai pertandingan tersebut yang bermula Khamis lalu.

Hadiah-hadiah berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Arkib Negara, Sidek Jamil dan Naib Canselor UMT, Datuk Dr. Sulaiman Md. Yassin.

Ahmad Razif ketika ditemui berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada Jabatan Pelajaran negeri supaya program debat kemerdekaan turut diadakan di peringkat sekolah rendah dan menengah pada masa depan bagi menerapkan semangat perpaduan.

''Kita boleh lihat program ini dapat memberi pendedahan mengenai maklumat-maklumat yang dapat membantu meningkatkan perpaduan selain meningkatkan kecintaan kepada negara di kalangan peserta dan penonton,'' ujarnya.

Beliau memberitahu, program itu juga dapat mewujudkan pelajar yang berketerampilan, bersahsiah dan pandai berhujah selain hebat dari segi akademik.

''Kita berharap program-program seumpama ini dapat memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar negeri ini dalam mengubah sifat rendah diri mereka," katanya.

No comments: