Thursday, August 28, 2008

Pelajar Pahang cipta sejarah peraduan mengeja



PENGANJUR dengan pegawai-pegawai dari Kementerian Pelajaran bergambar kenangan dengan para pelajar yang mengambil bahagian.


LEBIH 53,000 pelajar darjah empat dan lima dari 527 buah sekolah rendah Pahang telah mencatat sejarah untuk Malaysian Book of Records dengan menyertai acara mengeja paling besar pernah diadakan di negara ini.

Acara yang dikenali sebagai ‘Hari Mengeja Knowledge Discovery 2008’ itu dianjurkan dengan kerjasama majalah Knowledge Discovery, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan CHAMPS, jenama multivitamin kanak-kanak sebagai penaja utama.

Ia telah diadakan di Pahang bagi mengalu-alukan kemenangan Kashwini a/p Arumugam, 12 tahun, juara mengeja Bahasa Inggeris pertama di Malaysia bagi Pertandingan 'Hari Mengeja Knowledge Discovery edisi 2007’ yang diadakan di Selangor tahun lepas.

Pada ‘Hari Mengeja Knowledge Discovery 2008,’ para pelajar darjah empat dan lima di Pahang telah menyertai pertandingan mengeja bertulis secara serentak di semua sekolah.

Dalam pertandingan itu, guru-guru mereka akan menyebutkan perkataan, sementara para pelajar menulis jawapannya. Lampiran yang mengandungi takrif perkataan dan ayat-ayat contoh tanpa perkataan yang diperlukan telah disediakan untuk semua pelajar.

Tiga pelajar terbaik dari setiap kelas dengan bilangan jawapan tepat paling banyak akan maju ke peringkat antara kelas. Tiga pengeja terbaik dari peringkat antara kelas akan mewakili sekolah mereka di pertandingan peringkat daerah yang akan diadakan kemudian.

Kecekapan

Hari tersebut bertujuan untuk meningkatkan tahap kecekapan mengeja, mengayakan perbendaharaan kata para pelajar sekolah rendah, memperbaiki bahasa Inggeris serta menyemai tabiat membaca dan menulis di kalangan para pelajar.

Pertandingan itu juga memberi peluang kepada para pelajar untuk menyertai pertandingan yang mencabar mereka di peringkat kelas, sekolah, zon, daerah, negeri dan negara.

Pengarah Urusan Kumpulan CCM Bhd., Datuk Dr. Mohd. Hashim Tajudin berkata, pertandingan itu merupakan cara terbaik dan menarik untuk meningkatkan literasi di kalangan kanak-kanak sekolah kerana ia menimbulkan keseronokan dan daya saingan.

“Kita boleh membina semangat ketabahan dan kesungguhan menerusi pertandingan ini dan kami percaya kualiti ini perlu ditanam dalam diri kanak-kanak.

“CCM komited untuk membina kesihatan mental dan fizikal pelajar-pelajar Malaysia. Multivitamin CHAMPS kami dirumus khas untuk kanak-kanak sebagai nutrien makanan tambahan untuk pengambilan seharian mereka,” katanya.

Semua sekolah dan pelajar yang mengambil bahagian dalam

pertandingan tersebut telah diiktiraf oleh Malaysian Book of Records dan turut menerima sijil penyertaan daripada pihak penganjur. Pertandingan akhir akan diadakan dalam bulan Oktober 2008 di Putrajaya.

No comments: