Thursday, August 28, 2008

Aplikasi sumber manusia di Internet


JABATAN sumber manusia merupakan salah satu entiti penting dalam sesebuah syarikat kerana ia berfungsi untuk mengurus kakitangan dan memastikan keseluruhan peranan organisasi berjalan lancar.

Secara umumnya, kebanyakan syarikat di negara ini menjalankan operasi jabatan berkenaan secara manual di mana segala maklumat berkaitan kakitangan mereka disimpan di dalam sebuah fail peribadi.

Mungkin dahulu urusan penyimpanan rekod begitu dianggap sebagai cara yang fleksibel dan mudah kerana jika pihak pengurusan ingin mencari maklumat tentang seseorang kakitangan, mereka hanya perlu merujuk kepada fail berkenaan.

Namun, melalui arus pemodenan yang semakin berkembang pesat kini, kerja-kerja pentadbiran dan penyimpanan data oleh jabatan sumber manusia akan menjadi lebih senang tanpa melibatkan penggunaan kertas dan tidak memerlukan tenaga kerja yang banyak.

Justeru, Ceylinco Consolidated (Malaysia) Sdn. Bhd., sebuah syarikat antarabangsa dari Sri Lanka yang beroperasi di Cyberjaya telah memperkenalkan teknologi baru yang dikenali sebagai Stesen Manusia (People Station).

Melalui perkhidmatan berasaskan web ini, stesen tersebut dapat membantu memudahkan kerja-kerja berkaitan sumber manusia dan seterusnya memastikan fungsi jabatan tersebut dapat digerakkan secara lebih efisien.

Menurut Pengarah Ceylinco Consolidated (Malaysia) Sdn. Bhd., Jaafar Sidek, selain meminimumkan beban kerja yang ditanggung, stesen tersebut juga dapat mengurangkan kos perbelanjaan serta menjimatkan masa.

“Aplikasi sistem ini akan memberi lebih banyak ruang kepada pihak pengurusan syarikat untuk menumpukan sepenuh perhatian mereka kepada produktiviti dan aktiviti yang ingin dilaksanakan.

“Melalui stesen ini juga, pihak pengurusan dan pekerja boleh mengakses maklumat yang mereka inginkan secara lebih cepat dan pantas,’’ katanya pada pelancaran stesen itu baru-baru ini.

Aplikasi stesen ini dikhususkan penggunaannya untuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan menawarkan aplikasi seperti pengurusan maklumat pekerja, rekod prestasi dan kecekapan, pemantauan disiplin kakitangan, perancangan gaji, kedatangan, permohonan cuti dan kos operasi.

Antara kelebihan yang diketengahkan oleh stesen ini ialah ia tidak memerlukan tambahan perkakasan atau perisian pada komputer selain tiada kakitangan teknologi maklumat diperlukan untuk memantaunya.

“Segala proses pemantauan dan penyelenggaraan akan dijalankan oleh syarikat kami,’’ jelasnya.

Syarikat yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut boleh melayari laman web www.people-station.com.

No comments: