Wednesday, August 6, 2008

Doktor falsafah pertama UTeM tahun ini


MELAKA 6 Ogos - Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang diadakan pada Sabtu dan Ahad ini bakal mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya menganugerahkan ijazah Doktor Falsafah (Ph.D).

Naib Canselornya, Profesor Dr. Ahmad Yusoff Hassan berkata, sejak ditubuhkan tujuh tahun lalu, inilah kali pertama seorang pelajar lulus di peringkat Ph.D dalam bidang kejuruteraan.

Menurut beliau, graduan Kejuruteraan Pembuatan itu, Hasbullah Ashari mengambil masa selama empat tahun untuk mencapai kejayaan tersebut.

''Walaupun baru seorang sahaja graduan mendapat Ph.D pada konvokesyen kali ini, namun ini merupakan salah satu landasan untuk UTeM terus berkembang dan mengikuti jejak universiti lain yang lebih dewasa," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, konvokesyen tersebut akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang juga Canselor universiti itu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

''Pada konvokesyen UTeM kali ini, kami akan menganugerahkan 1,442 penerima bagi semua peringkat termasuk ijazah sarjana, diploma dan sijil daripada 14 fakulti," katanya.

Katanya, jumlah penerima pada konvokesyen kali ini juga meningkat berbanding majlis yang sama tahun lalu iaitu seramai 1,3465 orang.

Kata Ahmad Yusoff, daripada 1,442 graduan yang mendapat anugerah masing-masing, seramai 218 pelajar menerima anugerah diploma, 1,196 (sarjana muda), 27 (sarjana) manakala seorang graduan mendapat Ph.D.

Ujarnya, Fakulti Kejuruteraan Pembuatan seramai 318 pelajar, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (315 pelajar), Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (287 pelajar), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (263 pelajar), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (235 pelajar) dan seramai 24 graduan dari Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan.

Kata beliau, sempena konvokesyen kali ini juga, dua graduan akan menerima Anugerah Pelajaran Diraja, dua graduan Hadiah Canselor, sembilan graduan untuk Hadiah Industri manakala 22 graduan lagi mendapat Hadiah Naib Canselor.

Sementara itu, beliau turut mempelawa orang ramai agar berkunjung ke tapak penganjuran Pesta Konvokesyen UTeM yang bermula pada 8 Ogos di kawasan tempat letak kereta di hadapan bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka di MITC.

Katanya, program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM itu menyasarkan kunjungan kira-kira 10,000 orang bagi memeriahkan sambutan.

Pelbagai acara disediakan sempena program itu antaranya forum perdana bertajuk Cintakan Dunia, Takutkan Mati, senamrobik, pertandingan bercerita dan nyanyian kanak- kanak, Sepetang Bersama Raihan dan Konsert Bersama Fly FM.

No comments: