Thursday, August 28, 2008

Menjana Jurutera Glokal III



SEBAHAGIAN peserta Menjana Jurutera Glokal II bersama Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Husin.

SISIPAN Pendidikan Utusan Malaysia, Tutor dan rakan media pengajian tingginya, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan kesinambungan program Menjana Jurutera Glokal Siri III pada 21-24 Ogos ini.

Program hanya terbuka kepada pelajar tingkatan empat dan lima sekitar Kedah dan Perlis.

Pendaftaran akan bermula seawal lapan pagi di Kolej Kediaman Tan Sri Aishah Ghani.

Program dijangka lebih meriah dan bermakna pada tahun ini kerana para pelajar akan memerah otak bukan sahaja dengan pengisian teknik mendapat markah penuh dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi juga akan bersatu hati dalam kumpulan membina robot - dengan dibimbing oleh pelajar dan pensyarah kejuruteraan UNIMAP.

Setiap kumpulan akan mempersembahkan kreativiti mereka dalam mereka cipta pada akhir program pada hari terakhir, iaitu Ahad.


PARA peserta Menjana Jurutera Glokal II memperbaiki 'robot' mereka.

Program tidak akan lengkap tanpa sentuhan motivasi diri oleh pakar motivasi, Dr. Ismail Zain yang juga penasihat Portal Pendidikan Utusan.

Dr. Ismail akan membakar semangat peserta supaya jangan berputus asa dengan kegagalan silam, belajar secara bijak, menghargai potensi diri, menghormati guru dan ibu bapa dan mengatur jadual belajar gaya pelajar pintar.

Pelajar kemudiannya mengikuti strategi menjawab soalan Matematik Moden, Bahasa Inggeris, Fizik, Matematik, Kimia, Biologi dan Lukisan Kejuruteraan.

Mereka juga akan dibawa melawat makmal UniMAP.

Pada hari berikutnya, pelajar akan dibawa ke Dewan Serbaguna Kg. Wai, dan mengikuti segmen Bersama Biro Tatanegara Negeri Perlis.

Pada hari terakhir pada perasmian penutupan, mereka akan menyertai pertandingan akhir produk di Dewan Serbaguna Kampung Wai bagi yang layak pada peringkat saringan.

No comments: